Monday, 21 October 2013

Bahana makanan tercemar

Peralatan pisau dan papan pemotong juga sepatutnya berasingan antara makanan mentah dan yang sudah dimasak. Seterusnya ialah penggunaan bekas yang berbeza bagi mengelak daripada berlakunya pencemaran bersilang. - gambar hiasan.
 
SEPANJANG minggu ini, anda masih lagi berada dalam suasana kemeriahan menyambut Aidiladha dan memenuhi undangan majlis kahwin. Sambil meneruskan tradisi saling mengunjungi, ketika inilah kesempatan turut diambil untuk menjamu selera dengan pelbagai hidangan tersedia.

Perkara penting yang perlu diberi perhatian adalah bahaya yang mungkin menjelma jika tiada batasan dan kawalan dalam menikmati hidangan.

Ini kerana, keracunan makanan khususnya pada musim perayaan boleh berlaku jika perkara ini dipandang remeh.

Kes keracunan terbaru membabitkan kematian empat tetamu yang menikmati juadah pada majlis kahwin sepasang pengantin baharu di Kampung Huma, Tanjung Dawai, Yan, Kedah pada 28 September lalu. 

Dalam pada itu, 270 tetamu yang lain ditahan di beberapa buah hospital berdekatan kerana masalah yang sama setelah menikmati lauk kenduri yang dihidangkan. 

Pengarah Jabatan Kesihatan Kedah, Dr. Ismail Abu Taat berkata, siasatan awal yang dijalankan mendapati bekalan ayam mentah yang digunakan sebelum itu tidak disimpan dengan baik dan hanya dibiarkan dalam keadaan suhu bilik.

Beliau berkata, keadaan tersebut menyebabkan ayam berkenaan dicemari bakteria.
Punca

Kes ini sebenarnya membuka mata orang ramai tentang bahana makanan tercemar dan tidak lagi mengambil mudah tentang masalah keracunan makanan. 

Menurut Pakar Gastroentrologi dan Hepatologi Pusat Perubatan Tropicana, Dr. Dennis Khoo Yeap Teng, Keracunan makanan adalah kejadian normal. Keracunan makanan menyebabkan gangguan gastrousus kepada seseorang setelah mengambil makanan atau minuman yang tercemar.

“Makanan dikatakan tercemar apabila ia mengandungi bahan-bahan tidak sepatutnya seperti kuman patogen yang boleh menyebabkan jangkitan penyakit seperti bakteria, fungsi (kulat dan yis), parasit serta virus.

“Antara makanan yang mudah dicemari oleh bakteria, keju, mentega, daging burger, susu, telur, daging, ayam dan hasil laut," katanya. Agen-agen lain adalah toksin atau kimia beracun (seperti racun serangga, racun rumpai, bahan pencuci kimia, aditif makanan seperti pengawet berlebihan)," katanya.
Oleh itu, orang ramai perlu mengesan tanda atau gejala awal masalah ini.

Tambah Dr. Dennis, biasanya mangsa akan mula mengalami muntah-muntah, sakit perut, cirit-birit, rasa loya, sakit kepala dan demam (berpeluh).

“Mereka yang mengalami gejala tersebut, perlu mendapatkan rawatan segera kerana sebarang kesilapan boleh memungkinkan risiko maut.

Pun begitu, beliau menjelaskan kes kematian akibat keracunan makanan adalah jarang berlaku dan boleh dielakkan.

Rawatan

Bagi memastikan keracunan makanan tidak berlaku, Dr. Dennis menasihatkan orang ramai mengutamakan kebersihan.

“Caranya mudah iaitu membersihkan tangan dengan bersih sebelum menyentuh makanan dan membasuh tangan selepas menggunakan tandas.

“Peralatan makanan juga perlu sentiasa bersih agar tiada kuman yang masih aktif. Kawasan penyediaan makanan juga harus bersih daripada sebarang kekotoran," katanya.

Tambah Dr. Dennis, bagi keracunan ringan, pesakit digalakkan mengambil garam rehidrasi yang dilarutkan ke dalam air untuk menampung kehilangan cecair tubuh.

“Minuman isotonik antara penyelesaian segera yang boleh dicuba. Jika muntah sedikit, biarkan sahaja kerana ia mengeluarkan kuman dan racun.

“Jika muntah berterusan, pesakit akan diberikan ubat tahan muntah. Selalunya keracunan ringan akan reda dengan sendirinya dalam masa sehari dua.

“Jika melarat, pesakit mungkin terpaksa ditahan di hospital untuk dimasukkan garam salina dan glukos melalui rehidrasi intravena yang disuntik ke dalam pembuluh darah," ujarnya.

Tambah beliau, keracunan makanan boleh menyebabkan komplikasi kehilangan cecair badan ketara akibat muntah dan cirit-birit hingga menyebabkan dehidrasi atau tubuh kontang teruk. Ini seterusnya akan menurunkan tekanan darah (tekanan darah rendah), kegagalan buah pinggang, renjatan dan koma yang boleh menjurus kepada kematian.

Di samping itu, kehilangan garam kalium yang terlalu banyak daripada tubuh mengakibatkan kekejangan otot termasuk jantung, sawan dan juga koma. Komplikasi lain termasuk septisemia di mana kuman masuk ke dalam darah dan merebak ke seluruh badan.

Amalkan ‘lihat, hidu, rasa’
 
Orang ramai turut dinasihatkan mengamalkan tiga langkah keselamatan: lihat, hidu, rasa sebelum menikmati makanan terutama pada majlis tertentu, premis makanan dan kantin sekolah.

Naib Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM), Dr. Othman Warijo berkata, langkah dan kempen oleh Kementerian Kesihatan amat penting bagi mengelakkan kes keracunan makanan terutama yang membawa maut.

