JERAI 30 Sept. - Tiga maut, tiga kritikal
manakala 59 yang lain dimasukkan ke hospital ekoran keracunan makanan
selepas menghadiri majlis perkahwinan di Kampung Huma, Tanjung Dawai,
Merbok, Kedah pada Sabtu lalu.
Nurshazana Mohd. Rashid, 24, meninggal dunia di rumahnya di Kampung
Tempoyak, Bedong pada pukul 1 petang hari ini manakala Mohd. Nor Rahmat
Yusof, 11, dari Kampung Singkir Laut maut ketika mendapat rawatan di
Hospital Yan.
Mangsa ketiga, Ibrahim Mohammad, 62, dari Kampung Huma meninggal
dunia pada pukul 6.30 petang di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai
Petani.
Kesemua mangsa dirawat di Hospital Yan dan Hospital Sultan Abdul Halim.
Mereka dipercayai memakan ayam masak merah yang dimasak secara
gotong-royong oleh penduduk kampung pada majlis perkahwinan berkenaan.
Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr. Ismail Abu Taat berkata, ketiga-tiga mereka meninggal dunia disebabkan mengalami kekurangan air yang teruk kerana keracunan makanan.
"Mangsa lewat mendapat rawatan kerana mereka tidak ke hospital dengan
segera selepas mengalami cirit-birit dan keracunan makanan.
"Saya ingin nasihatkan mereka yang telah menghadiri kenduri tersebut
segera mendapatkan rawatan jika mengalami tanda-tanda keracunan
makanan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam pada itu menurut ibu Mohd. Nor Rahmat, Che Norma Khalid,
45, anak tunggal lelaki daripada lima beradik itu menghadiri majlis
kenduri kahwin tersebut bersama suaminya, Yusof Ariffin, 50, yang turut
mengalami sakit perut, namun tidak serius.
"Selepas balik dari rumah kenduri, anak saya belum rasa sakit, dia mula rasa pada waktu malam dan hari ini lebih teruk.
"Kami bawa dia ke Hospital Yan pagi tadi selepas mendapati dia tidak
sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 1 petang,"
katanya ketika ditemui.
Che Norma berkata, murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Singkir itu dikatakan makan nasi bersama ayam masak merah.
Sementara itu sepupu Nurshazana, Hairul Azhar Harun, 33,
berkata, mangsa mula berasa sakit perut setelah pulang daripada kenduri
tersebut dan sakitnya bertambah teruk pada hari Ahad sehingga dia enggan
keluar dari bilik.
"Kami ingat hari ini nak bawa dia (Nurshazana) ke klinik tetapi pagi
tadi dia pengsan dalam keadaan tertiarap dalam bilik dan kira-kira pukul
12.45 tengah hari disahkan meninggal dunia.
"Ibu dan adik-adiknya ada juga rasa sakit tetapi tidaklah seteruk dia," katanya.
Dalam pada itu, tuan rumah majlis perkahwinan tersebut, Yusuf Ahmad,
55, tidak menyangka acara perkahwinan anak keduanya bertukar menjadi
tragedi apabila tiga orang jemputan meninggal dunia dipercayai akibat
keracunan makanan.
Beliau berkata, pihaknya hanya menghidangkan ayam masak merah, gulai
ikan talang, kerabu pucuk paku dan sambal ikan bilis bersama kacang yang
dimasak secara bergotong-royong bersama penduduk kampung.
"Yang masak sebahagian daripada makanan itu kakak saya, Solehan Harun
dibantu saudara-mara yang lain, saya tidak sangka kes seumpama ini
boleh berlaku," katanya ketika ditemui.
Menurutnya, kira-kira 2,000 orang diundang menghadiri majlis
perkahwinan anak perempuannya, Haslina Yusuf, 22, dan pasangan, Mohd.
Fauzan Zakaria, 26.
"Saya amat terkejut bila mengetahui ada kalangan mereka yang makan
kenduri itu alami cirit-birit dan muntah, termasuk dalam kalangan
anggota keluarga sendiri," katanya.
Yusuf berkata, isterinya, Fauziah Nawawi, 40, dan dua anak mereka turut menerima rawatan di Hospital Yan akibat peristiwa itu.
No comments:
Post a Comment