Showing posts with label Leptospirosis (Penyakit Kencing Tikus). Show all posts
Showing posts with label Leptospirosis (Penyakit Kencing Tikus). Show all posts

Sunday, 4 April 2010

Bahana kencing tikus


 TIKUS mula aktif seks seawal usia enam minggu dan boleh melahirkan sehingga 170 ekor anak sepanjang hayatnya. - Gambar hiasan


BANYAK pihak terkejut apabila deejay dan personaliti radio dan televisyen popular, Din Beramboi dilaporkan terpaksa dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Selayang setelah dipercayai dijangkiti kuman kencing tikus baru-baru ini.

Pelbagai teori tiba-tiba muncul apatah lagi Din jatuh sakit beberapa hari selepas dia menjalani penggambaran di Zoo Negara. Bagaimanapun, Din disahkan meninggal dunia akibat demam denggi berdarah. 

Jangkitan kuman kencing tikus atau leptospirosis yang jarang berlaku itu dipercayai menular daripada haiwan kepada manusia dan kebiasaannya terjadi secara kebetulan. 

Menurut Pakar Perunding Veterinar, Dr. Intan Suriati Abdul Manaf, leptospirosis ialah penyakit berjangkit disebabkan bakteria Leptospira sp. yang sangat tipis dan berbentuk pilin seperti mata gerudi. 

Bakteria Leptospira juga boleh hidup dalam air tawar selama sebulan malah ia juga boleh membiak di air masin.

170 anak

“Banyak haiwan yang boleh menjadi pembawa kepada bakteria Leptospira, tidak kira ia haiwan peliharaan seperti kucing, arnab, lembu, babi, kuda, anjing dan haiwan liar lain seperti rakun dan serigala.

“Bagaimanapun, tikus dikesan sebagai penyebar utama bakteria ini kerana kitaran hidupnya yang suka makan dan tinggal di tempat kotor (menjadi tempat bakteria Leptospira membiak). 

“Iklim negara yang lembap menjadi faktor terbaik kepada pembiakan bakteria ini. Malah, pada suhu sederhana ia boleh hidup lebih lama,” katanya.

Tambah Intan, kitaran hidup tikus yang cepat membiak dan sukar dikawal membantu penyebaran bakteria dengan lebih meluas. 

“Jangka hayat tikus betina adalah di antara dua dan tiga tahun tetapi ia sudah boleh bunting dan aktif seks hanya dalam tempoh enam minggu.

“Setiap kelahiran, tikus boleh melahirkan lima hingga tujuh ekor anak tikus. Tikus betina boleh bunting sebaik melahirkan anak,” kata Intan. 

Secara purata, dalam kitaran hidup seekor tikus betina, ia boleh bunting sehingga 28 kali dan melahirkan sehingga 170 ekor anak.

Tikus gemarkan sampah dan air bertakung seperti di lorong belakang hotel terkemuka, kolong bawah tanah hinggalah ke petak sawah atau kandang kuda. Rumah yang dijaga rapi juga tidak terkecuali daripada menjadi sasaran makhluk perosak tersebut. 

“Bakteria Leptospira akan tersebar melalui cecair yang dikeluarkan oleh tikus seperti air kencing, air liur, darah, air mani dan najis.

DR. INTAN


Rumput
 

“Malah, tikus betina yang bunting boleh memindahkan bakteria tersebut kepada anak dalam kandungannya. 

“Bakteria daripada kencing tikus juga boleh tersebar melalui air atau tanah. Menyentuh pokok atau tanah lembap yang tercemar juga boleh memindahkan bakteria kepada manusia. 

“Oleh sebab itu, saya mengesyorkan pemakaian sarung tangan sewaktu melakukan kerja-kerja berkebun dan basuh tangan menggunakan antiseptik,” kata Intan. 

Menurut beliau, jangkitan terus bakteria Leptospira daripada tubuh tikus jarang dilaporkan sebaliknya terjadi apabila haiwan peliharaan seperti kucing atau anjing meminum air dari lopak yang sudah dicemari dengan kencing tikus.

“Kebiasaannya kucing yang meminum air dari tempat bertakung yang telah dicemari kencing tikus berisiko tinggi untuk mendapat leptospirosis. 

“Pemilik kucing yang membersihkan kucing dan tersentuh dengan kencing, air liur, tisu atau permukaan lembap lain juga akan terdedah kepada jangkitan ini,” ujarnya. 

Gerudi 

Simptom penyakit hanya akan muncul dalam masa empat hingga 12 hari selepas kuman atau bakteria Leptospira menjangkiti haiwan atau manusia.