“Langkah ini walaupun nampak remeh tetapi masa beberapa minit mengamalkannya adalah berbaloi bagi mengelak keracunan atau kejadian lebih malang seperti kematian akibat makanan tercemar.

“Lihat dulu rupa fizikal makanan jika terdapat kelainan seperti kuah melekit atau sebagainya. Apabila fizikal makanan itu baik, maka hidu pula baunya jika terdapat bau basi, seterusnya rasa sedikit dan jika yakin ia segar, boleh makan atau jika sebaliknya tinggalkan makanan tersebut," katanya.

Dr. Othman memberitahu, waktu paling kritikal dan berisiko untuk bahan makanan dicemari oleh bakteria atau virus adalah sewaktu ‘holding time’ iaitu selepas dimasak hinggalah sehingga waktu untuk dimakan.

“Ini kerana makanan yang telah siap dimasak tidak semestinya dimakan dalam waktu terdekat, jika jarak waktu makanan dimasak dan dimakan adalah lama, maka risiko untuk makanan tercemar adalah sangat tinggi," katanya.

Perkara itu terjadi kerana ketika dimasak pada suhu 100 darjah Celcius atau lebih, masih ada bakteria atau virus yang kebal kepada suhu masih aktif dan jika tidak disimpan dengan betul, kuman-kuman akan membiak apabila suhu makanan semakin menurun.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Sunday, 13 October 2013

Sakit jantung mengancam wanita

Oleh RAJA INTAN DIANNA RAJA AZAHAM

SETIAP seorang daripada tiga orang wanita di dunia akan mengalami masalah jantung dalam hidup mereka, berdasarkan kajian, baru-baru ini. 

Pembunuh nombor satu wanita di dunia bukanlah kanser payu dara mahupun kanser pangkal rahim, tetapi penyakit jantung. 

Menurut Persekutuan Jantung Dunia, seramai 17.3 juta orang meninggal dunia setiap tahun akibat sakit jantung dan 8.6 juta daripadanya ialah wanita. 

Fakta ini mungkin mengejutkan ramai orang kerana stigma penyakit jantung sering dikaitkan dengan golongan lelaki sahaja. 

Walhal golongan wanita dan lelaki mempunyai risiko yang sama untuk mendapat penyakit jantung.
Ia lalu membuatkan wanita kurang peka terhadap simptom-simptom yang dihidapi yang sebenarnya berkemungkinan menandakan masalah jantung kerana tidak pernah menyangka sakit jantung akan mengancam mereka. 

Pakar Perubatan dan Pakar Kardiologi Pusat Perubatan Tropicana (TMC), Dr. Haizal Haron Kamar mengakui kesedaran golongan wanita terhadap ancaman sakit jantung agak kurang kerana stigma ia masalah lelaki. 

"Statistik di Amerika Syarikat sejak 1984 menunjukkan lebih ramai wanita yang maut akibat sakit jantung berbanding lelaki setiap tahun. 

"Simptom sakit jantung di kalangan wanita sedikit berbeza dengan lelaki menyebabkan ramai yang salah faham ia masalah lain. 

"Survival pesakit jantung wanita kurang berbanding lelaki kerana kebanyakannya lambat ke hospital," ujarnya bersempena Hari Jantung Sedunia, baru-baru ini. 

Lepas putus haid Wanita yang sudah putus haid merupakan golongan yang paling perlu berhati-hati dengan masalah penyakit jantung. 

Ujar Dr. Haizal, ini kerana keistimewaan wanita yang mempunyai hormon tertentu seperti estrogen yang boleh mencegah wanita daripada ancaman sakit jantung hilang apabila putus haid. 

"Golongan wanita berdepan dengan penyakit jantung 10 hingga 15 tahun lebih lewat daripada lelaki.
"Kalau lelaki mendapat sakit jantung ketika berusia 50 hingga 55 tahun, wanita pula ketika 65 hingga 70 tahun," ujarnya. 

Simptom sakit jantung juga sedikit berbeza dengan lelaki. 

Tambahnya, kesedaran terhadap ancaman penyakit jantung terhadap wanita kurang mungkin disebabkan publisiti kanser payu dara dan kanser pangkal rahim yang lebih hebat. 

Ini berkemungkinan kerana kanser tersebut lebih banyak menyerang wanita muda, ketika mereka di puncak hidup manakala sakit jantung pula kebiasaannya menyerang mereka yang lebih tua.

"Namun golongan lebih muda menghidap sakit jantung koronari juga semakin bertambah atas sebab gaya hidup yang tidak dijaga," ujarnya. 

Simptom Wanita selalunya mengalami simptom masalah jantung koronari yang berbeza daripada lelaki. 

Antaranya, sakit atau rasa tidak selesa pada bahagian dada, lengan kiri atau belakang, degupan jantung pantas yang luar biasa, sukar bernafas, loya dan keletihan. 

Simptom yang paling biasa ialah angina pectoris or angina.

Angina merupakan sakit di bahagian dada. Ia sering digambarkan rasa tidak selesa atau ketat pada bahagian dada, kekebasan dan pedih hulu hati. 

Ia sering disalah-erti sebagai pedih ulu hati atau ketakcernaan membuatkan ramai yang tidak sedar ia sebenarnya tanda penyakit jantung lalu tidak segera merujuk dengan doktor pakar. 

Simptom lain yang perlu diberi perhatian ialah debaran jantung yang tidak sekata, pening dan berpeluh yang teruk.

Sunday, 6 October 2013

Lihat, hidu, rasa elak keracunan makanan


KUALA LUMPUR - Orang ramai dinasihat mengamalkan tiga langkah keselamatan iaitu lihat, hidu dan rasa sebelum menikmati makanan terutama pada majlis tertentu, premis makanan dan kantin sekolah.

Naib Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Dr. Othman Warijo berkata, ia penting bagi mengelak berlaku kes keracunan makanan hingga menyebabkan kematian.

"Langkah tersebut walaupun nampak remeh tetapi tempoh beberapa minit mengamalkannya adalah berbaloi bagi mengelak keracunan atau kejadian lebih malang seperti kematian akibat makanan tercemar," katanya di sini semalam.

Menurut beliau, kebanyakan pihak biasanya menyalahkan pengendali atau penyedia makanan tetapi pada masa sama orang ramai mengabaikan langkah keselamatan sebelum menjamu selera.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Monday, 30 September 2013

Tiga maut keracunan makanan

Dua daripada mangsa keracunan makanan menerima rawatan di Hospital Yan, Kedah, semalam.
 
JERAI 30 Sept. - Tiga maut, tiga kritikal manakala 59 yang lain dimasukkan ke hospital ekoran keracunan makanan selepas menghadiri majlis perkahwinan di Kampung Huma, Tanjung Dawai, Merbok, Kedah pada Sabtu lalu.

Nurshazana Mohd. Rashid, 24, meninggal dunia di rumahnya di Kampung Tempoyak, Bedong pada pukul 1 petang hari ini manakala Mohd. Nor Rahmat Yusof, 11, dari Kampung Singkir Laut maut ketika mendapat rawatan di Hospital Yan.

Mangsa ketiga, Ibrahim Mohammad, 62, dari Kampung Huma meninggal dunia pada pukul 6.30 petang di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.

Kesemua mangsa dirawat di Hospital Yan dan Hospital Sultan Abdul Halim.
Mereka dipercayai memakan ayam masak merah yang dimasak secara gotong-royong oleh penduduk kampung pada majlis perkahwinan berkenaan.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr. Ismail Abu Taat berkata, ketiga-tiga mereka meninggal dunia disebabkan mengalami kekurangan air yang teruk kerana keracunan makanan.

"Mangsa lewat mendapat rawatan kerana mereka tidak ke hospital dengan segera selepas mengalami cirit-birit dan keracunan makanan.

"Saya ingin nasihatkan mereka yang telah menghadiri kenduri tersebut segera mendapatkan rawatan jika mengalami tanda-tanda keracunan makanan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam pada itu menurut ibu Mohd. Nor Rahmat, Che Norma Khalid, 45, anak tunggal lelaki daripada lima beradik itu menghadiri majlis kenduri kahwin tersebut bersama suaminya, Yusof Ariffin, 50, yang turut mengalami sakit perut, namun tidak serius.

"Selepas balik dari rumah kenduri, anak saya belum rasa sakit, dia mula rasa pada waktu malam dan hari ini lebih teruk.

"Kami bawa dia ke Hospital Yan pagi tadi selepas mendapati dia tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 1 petang," katanya ketika ditemui.

Che Norma berkata, murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Singkir itu dikatakan makan nasi bersama ayam masak merah.

Sementara itu sepupu Nurshazana, Hairul Azhar Harun, 33, berkata, mangsa mula berasa sakit perut setelah pulang daripada kenduri tersebut dan sakitnya bertambah teruk pada hari Ahad sehingga dia enggan keluar dari bilik.

"Kami ingat hari ini nak bawa dia (Nurshazana) ke klinik tetapi pagi tadi dia pengsan dalam keadaan tertiarap dalam bilik dan kira-kira pukul 12.45 tengah hari disahkan meninggal dunia.

"Ibu dan adik-adiknya ada juga rasa sakit tetapi tidaklah seteruk dia," katanya.

Dalam pada itu, tuan rumah majlis perkahwinan tersebut, Yusuf Ahmad, 55, tidak menyangka acara perkahwinan anak keduanya bertukar menjadi tragedi apabila tiga orang jemputan meninggal dunia dipercayai akibat keracunan makanan.

Beliau berkata, pihaknya hanya menghidangkan ayam masak merah, gulai ikan talang, kerabu pucuk paku dan sambal ikan bilis bersama kacang yang dimasak secara bergotong-royong bersama penduduk kampung.

"Yang masak sebahagian daripada makanan itu kakak saya, Solehan Harun dibantu saudara-mara yang lain, saya tidak sangka kes seumpama ini boleh berlaku," katanya ketika ditemui.

Menurutnya, kira-kira 2,000 orang diundang menghadiri majlis perkahwinan anak perempuannya, Haslina Yusuf, 22, dan pasangan, Mohd. Fauzan Zakaria, 26.

"Saya amat terkejut bila mengetahui ada kalangan mereka yang makan kenduri itu alami cirit-birit dan muntah, termasuk dalam kalangan anggota keluarga sendiri," katanya.

Yusuf berkata, isterinya, Fauziah Nawawi, 40, dan dua anak mereka turut menerima rawatan di Hospital Yan akibat peristiwa itu.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Thursday, 26 September 2013

Awasi garam dalam makanan


JADI para pengguna dinasihatkan berhati-hati ketika menggunakan penyedap makanan ini kerana apa jua yang tertera sodium di bahagian kandungan, bahan itu merupakan garam.

Bagi mereka yang tidak peka atau kurang prihatin dengan penyakit darah tinggi, lihatlah data Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2006 bahawa penyakit itu lebih berisiko kepada golongan dewasa berusia 30 tahun ke atas terutama warga emas.

Menurut Presiden Persatuan Hipertensi Malaysia, Datin Dr. Chia Yook Chin, peratusan penghidap penyakit darah tinggi di negara ini juga bertambah sebanyak 30 peratus sejak 2006 dengan anggaran 4.8 juta individu menghidap penyakit itu ketika ini.

Tambah beliau, jumlah tersebut tinggi ekoran amalan gaya hidup serta budaya pemakanan yang tidak sihat.

"Jika dilihat daripada statistik terkini, sebenarnya dua per tiga daripada jumlah ini tidak menyedari bahawa mereka menghidap penyakit darah tinggi.

"Apa yang lebih membimbangkan, jumlah tersebut dijangka meningkat dua kali ganda pada 2025.
"Jadi, disarankan agar setiap anggota masyarakat menjalani pemeriksaan kesihatan setiap tahun dalam usaha mengetahui badan bebas daripada penyakit,"ujarnya pada sidang akhbar sempena kursus ketahanan hipertensi di Pusat Perubatan Sime Darby di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambah beliau, pemeriksaan awal penting dan sekiranya seseorang itu didapati mempunyai penyakit, rawatan awal bukan sahaja mampu menyelamatkan nyawa malah juga dapat mengurangkan berlakunya strok.

Hari ini dengan pelbagai teknologi canggih yang ada dan ditambah pula dengan pelbagai kajian, pelbagai rawatan juga mampu diberikan kepada pesakit.

Bukan itu sahaja, pelbagai jenis ubat juga telah dicipta dalam usaha membendung pelbagai penyakit yang 'menyerang' masyarakat hari ini.

Yook Chin turut menasihati mereka yang mempunyai penyakit darah tinggi agar sentiasa mengambil ubat tepat pada masanya dan sentiasalah berkomunikasi dengan doktor masing-masing dalam usaha mengetahui tahap kesihatan dari semasa ke semasa.

Ini kerana sekiranya pesakit tidak mengambil ubat mengikut seperti yang diarahkan penyakit yang sedia ada akan menjadi bertambah teruk malahan akan merebak ke bahagian lain.

Penyakit ini akan menjadi bertambah teruk sekiranya pesakit mempunyai penyakit lain seperti kencing manis, kolestrol tinggi, dan tidak ketinggalan kepada mereka yang merokok.

Berbicara lanjut mengenai penyakit darah tinggi ini, jelas Yook Chin, sebenarnya pengambilan garam yang tinggi dalam makanan antara salah satu penyebab utama darah tinggi.

Penyebab-penyebab lain yang mampu mengundang penyakit darah tinggi ialah faktor umur, berat badan berlebihan, dan kurang senaman.

Namun apa yang pasti katanya, punca sebenar kepada penyakit darah tinggi tidak diketahui.
Dalam majlis itu juga, pasukan perubatan daripada pusat perubatan tersebut memperkenal teknologi dan kaedah terkini dalam merawat hipertensi yang digelar OneShot Renal Denervation System.

Kaedah rawatan itu telah digunakan pakai di Eropah dan Malaysia merupakan negara pertama menggunakannya di rantau ini.

Dalam pada itu, Yook Chin menyeru penggiat industri makanan terutama pengusaha restoran turut membantu menangani masalah penyakit darah tinggi ini dengan mengurangkan penggunaan garam dalam hidangan mereka.

"Sewajarnya mereka perlu ada pengetahuan mengawal penggunaan garam dalam penyediaan makanan dan menggunakan bahan perisa asli yang lebih berkhasiat tanpa menjejaskan keenakan hidangan yang disediakan.

"Pada masa yang sama, masyarakat turut diseru agar menjalani gaya hidup yang lebih sihat dengan melakukan senaman setiap hari kerana apa yang membimbangkan keadaan atau situasi hari ini (sakit) dilihat semakin teruk," katanya sebelum mengakhiri bicara. - MARIATUL QATIAH ZAKARIA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Sunday, 15 September 2013

Jaundis bayi undang risiko


Bayi-bayi yang memerlukan rawatan fototerapi perlu berbaring tanpa pakaian atas katilnya dan dipancarkan cahaya biru dari lampu. - Gambar hiasan
 
Soalan

SAYA baru melahirkan anak tiga hari yang lepas. Adakah jaundis biasa dihidapi oleh bayi baru lahir? Bagaimana merawat jaundis? Bagaimana saya tahu jika bayi saya menghidapi jaundis? Adakah jaundis berbahaya?
- Ibu bimbang, Cheras 


- Jawapan
Jaundis adalah masalah yang kerap dialami oleh bayi baru lahir. Jika bayi anda mengalami jaundis, anda tidak perlu risau, tetapi adalah baik bagi anda memberitahu pakar pediatrik anda, terutamanya jika abdomen atau kaki bayi anda kelihatan kuning. Jika bayi anda berkulit gelap, mata putihnya, tapak tangan atau kakinya akan berwarna kuning.

Punca
Jaundis terjadi pada bayi yang sihat apabila darahnya mengandungi bilirubin yang berlebihan. Bilirubin ialah satu bahan kimia yang dihasilkan semasa penguraian normal sel darah merah. Bayi yang baru lahir cenderung mempunyai tahap bilirubin yang lebih tinggi sebab mereka mempunyai sel darah merah tambahan yang mengangkut oksigen dan didapati kadang-kala hepar mereka yang masih baru tidak boleh memetabolismekan bilirubin yang berlebihan itu. Apabila tahap bilirubin meningkat lebih daripada normal, kekuningan jaundis akan bergerak dari kepala ke bawah, ke tengkuk, dada dan dalam kes teruk, ia akan sampai ke jari-jari kaki. Jaundis seperti ini yang dikenali sebagai jaundis fisiologi, selalunya tidak menyebabkan kerosakan pada bayi yang sihat (berbeza daripada jenis yang lebih serius dan luar biasa yang disebabkan oleh penyakit hepar atau penyakit resus). 

Dalam keadaan yang sangat jarang berlaku, bayi baru lahir yang menghidapi jaundis akan mengalami kerosakan sistem saraf tetapi ini berlaku hanya apabila bilirubin berada pada tahap yang terlalu tinggi. 

