Wednesday 28 March 2012

66 murid keracunan minum susu soya

28/03/2012 5:25pm

GEORGE TOWN — Seramai 66 murid Sekolah Kebangsaan Mutiara Perdana di Bayan Lepas dekat sini mengalami keracunan makanan setelah meminum susu soya yang dibekalkan sebuah syarikat pengeluar minuman tempatan pagi tadi.

Kesemua murid-murid tersebut kemudiannya di bawa ke Hospital Pulau Pinang, Hospital Bayan Lepas dan Hospital Bayan Baru dan dirawat sebagai pesakit luar.

Seorang murid, J. Thanighesh, 12, berkata susu itu berasa sedikit masam dan berbau aneh.

"Saya rasa pening dan loya setelah meminumnya sedikit, jadi saya terus buang ke dalam tong sampah,” katanya mengenai kejadian itu yang berlaku kira-kira 10 pagi tadi.

Pengarah Pelajaran Negeri, Ahmad Tarmizi Kamaruddin yang meninjau sekolah berkenaan berkata, pihaknya telah menarik balik kebenaran yang diberikan kepada syarikat itu untuk membekalkan susu di seluruh Pulau Pinang berkuat kuasa serta merta.— BERNAMA

--- KOSMO


_____________________________________________________________


ARKIB : 29/03/2012

66 murid keracunan makanan

PULAU PINANG 28 Mac - Seramai 66 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Mutiara Perdana, Bayan Lepas dekat sini, keracunan makanan selepas minum susu soya yang dibekalkan sebuah syarikat pengeluar minuman sempena Program Pendidikan Susu Soya di sekolah itu, pagi ini.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 10 pagi selepas semua murid tersebut selesai menghadiri taklimat program itu di dewan sekolah.

Pengarah Pelajaran Pulau Pinang, Ahmad Tarmizi Kamarudin berkata, sejurus selepas itu, terdapat murid yang muntah dan cirit-birit menyebabkan guru sekolah terpaksa mengarahkan murid-murid lain memulangkan minuman kotak itu.

Beliau berkata, murid yang mengalami keracunan segera dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dan dua buah klinik kesihatan berhampiran untuk menerima rawatan.

"Mereka merupakan sebahagian daripada 481 orang murid yang terlibat dengan program berkenaan yang diadakan di sekolah sekitar negeri ini selepas program pertama diadakan di SK Bandar Perda semalam.

"Jabatan Pelajaran negeri telah mengarahkan program itu dihentikan serta-merta kerana tidak mahu perkara ini berulang," katanya selepas melawat sekolah itu di sini hari ini.

Ditanya adakah murid-murid berkenaan diberikan susu soya tamat tempoh luput, Ahmad Tarmizi menafikannya dan memberitahu, berdasarkan pemeriksaan, susu itu tamat tempoh luput pada 2013.

Sementara itu, seorang murid sekolah itu, J. Thanighesh, 12, berkata, dia melihat ada rakannya yang menangis kerana sakit perut selepas minum susu kotak tersebut.

"Saya juga minum tetapi bernasib baik tidak mengalami apa-apa masalah," katanya.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di sekolah tersebut mendapati Jabatan Kesihatan negeri menyita baki susu soya itu untuk pemeriksaan selain taklimat kesihatan diberikan kepada semua murid-murid yang terlibat.

--- UTUSAN MALAYSIA

No comments:

Post a Comment