“Lazimnya, bakteria ini boleh memasuki badan manusia melalui luka atau tisu lembut seperti dalam mulut, hidung atau mata. Jika kita pegang haiwan yang dijangkiti leptospirosis dan makan tanpa mencuci tangan, bakteria tersebut akan turut memasuki tubuh sebelum memasuki saluran darah.

“Bakteria ini akan menggerudi sel-sel dalam badan termasuk hati dan buah pinggang. Malah, dua organ tersebut adalah lokasi utama pembiakan bakteria ini. 

“Akibatnya, sel-sel organ penting haiwan yang diserang bakteria ini akan rosak dan gagal berfungsi manakala pembuluh darah akan pecah sehingga membawa kepada kencing berdarah,” jelas Intan. 

Dalam kes serius, leptospirosis boleh menyebabkan kematian. Tahap jangkitan berbeza antara individu atau haiwan mengikut daya ketahanan masing-masing. 

“Sukar untuk mengenal pasti jangkitan ini pada peringkat awal kerana simptom yang ditunjukkan sangat umum.
“Pemeriksaan terperinci melibatkan ujian makmal, ujian darah, analisis air kencing dan beberapa ujian lain perlu dilakukan sebelum mengetahui ia berpunca daripada Leptospira,” ujarnya.

Kata Intan, simptom akan menjadi lebih serius apabila penyakit memasuki fasa kedua dan ketiga kerana ia boleh menyebabkan kegagalan fungsi buah pinggang dan kerosakan hati.

SEORANG petugas Zoo Negara mengusap tikus terbesar 'Capybara' baru-baru ini. - Gambar hiasan


“Apabila dijangkiti, biasanya bakteria Leptospira mengambil masa sekitar 10 hari untuk sampai ke organ penting sebelum menimbulkan gejala. 

“Dalam tempoh ini, rawatan sewajarnya perlu diberikan untuk mengelak komplikasi tidak diingini,” kata Intan.

Seperti jangkitan bakteria lain, leptospirosis boleh dirawat dengan mengambil antibiotik seperti penisilin, streptomisin, eritromisin, tetrasiklin dan doksisiklin. 

“Kos ujian mengenal pasti bakteria Leptospira tinggi sehingga menyebabkan kebanyakan pemilik haiwan yang dijangkiti kuman itu hanya mengambil rawatan berdasarkan simptom yang ditunjukkan haiwan peliharaan mereka. 

“Untuk tujuan itu, antibiotik adalah pilihan utama namun ia tidak akan membunuh bakteria itu sepenuhnya sebaliknya hanya meredakan simptom jangkitan seperti demam panas, muntah, cirit-birit atau demam kuning.
“Malah selepas tiga bulan ia sihat secara klinikalnya, bakteria itu masih ada di tubuhnya,” jelasnya.

Wednesday, 6 August 2008

Dalang penyakit 'demam lumpur'

Pada tahun 2007 sahaja, kes leptospirosis telah meningkat secara mendadak kepada 929 berbanding 527 kes pada tahun sebelum itu. Wartawan YEO LI SHIAN merungkai permasalahan yang diakibatkan oleh air kencing tikus ini.


KUAN EE (bukan nama sebenar), 35, seorang tukang paip yang banyak menghabiskan masa membaiki paip-paip di sekitar ibu kota. Dalam tempoh setahun bekerja, pernah beberapa kali dia mengambil cuti sakit ekoran ‘penyakit’ yang memperlihatkan simptom-simptom biasa. Petanda-petanda seperti demam panas, sakit-sakit otot, sakit kepala, muntah, cirit-birit dan mata merah adalah antara yang dialaminya.

Hampir setiap kali kunjungannya ke klinik, jawapan doktor yang diterimanya ialah: “Tak apalah, mungkin cuaca atau tersalah makan. Lepas makan ubat ini, kalau tak sihat lagi, datang balik.”

Walaupun selepas satu ketika demam panasnya mulai reda, Kuan Ee kini dibimbangi pula dengan pelbagai masalah lain. Ruam, demam kuning dan sensitiviti mata terhadap cahaya mula menyerangnya. Penglihatannya pula menjadi sedikit kabur. Simptom-simptom kali ini yang disangkakan berlanjutan sehingga beberapa hari rupa-rupanya berterusan selama berminggu-minggu.

Akhirnya, Kuan Ee disahkan menjadi mangsa leptospirosis, satu perkataan yang tidak pernah terlintas di ruang fikirannya.
KEMPEN menangkap tikus yang dijalankan di Wangsa Maju baru-baru ini bertujuan mengurangkan populasi tikus.


Seperti juga Kuan Ee, leptospirosis adalah istilah yang terlalu asing bagi kebanyakan kita. Mengapa agaknya pengetahuan terhadap leptospirosis begitu rendah?

“Simptom-simptom leptospirosis lazimnya nampak begitu umum dan pesakit biasanya beransur pulih selepas kira-kira lima hari. Jadi, tidak mustahil pada kebanyakan masa, ia tersalah didiagnosis sebagai demam panas, selesema atau petanda biasa yang lain.

“Hanya sebahagian kecil iaitu lima hingga 10 peratus kes ini bertambah teruk sehingga menjurus kepada penyakit Weil,” kata Ketua Jabatan Perubatan, Hospital Sungai Buloh, Dr. Christopher Lee ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Menurutnya, leptospirosis yang tergolong dalam kelas zoonosis merupakan penyakit berjangkit paling umum menjejaskan manusia dan haiwan di dunia. Penyakit Weil pula adalah sejenis leptospirosis tahap serius.

Pada tahun 1870, hasil penemuan bersejarah Adolph Weil telah direkodkan iaitu selepas beliau mengesan kehadiran penyakit ini pada empat orang pesakitnya. 

Leptospirosis yang sering menerima jolokan demam swamp atau lumpur, ini mulai ‘membina reputasi’ sebagai penyakit pekerjaan dalam kalangan tukang paip dan pekerja loji kumbahan sekitar tahun 1883. Lantas tidak hairanlah apabila kira-kira 30 hingga 50 peratus daripada kes leptospirosis yang melibatkan manusia berlaku di tempat kerja.
Tahun 1907 pula memperlihatkan satu kaedah staining khas yang digunakan untuk mengesahkan sejenis spirochete iaitu leptospira sebagai dalang penyakit ini.

DR. CHRISTOPHER menunjukkan bakteria spirochete.


Tidak tertakluk kepada jenis etnik tertentu, Christopher menjelaskan jangkitan leptospirosis boleh berlaku menerusi sentuhan secara langsung atau tidak langsung dengan air kencing binatang tercemar.

“Organisma seakan bakteria iaitu spirochete yang biasanya mudah ditemui di persekitaran, misalnya tanah adalah dalang penyakit ini. Leptospira mungkin ditelan tanpa sengaja sewaktu seseorang itu mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti beriadah.

“Luka pada kulit atau membran mukus dalam mata ataupun hidung juga merupakan tempat yang mudah dijangkiti,” jelasnya yang juga seorang pakar perunding kanan penyakit berjangkit. 

Jika anda peminat sukan rekreasi khasnya yang melibatkan air, ini mungkin berita yang kurang menyenangkan anda. Meskipun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) belum mempunyai data yang menunjukkan tahap pencemaran leptospira di sungai atau tempat awam, ini tidak bermakna anda bebas risikonya.

“Aktiviti berisiko tinggi termasuk berenang sewaktu banjir atau di sungai, berakit, berkayak, menyertai aktiviti di kawasan berlumpur, misalnya berkhemah serta mendaki gunung. 

“Berenang merupakan satu-satunya aktiviti yang tidak boleh dicegah daripada kecenderungan tertelan air atau terkena kulit. Bagaimanapun, hanya dalam air masin seperti di laut sahaja bakteria tersebut tidak akan bertahan,” katanya.
JANGAN biarkan anak bermain dengan air banjir.



Satu laporan pada November lalu menunjukkan wabak leptospirosis berlaku di Ireland selepas berakhirnya satu pertandingan berkanu di sebuah sungai.

Biarpun leptospirosis merupakan sejenis ‘penyakit universal’ dan boleh berlaku di mana-mana di dunia, ia bagaimanapun lebih biasa ditemui di kawasan beriklim tropika yang mencatatkan taburan hujan dan banjir tertinggi.

Menyentuh tentang hujan, Christopher pantas menegaskan bermain atau berenang dalam air banjir bukan sesuatu yang menyeronokkan.

“Saya sering kali terkejut melihat sesetengah ibu bapa membiarkan anak bermain dalam air banjir. Waktu air hujan melimpah, pelbagai bakteria dan penyakit dibawa masuk ke dalam air banjir. Ibu bapa patut menghalang anak mendekati air banjir,” katanya.

Tentu ada yang tertanya-tanya apa pula risiko mereka yang menjadikan tikus sebagai makanan, ini jawapan beliau: “Bakteria ini telah pun mati selepas tikus dimasak.”

Dalam beberapa dekad kebelakangan ini, kadar kelaziman wabak leptospirosis telah dilaporkan di negara-negara berbeza seperti di India, Peru, Hawaii, Amerika Syarikat (AS), Thailand dan Malaysia.
AKTIVITI berlumpur seperti pembaikan paip turut mendedahkan seseorang kepada risiko dijangkiti leptospirosis.



Di AS sahaja, kira-kira 100 hingga 200 kes leptospirosis dilaporkan setiap tahun oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit negara itu. Kira-kira 50 peratus kes itu berlaku di Hawaii.

Mungkin sebab itulah, tidak patut kita memperlekehkan kekecilan bakteria ini kerana hanya setitik air sahaja sudah mampu menjejaskan hidup anda.

Bercerita lanjut, Christopher berkata, masyarakat urban yang tinggal di kawasan dengan persekitaran yang kotor sehingga mengundang kehadiran tikus secara semula jadinya lebih berisiko.

Andainya hanya kerana kes leptospirosis jarang kedengaran di bumi Malaysia, itu tidak bererti kita tidak perlu mengambil langkah berjaga-jaga.

Satu data yang diperoleh daripada KKM baru-baru ini mungkin akan membuka mata anda. Jumlah keseluruhan kes leptospirosis yang dimasukkan ke wad dalam tempoh sedekad ini (dari tahun 1999 sehingga 2007) adalah sebanyak 3,161 kes. Jika diamati pada perangkaan tahun demi tahun, bilangan kes penyakit ini nyata menampakkan peningkatan.

Pada tahun lalu sahaja, kes leptospirosis meningkat secara mendadak kepada 929 berbanding 527 kes pada tahun sebelum itu. Ia sekali gus menjadi bilangan kes tertinggi pernah dicatatkan dalam tempoh sedekad ini. Dengan peningkatan kes leptospirosis sejak tiga tahun kebelakangan ini, bukankah penyakit ini signifikan untuk diberi perhatian? Apakah langkah yang telah diambil oleh kerajaan?

Penolong Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit, KKM, Dr. Zairina A. Rahman yang dihubungi menerusi e-mel berkata, kerajaan sebenarnya telah menyediakan risalah-risalah berkaitan leptospirosis untuk meningkatkan kesedaran umum.

“Risalah ini boleh didapati di mana-mana klinik kesihatan atau Pejabat Kesihatan Daerah atau Negeri. Malah, tumpuan kesedaran turut diberikan kepada golongan tentera, pelatih-pelatih Program Latihan Khidmat Negara serta mereka yang meminati sukan air,” katanya kepada Kosmo!.

Oleh kerana air dan tanah merupakan dua sumber tersebarnya bakteria spirochete maka, tidak mengejutkan apabila sebahagian besar mangsa leptospirosis di Malaysia adalah kaum lelaki.

“Sebanyak 84.6 peratus mangsa leptospirosis adalah dalam lingkungan 12 hingga 54 tahun kerana mereka merupakan golongan yang sering dikaitkan dengan aktiviti di luar rumah.

“Antara aktiviti yang mendedahkan mereka dengan risiko mendapat penyakit ini termasuk melakukan aktiviti air, tanah atau mengambil makanan yang tercemar dengan air kencing haiwan khasnya tikus,” jelasnya.




Risiko jangkitan katanya hanya boleh dikurangkan jika kehadiran tikus dan pencemaran oleh air kencing binatang itu dihapuskan sama sekali. Mungkin atas teori inilah, satu kempen menangkap tikus telah dilancarkan di Bandar Baru Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada penghujung April lalu.

Kempen sebulan itu adalah anjuran bersama Jabatan Kesihatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), KKM, Komuniti Bestari Seksyen 2 dan Gabungan Perbadanan Pengurusan Seksyen 2.

Bagi setiap ekor tikus yang ditangkap dan diserahkan kepada DBKL, penduduk akan diberi ganjaran sebanyak RM2. Wangsa Maju yang mempunyai lima seksyen dikatakan menghadapi masalah kehadiran tikus paling teruk di Seksyen 1 dan Desa Setapak.

Namun, Dr. Zairina menekankan kempen tersebut tidak mempunyai kaitan khusus dengan kes leptospirosis. Tetapi, ia sekadar mendapatkan penglibatan masyarakat dalam menjaga kebersihan sekali gus mengurangkan populasi tikus.

Sehubungan itu, kementerian juga telah menjadikan penyakit leptospirosis sebagai penyakit di bawah pengawasan dan pemantauan demi mengetahui perkembangan terkininya.

“Selain itu, KKM bakal mengeluarkan satu panduan Prosedur Operasi Standard bagi pencegahan dan pengawalan penyakit ini untuk kegunaan golongan pengamal perubatan,” katanya.

Bagi masyarakat umum, ini nasihatnya: “Elakkan daripada berenang, mengambil makanan atau minuman yang tercemar dengan air kencing binatang. Jika mengalami gejala jangkitan seperti demam, sakit kepala, sakit perut atau kencing tidak normal, selepas menyertai sesuatu aktiviti riadah berair, segera dapatkan rawatan doktor.”

--- KOSMO