Kira-kira 50 peratus bayi yang dilahirkan cukup bulan akan mengalami jaundis pada hari kedua atau ketiga selepas kelahiran. Pada kebiasaannya jaundis akan hilang selepas seminggu. 80 peratus bayi tidak cukup bulan akan menghidapi jaundis di antara lima hingga tujuh hari selepas kelahiran. Biasanya ia akan hilang dua bulan selepas kelahiran.

Merawat Jaundis
Jika anda menyusukan bayi, anda perlu menyusu bayi dengan kerap. Anda mungkin perlu mengejutkan bayi anda daripada tidur untuk menyusukannya. Masa ini anda akan perlukan banyak rehat, air mencukupi, makanan dan sokongan yang banyak. 

Jika bayi anda diberikan susu badan, dia tidak perlu diberikan sebarang cecair lain seperti susu formula atau air sebab penyusuan ibu yang kerap akan memulihkan jaundis. 

Jika bayi anda menghidapi jaundis yang teruk atau kelihatan tidak sihat, doktor mungkin menjalankan ujian darah pada bayi anda untuk mengukur aras bilirubinnya. Doktor juga perlu melihat punca jaundis jika ia bermula selepas tujuh hari atau berlarutan sehingga lebih 14 hari. 

Sesetengah bayi mungkin memerlukan rawatan fototerapi. Jadi, bayi anda perlu berada di hospital dan lampu cahaya biru akan diletakkan di katilnya. Cahaya ini akan membantu memecah bilirubin berlebihan supaya hepar dapat membuangnya. Kesan sampingan fototerapi termasuklah ruam dan cirit-birit tetapi ini penting untuk penguraian bilirubin. 

Bayi-bayi yang memerlukan rawatan fototerapi perlu berbaring tanpa pakaian atas katilnya dan dipancarkan cahaya biru dari lampu. Ini akan menjejaskan penyusuan ibu dan pertalian ibu dengan bayinya. Satu alternatif selain fototerapi tradisional adalah terapi gentian optik. Bayi anda akan dibalut dengan selimut khas yang mempunyai gentian optik, yang menyebabkan cahaya kecil bersinar terus pada kulit bayinya. Bagi rawatan ini anda masih boleh mendakap dan menyusu bayi anda. Namun begitu, rawatan gentian optik tidak efektif seperti fototerapi tradisional pada bayi yang dilahirkan cukup bulan. Pengalaman setempat juga menunjukkan bahawa kadang-kala rawatan gentian optik menjadi terlalu panas untuk bayi pramatang. Namun begitu, apabila digunakan bersama fototerapi tradisional, rawatan gentian optik adalah yang paling efektif bagi bayi menghidapi jaundis. Ada juga terdapat kes jaundis disebabkan jangkitan dan ini memang perlu dirawat. 

Bayi yang mempunyai penyakit resus mudah menghidap jaundis. Tetapi penyakit ini amat jarang berlaku. Wanita hamil akan selalu membuat pemeriksaan darah untuk mengelakkan resus dan anda akan tahu jika anda resus negatif. Darah bayi anda juga akan diperiksa dan suntikan anti-D akan diberikan semasa kelahiran. Ada juga berlaku (walaupun amat jarang) bagi bayi yang menghidapi jaundis akibat penyakit resus, dirawat melalui pemindahan darah. 

Ujian

Pakar-pakar mencadangkan ujian ringkas di rumah untuk memeriksa jaundis. Dapatkan bilik yang mempunyai cahaya secukupnya dan tekan dengan perlahan pada hidung atau dahi bayi anda; jika terdapat warna kuning pada kulit semasa tekanan dilepaskan, hubungi ahli pediatrik anda. Teknik ini amat bagus bagi kanak-kanak yang berkulit cerah; jika bayi anda berkulit gelap, caranya adalah dengan memeriksa warna kekuningan pada mata putih atau gusinya. Anda juga akan dapati bahawa najis bayi anda berwarna pucat. 

Ingatlah, jaudis adalah penyakit biasa dan selalunya bersifat sementara. Ia akan pulih dengan cepat tanpa sebarang campur tangan dan tidak mempunyai kesan jangka panjang. Anda boleh bertanya kepada ahli pediatrik anda untuk bantuan sekiranya ada sebarang keraguan. 

Ia boleh menjadi bahaya. Jangan ambil ringan mengenai jaundis. Kajian telah menunjukkan bahawa jika lebihan bilirubin melepasi satu tahap, pendengaran bayi anda akan terjejas. Pada tahap yang paling tinggi, otak juga akan terjejas dan kondisi ini dikenali sebagai kernicterus.

Utusan Malaysia

Jangan abai sakit saraf

Dr. Vicknesh Wellupillai (tengah) membuat demonstrasi kepada salah seorang pengamal media dalam bengkel Know Your Pain , Stop The Pain mengenai sakit saraf dan cara mengatasinya. 
 
senario di mana seseorang jatuh sakit secara tiba-tiba tanpa tanda-tanda awal semakin kerap berlaku dalam kalangan masyarakat hari ini.

Keadaan ini bukanlah menunjukkan bahawa masyarakat tidak peka dengan kesihatan diri masing-masing, tetapi penyakit hari ini dilihat semakin 'bijak' kerana apabila berada di tahap yang kritikal barulah ia menunjukkan simptom-simptomnya.

Untuk itu setiap orang disaran agar menjalani pemeriksaan secara berkala bagi mengetahui tahap kesihatan dan mengenal pasti apa jua jenis penyakit yang dihidapi. 

Begitupun, ada penyakit yang tidak dapat dikesan pada peringkat awal dan ada juga sakit yang tidak dapat diterangkan apakah jenis penyakitnya.

