Thursday 7 March 2013

Kementerian Kesihatan Gesa Pengilang Makanan Dapat Sijil Kesihatan


KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Bagi memastikan tahap kebersihan dan keselamatan makanan terjamin, Kementerian Kesihatan menggesa pengilang makanan yang tidak melaksanakan apa-apa skim jaminan keselamatan makanan mendapatkan pensijilan Skim Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (Mesti) untuk produk mereka.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pensijilan ini juga secara tidak langsung boleh dijadikan sebagai alat penjenamaan kukuh bagi memberi keyakinan kepada pengguna tentang standard keselamatan dan kebersihan makanan serta melariskan jualan sama ada di pasaran tempatan ataupun antarabangsa.

"Bagi mencapai tujuan itu, skim ini menyediakan satu garis panduan kepada pengusaha Enterpris Kecil dan Sederhana (EKS) bagi memudahkan mereka mencapai syarat-syarat mendapatkan pensijilan itu di setiap produk makanan.

"Antara syarat-syarat asas yang perlu dipatuhi oleh pengilang makanan dalam memperoleh pensijilan ini adalah dari segi tahap kebersihan premis, peralatan serta kawalan proses makanan dan ia akan dipantau oleh pegawai kementerian," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Mesti di sini, Khamis.

Turut hadir Ketua Pengarah Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Noraini Othman.

Liow berkata selain itu, skim ini juga menawarkan khidmat bimbingan teknikal kepada pengusaha EKS yang mematuhi keperluan peraturan berkaitan kebersihan dan keselamatan makanan serta membenarkan mereka menggunakan logo itu di atas produk mereka

Katanya, sejak skim ini dimulakan pada Julai 2012, sebanyak 337 enterpris makanan telah memperoleh pensijilan Mesti.

"Setakat ini sebanyak 15,000 EKS yang terlibat dalam bidang pemprosesan makanan di seluruh negara dan kami menyasarkan sebanyak 400 hingga 500 dapat memperolehi pensijilan itu pada tahun ini.

"Bagi mewujudkan skim Mesti, kami juga bekerjasama dengan pelbagai agensi antaranya Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Group), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan pihak swasta," katanya.

Katanya, buat masa ini pihak kementerian masih dalam proses memantau keberkesanan skim ini kepada pengilang makanan sebelum mewajibkan pensijilan ini adalah perlu untuk semua produk makanan.

Sementara itu, pada sidang media selepas pelancaran, Liow berkata pihaknya telah menghantar bekalan ubatan serta darah yang mencukupi ke Sabah bagi memberi perkhidmatan kesihatan kepada anggota keselamatan yang terlibat dalam Op Daulat.

"Setakat ini, kami telah menghantar bantuan sebanyak RM4 juta kepada tiga hospital di negeri itu iaitu di Sandakan, Lahad Datu dan Semporna bagi menampung keperluan mereka dari segi ubatan dan peralatan," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment