TIKUS mula aktif seks seawal usia enam minggu dan boleh melahirkan sehingga 170 ekor anak sepanjang hayatnya. - Gambar hiasan
BANYAK pihak terkejut apabila deejay dan personaliti radio dan
televisyen popular, Din Beramboi dilaporkan terpaksa dirawat di unit
rawatan rapi (ICU) Hospital Selayang setelah dipercayai dijangkiti
kuman kencing tikus baru-baru ini.
Pelbagai teori tiba-tiba muncul apatah lagi Din jatuh sakit beberapa
hari selepas dia menjalani penggambaran di Zoo Negara. Bagaimanapun,
Din disahkan meninggal dunia akibat demam denggi berdarah.
Jangkitan kuman kencing tikus atau leptospirosis yang jarang berlaku
itu dipercayai menular daripada haiwan kepada manusia dan kebiasaannya
terjadi secara kebetulan.
Menurut Pakar Perunding Veterinar, Dr. Intan Suriati Abdul Manaf,
leptospirosis ialah penyakit berjangkit disebabkan bakteria Leptospira
sp. yang sangat tipis dan berbentuk pilin seperti mata gerudi.
Bakteria Leptospira juga boleh hidup dalam air tawar selama sebulan malah ia juga boleh membiak di air masin.
170 anak
“Banyak haiwan yang boleh menjadi pembawa kepada bakteria Leptospira,
tidak kira ia haiwan peliharaan seperti kucing, arnab, lembu, babi,
kuda, anjing dan haiwan liar lain seperti rakun dan serigala.
“Bagaimanapun, tikus dikesan sebagai penyebar utama bakteria ini
kerana kitaran hidupnya yang suka makan dan tinggal di tempat kotor
(menjadi tempat bakteria Leptospira membiak).
“Iklim negara yang lembap menjadi faktor terbaik kepada pembiakan
bakteria ini. Malah, pada suhu sederhana ia boleh hidup lebih lama,”
katanya.
Tambah Intan, kitaran hidup tikus yang cepat membiak dan sukar dikawal membantu penyebaran bakteria dengan lebih meluas.
“Jangka hayat tikus betina adalah di antara dua dan tiga tahun
tetapi ia sudah boleh bunting dan aktif seks hanya dalam tempoh enam
minggu.
“Setiap kelahiran, tikus boleh melahirkan lima hingga tujuh ekor
anak tikus. Tikus betina boleh bunting sebaik melahirkan anak,” kata
Intan.
Secara purata, dalam kitaran hidup seekor tikus betina, ia boleh
bunting sehingga 28 kali dan melahirkan sehingga 170 ekor anak.
Tikus gemarkan sampah dan air bertakung seperti di lorong belakang
hotel terkemuka, kolong bawah tanah hinggalah ke petak sawah atau
kandang kuda. Rumah yang dijaga rapi juga tidak terkecuali daripada
menjadi sasaran makhluk perosak tersebut.
“Bakteria Leptospira akan tersebar melalui cecair yang dikeluarkan
oleh tikus seperti air kencing, air liur, darah, air mani dan najis.
|
|
Rumput
“Malah, tikus betina yang bunting boleh memindahkan bakteria tersebut kepada anak dalam kandungannya.
“Bakteria daripada kencing tikus juga boleh tersebar melalui air
atau tanah. Menyentuh pokok atau tanah lembap yang tercemar juga boleh
memindahkan bakteria kepada manusia.
“Oleh sebab itu, saya mengesyorkan pemakaian sarung tangan sewaktu
melakukan kerja-kerja berkebun dan basuh tangan menggunakan antiseptik,”
kata Intan.
Menurut beliau, jangkitan terus bakteria Leptospira daripada tubuh
tikus jarang dilaporkan sebaliknya terjadi apabila haiwan peliharaan
seperti kucing atau anjing meminum air dari lopak yang sudah dicemari
dengan kencing tikus.
“Kebiasaannya kucing yang meminum air dari tempat bertakung yang
telah dicemari kencing tikus berisiko tinggi untuk mendapat
leptospirosis.
“Pemilik kucing yang membersihkan kucing dan tersentuh dengan
kencing, air liur, tisu atau permukaan lembap lain juga akan terdedah
kepada jangkitan ini,” ujarnya.
Gerudi
Simptom penyakit hanya akan muncul dalam masa empat hingga 12 hari
selepas kuman atau bakteria Leptospira menjangkiti haiwan atau manusia.
“Lazimnya, bakteria ini boleh memasuki badan manusia melalui luka
atau tisu lembut seperti dalam mulut, hidung atau mata. Jika kita pegang
haiwan yang dijangkiti leptospirosis dan makan tanpa mencuci tangan,
bakteria tersebut akan turut memasuki tubuh sebelum memasuki saluran
darah.
“Bakteria ini akan menggerudi sel-sel dalam badan termasuk hati dan
buah pinggang. Malah, dua organ tersebut adalah lokasi utama pembiakan
bakteria ini.
“Akibatnya, sel-sel organ penting haiwan yang diserang bakteria ini
akan rosak dan gagal berfungsi manakala pembuluh darah akan pecah
sehingga membawa kepada kencing berdarah,” jelas Intan.
Dalam kes serius, leptospirosis boleh menyebabkan kematian. Tahap
jangkitan berbeza antara individu atau haiwan mengikut daya ketahanan
masing-masing.
“Sukar untuk mengenal pasti jangkitan ini pada peringkat awal kerana simptom yang ditunjukkan sangat umum.
“Pemeriksaan terperinci melibatkan ujian makmal, ujian darah,
analisis air kencing dan beberapa ujian lain perlu dilakukan sebelum
mengetahui ia berpunca daripada Leptospira,” ujarnya.
Kata Intan, simptom akan menjadi lebih serius apabila penyakit
memasuki fasa kedua dan ketiga kerana ia boleh menyebabkan kegagalan
fungsi buah pinggang dan kerosakan hati.
“Apabila dijangkiti, biasanya bakteria Leptospira mengambil masa
sekitar 10 hari untuk sampai ke organ penting sebelum menimbulkan
gejala.
“Dalam tempoh ini, rawatan sewajarnya perlu diberikan untuk mengelak komplikasi tidak diingini,” kata Intan.
Seperti jangkitan bakteria lain, leptospirosis boleh dirawat dengan
mengambil antibiotik seperti penisilin, streptomisin, eritromisin,
tetrasiklin dan doksisiklin.
“Kos ujian mengenal pasti bakteria Leptospira tinggi sehingga
menyebabkan kebanyakan pemilik haiwan yang dijangkiti kuman itu hanya
mengambil rawatan berdasarkan simptom yang ditunjukkan haiwan peliharaan
mereka.
“Untuk tujuan itu, antibiotik adalah pilihan utama namun ia tidak
akan membunuh bakteria itu sepenuhnya sebaliknya hanya meredakan simptom
jangkitan seperti demam panas, muntah, cirit-birit atau demam kuning.
“Malah selepas tiga bulan ia sihat secara klinikalnya, bakteria itu masih ada di tubuhnya,” jelasnya.
No comments:
Post a Comment