Begitu juga dengan penyakit saraf di mana penyakit ini tidak dapat dikesan pada peringkat awal tetapi tanda-tandanya sudah kelihatan pada mana-mana individu yang mengalami.

Tanda-tanda kesakitan yang dialami tidak pernah di ambil berat oleh penghidapnya kerana kesakitan itu muncul secara tiba-tiba.

Malah kesakitan yang lazimnya dialami adalah kesakitan yang tidak dapat diterangkan dan ia berbeza daripada biasa.

Menurut Presiden Malaysian Association for the Study of Pain (MASP), Dr. Mary Suma Cardosa, sekiranya mana-mana individu yang mengalami kesakitan pada mana-mana tubuh badan tetapi tidak dapat diterangkan secara terperinci, berkemungkinan individu tersebut mengalami kesakitan saraf.

Tambah beliau lagi, kesakitan saraf atau neuropatik adalah sejenis kesakitan kronik yang berpunca daripada kerosakan pada saraf yang berfungsi mengesan kesakitan, atau pada bahagian dalam sistem saraf yang menghantar isyarat kesakitan seperti saraf tunjang atau otak.

"Kesakitan saraf boleh membawa kesan negatif yang signifikan dalam rutin harian pesakit serta kualiti kehidupan mereka.

"Ramai penghidap penyakit ini menghadapi kesukaran untuk tidur, hilang tumpuan serta selalu berasa letih dan tidak bermaya.

"Ada yang langsung tidak boleh mengenakan pakaian kerana mengalami kesakitan yang teramat sangat apabila pakaian bersentuhan dengan kulit," katanya lagi ketika ditemui di ibu negara, baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai penyakit tersebut, Dr. Mary memberitahu, pesakit yang mengalami penyakit ini juga boleh mengalami kemurungan yang teruk di samping kebimbangan yang tinggi dalam diri masing-masing.

Ini kerana mereka sentiasa berfikir bagaimana untuk menyembuhkan penyakit tersebut selain sentiasa berfikir untuk mencari penawar bagi menyembuhkan penyakit mereka.

Pada masa yang sama, beliau menerangkan, pesakit yang mengalami penyakit ini sering menghadapi masalah untuk menerangkan kesakitan yang dialami.

"Keadaan ini juga secara tidak langsung menunjukkan perbezaan dalam fisiologi dan psikologi yang mempengaruhi cara seseorang itu menerangkan kesakitan mereka," kata Dr. Mary.

Katanya lagi, sehingga hari ini tiada ujian diagnostik yang dapat membuktikan bahawa kesakitan itu wujud.

Bagaimanapun, dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai kesakitan saraf dan rawatan untuk keadaan kesakitan yang dialami pesakit, Pfizer Malaysia baru-baru ini telah menjalankan sebuah siri bengkel kesedaran penyakit dengan usahasama Persatuan bagi Kajian mengenai Penyakit Malaysia (Malaysian Association for the Study of Pain - MASP).

Bengkel tersebut diadakan bertujuan untuk menggalakkan rakyat Malaysia mendapatkan bantuan doktor dalam usaha mengenal pasti penyakit yang mereka hidapi.

Menurut Pengarah Perubatan Pfizer Malaysia, Dr. Vicknesh Wellupillai, bagi mana-mana individu yang mengalami apa jua kesakitan ataupun mengesyaki bahawa mereka mengalami kesakitan saraf, disarankan agar membuat temujanji untuk berjumpa doktor.

Dalam temujanji tersebut, katanya lagi, pesakit haruslah menerangkan dengan jelas mengenai kesakitan yang dirasai dan bahagian tubuh yang terjejas akibatnya dan sekiranya boleh tunjukkan diari kesakitan anda kepada doktor.

"Gunakan perkataan-perkataan yang menerangkan kesakitan seperti rasa pedih, menikam, mencucuk, berdenyut, kebas dan apa sahaja kata sifat yang boleh memberikan gambaran yang jelas kepada doktor anda.

"Langkah yang paling penting untuk merawat kesakitan saraf adalah dengan mempunyai pelan pengurusan kesakitan yang dibina oleh pesakit dan doktor masing-masing.

"Ini kerana hari ini terdapat juga ubat-ubatan yang selamat dan berkesan untuk kesakitan saraf di mana ia boleh melegakan kesakitan yang anda alami," ujarnya lebih lanjut.

Dalam pada itu, pada Jun lalu, Pfizer Malaysia telah menjalankan kaji selidik dalam kalangan 428 rakyat Malaysia yang berumur antara 25 hingga 65 tahun.

Objektif kaji selidik tersebut adalah untuk mengkaji pengetahuan mengenai kesakitan dalam kalangan rakyat Malaysia dan kaedah yang digunakan untuk merawatnya.

Kajian yang dilakukan di hospital-hospital terpilih seluruh negara turut mengutarakan 20 soalan yang berkaitan untuk dijawab.

Dan keputusan daripada kaji selidik tersebut mendapati lapan daripada 10 rakyat Malaysia menyatakan bahawa kesakitan telah menjejaskan kehidupan mereka dan disebabkan kesakitan para pesakit mengalami ketidakupayaan dan kualiti hidup mereka menurun.

Bukan itu sahaja, lebih daripada separuh responden turut mengalami kesukaran menerangkan keadaan kesakitan kepada doktor masing-masing.

Yang penting hari ini pengurusan kesakitan kronik adalah langkah terbaik bagi mengatasi sakit berpanjangan supaya pesakit boleh menjalani kehidupan dengan lebih berkualiti.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Merokok boleh mandul


TETAPI ada pasangan yang mempunyai masalah ini yang mengatakan itu sudah ditentukan takdir. Malangnya ada juga yang menyalahkan pasangan masing-masing kerana kegagalan melahirkan anak sebagai penyambung zuriat. 

