Wednesday 16 May 2012

Kes demam denggi di Pahang menurun


16 Mei 2012
KUANTAN - Dewan Undangan Negeri Pahang hari ini diberitahu kes jangkitan demam denggi di negeri ini menunjukkan trend penurunan tahun ini berbanding tahun lepas.
  
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Kesihatan Pahang, Datuk Hoh Khai Mun berkata ini kerana tahun ini, kes demam denggi di negeri ini dilaporkan sebanyak 213 kes berbanding 317 kes atau penurunan sebanyak 32.8 peratus pada tempoh yang sama tahun lepas.
  
Katanya terdapat banyak tindakan yang dilakukan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pahang dalam usaha mengurangkan jangkitan penyakit tersebut.
  
"Antaranya memperkenalkan Pelan Tindakan Kawalan Denggi Tahun 2012, Pengawasan Epidomiologi, penguatkuasaan undang-undang, rawatan dan pengurusan penyakit, surveilan kaji serangga, aktiviti kawalan vektor, program penglibatan dengan masyarakat dan projek khas bebas denggi di sekolah-sekolah," katanya.
   
Beliau menjawab soalan Chang Hong Seong (BN-Teruntum) yang mahu tahu jumlah kes jangkitan demam denggi di negeri ini sejak tiga tahun lepas dan langkah yang diambil bagi mengatasi jangkitan penyakit berkenaan.

Dalam pada itu Hoh berkata, sehingga April tahun ini, sebanyak 555 kompaun dengan nilai RM274,100 telah dikeluarkan keatas premis yang mempunyai tempat pembiakan nyamuk Aedes.
  
Premis-premis tersebut katanya, telah diambil tindakan di bawah Akta Pemusnahahan Serangga Pembawa Penyakit 1975. - Bernama

--- SINAR HARIAN