Menurut pakar Obstetrik, Ginekologi dan Kesuburan, Dr. Surinder Singh, kesedaran mengenai masalah tidak subur dan rawatan baginya masih lagi rendah di Asia. 

"Banyak faktor risiko bagi lelaki dan perempuan adalah sama. Satu pertiga daripada kes mandul berpunca daripada wanita manakala satu pertiga lagi oleh kaum lelaki. 

"Selebihnya oleh campuran pelbagai sebab daripada pihak wanita dan lelaki dan faktor yang tidak diketahui punca," kata Dr Surinder sambil menambah bahawa gaya hidup pasangan terbabit turut mempengaruhi. 

Faktor umur sudah tentu antara sebab utama punca kemandulan.
Kesuburan wanita akan mula berkurangan pada umur 30 tahun dan ke atas manakala lelaki pada usia 40 tahun dan ke atas.

Merokok, alkohol
Menurut Dr Surinder, tabiat merokok dan minum alkohol secara berlebihan akan mengganggu peluang pasangan suami-isteri untuk mendapat anak. 

Bagi wanita tiada tahap selamat bagi pengambilan alkohol semasa mengandung.

"Minum alkohol secara berlebihan akan menambah risiko kecacatan bayi pada masa kelahiran selain menyukarkan wanita untuk mengandung," jelas Dr Surinder. 

Katanya lagi, mempunyai berat badan yang lebih atau kurang daripada sepatutnya atau bersenam secara berlebihan boleh mengakibatkan masalah kesuburan. 

Ujian
Pasangan yang bermasalah perlu menjalani ujian kesuburan bagi mengenali punca masalah itu.
Bagi pasangan yang berumur lebih 35 tahun dan mempunyai masalah kesuburan, mereka memang digalakkan menjalani ujian itu. 

"Dalam masalah itu, biasanya pasangan wanita mengalami pusingan menstrual (haid) yang tidak menentu (tidak normal). 

"Ada beberapa ujian untuk mengenalpasti punca masalah bagi kedua-dua pasangan," kata Dr Surinder. 

"Ini termasuk pemeriksaan fizikal, ujian hormon dan air mani bagi lelaki manakala bagi wanita, perlu menjalani ujian ovulasi, Laparoscopy selain ujian hormon dan imbasan bunyi (ultrasound) pelvik," jelas pakar itu. 

Selepas pemeriksaan fizikal yang lengkap, pesakit akan ditanya mengenai riwayat perubatan, sebarang penyakit yang ada selain ubat yang diambil, kurang upaya yang ada, serta kegiatan seksual.
Analisis air mani (semen) lelaki juga dijalankan bagi mengetahui kuantiti, warna dan sama ada wujud sebarang jangkitan (infeksi). 

Semua ujian ini membantu doktor mengetahui sama ada lelaki mengeluarkan sperma yang sihat dan cukup bagi persenyawaan, katanya.

Bagi pasangan wanita pula, ujian dijalankan untuk mengetahui sama ada beliau masih menjalani proses ovulasi yang normal (termasuk mengetahui tahap hormon yang ada).

Ujian Laparoscopy juga dijalankan (pesakit diberi bius am) untuk mengkaji tahap tiub falopian, ovari dan uterus beliau samada mempunyai masalah patologi.

"Ujian Laparoscopy boleh mengenalpasti samada wanita itu masih mengeluarkan benih yang sihat dan sama ada laluan reproduktifnya membenarkan sperma dan telur wanita melalui tiub falopian," jelas Dr Surinder, yang juga presiden Malaysian Society of Assisted Reproductive Technology (MSART). 

Harapan
MSART, dengan kerjasama syarikat farmaseutikal Merck Serono, baru-baru melancarkan kempen Harapan Mendapatkan Anak

Kempen itu adalah mengenai program menggunakan kaedah holistik bagi mereka yang mengalami masalah kesuburan. 

Selain menimbulkan kesedaran mengenai kesuburan dan masalah bersangkutan, program itu juga memberi maklumat mengenai rawatan yang ada selain menghulurkan panduan.

Ia juga menyentuh mengenai kemandulan (tidak subur), iaitu satu situasi yang dianggap 'janggal' dan memang jarang serta dijauhi dari diperkatakan. 

Kos rawatan mungkin tinggi tetapi program berkenaan menyaksikan pasangan yang sebelum ini tidak mempunyai zuriat berjaya mendapat cahaya mata melalui kaedah Persenyawaaan dalam Vitro atau IVF (In Vitro Fertlisation). 

Bagi yang masih gagal, bantuan susulan akan diberi dengan syarat pasangan berkenaan menjalani rawatan IVF pertama. Rawatan IVF hanya sesuai jika pasangan mempunyai bilangan sperma yang normal. 

Opsyen lain termasuk Intra Cystoplasmic Sperm Injection (ICSI) bagi pasangan lelaki yang mempunyai masalah bilangan atau kuantiti sperma rendah.

Juga terdapat kaedah Gamete Intra Fallopian Transfer (GIFT) tetapi teknologi ini agak lama dan tidak berapa digemari berbanding kaedah IVF. 

Untuk keterangan lanjut boleh layari www.fertilityasia.com.my. — Bernama

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Wednesday, 11 September 2013

Ikrar sokong henti rokok


Sokongan dan motivasi daripada rakan-rakan serta ahli keluarga merupakan antara elemen terpenting dalam proses untuk seseorang berhenti merokok. 

Statistik oleh Kementerian Kesihatan menunjukkan kira-kira 10,000 kematian dicatatkan setiap setahun akibat penyakit yang berkaitan dengan tabiat merokok.

Bahkan pada tahun 2011 sahaja kira-kira 11,056 kematian direkodkan di hospital kerajaan ekoran daripada penyakit berkaitan tabiat buruk tersebut.

Angka tersebut sudah cukup untuk membuktikan bahaya yang menunggu perokok dan pentingnya tabiat tersebut dihentikan. 

Ini bagi meningkatkan tahap kesihatan bukan saja bagi perokok terbabit bahkan insan tersayang serta orang ramai di sekeliling mereka.

Perokok yang sedang mempertimbangkan untuk berhenti merokok kini tidak perlu berasa ragu-ragu memandangkan kini rakyat Malaysia turut menyokong usaha mereka.

Bahkan, ribuan rakyat telah meluahkan hasrat yang tinggi untuk melihat lebih banyak perokok menghapuskan ketagihan rokok sebagaimana yang perlihatkan melalui kempen Berikrar Berhenti Secara Tepat.

Usaha mengumpul ikrar anjuran GlaxoSmithKline Consumer Healthcare Sdn. Bhd. (GSK) dengan sokongan Kementerian Kesihatan ini, terbukti menerima sambutan menggalakkan apabila 903 perokok berikrar untuk berhenti merokok, sementara 6,555 bukan perokok berikrar menyokong usaha berhenti merokok dan 753 pakar farmasi berikrar menasihati perokok tentang cara berhenti merokok yang tepat.

Ketua Pemasaran Produk Kesihatan GSK untuk Malaysia, Raymond Khor berkata, kempen pertama seumpamanya itu telah berlangsung selama dua minggu bagi memberi peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia mengemukakan ikrar mereka.

"Kami bangga melihat kesan positif kempen Berikrar Berhenti Secara Tepat. Sambutan yang mesra oleh rakyat Malaysia dan jumlah ikrar yang diterima amat menggalakkan.

"Sambutan hangat oleh orang awam merupakan satu petunjuk kukuh bahawa sebilangan besar rakyat Malaysia menyokong usaha menggalakkan perokok berhenti, satu pandangan yang kami harap akan menyumbang kepada kesihatan awam yang lebih baik," katanya.

Raymond berkata, dengan membantu mengurangkan jumlah perokok diharap dapat membantu mengurangkan bilangan pesakit penyakit tidak berjangkit (NCD), seperti kanser, penyakit jantung, dan penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD). 

Lebih membanggakan kempen mendapat sokongan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. S. Subramaniam yang turut menandatangani Ikrar Berhenti Secara Tepat sempena majlis sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Saturday, 7 September 2013

8.5 juta rakyat Malaysia gemuk


S. Subramaniam
Menteri Kesihatan
 
PUTRAJAYA 7 Sept. - Obesiti merupakan masalah kesihatan yang kini menjadi ancaman terbesar kepada rakyat Malaysia dengan seorang daripada tiga penduduk mengalami masalah itu atau mempunyai berat badan berlebihan berikutan terlebih makan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam (gambar) yang bimbang dengan perkembangan itu memberitahu, setakat ini, 8.5 juta penduduk Malaysia mengalami masalah berat badan berlebihan dengan 4.4 juta orang obes.

Menurutnya, masalah tersebut berlaku kerana pengambilan makanan berlebihan yang diburukkan lagi dengan kecenderungan kepada makanan manis.

Beliau berkata, bilangan rakyat Malaysia yang gemuk dijangka terus meningkat jika tiada inisiatif dilakukan masyarakat untuk mengurangkan berat badan dengan mengamalkan gaya hidup sihat.

“Kementerian terus menekankan cara hidup sihat dalam kalangan masyarakat kerana masalah berat badan berlebihan di kalangan mereka telah mencecah 29.4 peratus dan obesiti pula sebanyak 15.1 peratus.

“Masalah tersebut kini telah menjadi ancaman terbesar kepada kesihatan masyarakat. Bayangkan ketika ini seorang daripada tiga penduduk negara ini obes atau mempunyai berat badan berlebihan," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Kempen Nak Sihat Sempena Gegar 10,000 Langkah Merdeka, di Dataran Wawasan Presint 2 di sini hari ini.

Menurut Subramaniam, kerajaan amat komited untuk membudayakan amalan bersukan dan melakukan aktiviti fizikal sebagai rutin harian di kalangan rakyat kerana kajian menunjukkan purata setiap individu melakukan aktiviti senaman selama 20 minit sehari.

Mengulas mengenai Kempen Nak Sihat Sempena Gegar 10,000 Langkah Merdeka, Subramaniam berkata, seramai 70,000 orang yang majoritinya belia mengambil bahagian dalam kempen berkenaan yang dilancarkan serentak di seluruh negara.

Kempen yang diadakan untuk tahun keempat itu katanya, memfokuskan kepada peningkatan kesedaran golongan belia terhadap kepentingan melakukan senaman sebagai amalan hidup seharian.
“Cara hidup orang muda sudah berbeza kerana mereka berada dalam dunia teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Mereka kurang melakukan aktiviti fizikal kerana sudah ketagih dengan permainan dan penggunaan media sosial dari pagi hingga malam.

“ICT sudah menjadi budaya golongan belia sekarang. Sememangnya diakui ICT meningkatkan komunikasi sosial, namun keperluan kehidupan yang aktif tidak boleh diketepikan," katanya.

Katanya, kerajaan akan memainkan peranan dalam memastikan golongan muda sentiasa mengamalkan kehidupan sihat dengan memperbanyakkan kemudahan beriadah di kawasan perumahan antaranya kempen berjalan 10,000 langkah sehari merupakan aktiviti intensiti rendah dan sesuai semua peringkat umur.

“Dianggarkan berjalan 10,000 langkah bersamaan tujuh kilometer sehari mampu membakar 385 kalori," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my