Showing posts with label Penguatkuasaan Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT). Show all posts
Showing posts with label Penguatkuasaan Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT). Show all posts

Sunday, 15 September 2013

Merokok boleh mandul


TETAPI ada pasangan yang mempunyai masalah ini yang mengatakan itu sudah ditentukan takdir. Malangnya ada juga yang menyalahkan pasangan masing-masing kerana kegagalan melahirkan anak sebagai penyambung zuriat. 

Menurut pakar Obstetrik, Ginekologi dan Kesuburan, Dr. Surinder Singh, kesedaran mengenai masalah tidak subur dan rawatan baginya masih lagi rendah di Asia. 

"Banyak faktor risiko bagi lelaki dan perempuan adalah sama. Satu pertiga daripada kes mandul berpunca daripada wanita manakala satu pertiga lagi oleh kaum lelaki. 

"Selebihnya oleh campuran pelbagai sebab daripada pihak wanita dan lelaki dan faktor yang tidak diketahui punca," kata Dr Surinder sambil menambah bahawa gaya hidup pasangan terbabit turut mempengaruhi. 

Faktor umur sudah tentu antara sebab utama punca kemandulan.
Kesuburan wanita akan mula berkurangan pada umur 30 tahun dan ke atas manakala lelaki pada usia 40 tahun dan ke atas.

Merokok, alkohol
Menurut Dr Surinder, tabiat merokok dan minum alkohol secara berlebihan akan mengganggu peluang pasangan suami-isteri untuk mendapat anak. 

Bagi wanita tiada tahap selamat bagi pengambilan alkohol semasa mengandung.

"Minum alkohol secara berlebihan akan menambah risiko kecacatan bayi pada masa kelahiran selain menyukarkan wanita untuk mengandung," jelas Dr Surinder. 

Katanya lagi, mempunyai berat badan yang lebih atau kurang daripada sepatutnya atau bersenam secara berlebihan boleh mengakibatkan masalah kesuburan. 

Ujian
Pasangan yang bermasalah perlu menjalani ujian kesuburan bagi mengenali punca masalah itu.
Bagi pasangan yang berumur lebih 35 tahun dan mempunyai masalah kesuburan, mereka memang digalakkan menjalani ujian itu. 

"Dalam masalah itu, biasanya pasangan wanita mengalami pusingan menstrual (haid) yang tidak menentu (tidak normal). 

"Ada beberapa ujian untuk mengenalpasti punca masalah bagi kedua-dua pasangan," kata Dr Surinder. 

"Ini termasuk pemeriksaan fizikal, ujian hormon dan air mani bagi lelaki manakala bagi wanita, perlu menjalani ujian ovulasi, Laparoscopy selain ujian hormon dan imbasan bunyi (ultrasound) pelvik," jelas pakar itu. 

Selepas pemeriksaan fizikal yang lengkap, pesakit akan ditanya mengenai riwayat perubatan, sebarang penyakit yang ada selain ubat yang diambil, kurang upaya yang ada, serta kegiatan seksual.
Analisis air mani (semen) lelaki juga dijalankan bagi mengetahui kuantiti, warna dan sama ada wujud sebarang jangkitan (infeksi). 

Semua ujian ini membantu doktor mengetahui sama ada lelaki mengeluarkan sperma yang sihat dan cukup bagi persenyawaan, katanya.

Bagi pasangan wanita pula, ujian dijalankan untuk mengetahui sama ada beliau masih menjalani proses ovulasi yang normal (termasuk mengetahui tahap hormon yang ada).

Ujian Laparoscopy juga dijalankan (pesakit diberi bius am) untuk mengkaji tahap tiub falopian, ovari dan uterus beliau samada mempunyai masalah patologi.

"Ujian Laparoscopy boleh mengenalpasti samada wanita itu masih mengeluarkan benih yang sihat dan sama ada laluan reproduktifnya membenarkan sperma dan telur wanita melalui tiub falopian," jelas Dr Surinder, yang juga presiden Malaysian Society of Assisted Reproductive Technology (MSART). 

Harapan
MSART, dengan kerjasama syarikat farmaseutikal Merck Serono, baru-baru melancarkan kempen Harapan Mendapatkan Anak

Kempen itu adalah mengenai program menggunakan kaedah holistik bagi mereka yang mengalami masalah kesuburan. 

Selain menimbulkan kesedaran mengenai kesuburan dan masalah bersangkutan, program itu juga memberi maklumat mengenai rawatan yang ada selain menghulurkan panduan.

Ia juga menyentuh mengenai kemandulan (tidak subur), iaitu satu situasi yang dianggap 'janggal' dan memang jarang serta dijauhi dari diperkatakan. 

Kos rawatan mungkin tinggi tetapi program berkenaan menyaksikan pasangan yang sebelum ini tidak mempunyai zuriat berjaya mendapat cahaya mata melalui kaedah Persenyawaaan dalam Vitro atau IVF (In Vitro Fertlisation). 

Bagi yang masih gagal, bantuan susulan akan diberi dengan syarat pasangan berkenaan menjalani rawatan IVF pertama. Rawatan IVF hanya sesuai jika pasangan mempunyai bilangan sperma yang normal. 

Opsyen lain termasuk Intra Cystoplasmic Sperm Injection (ICSI) bagi pasangan lelaki yang mempunyai masalah bilangan atau kuantiti sperma rendah.

Juga terdapat kaedah Gamete Intra Fallopian Transfer (GIFT) tetapi teknologi ini agak lama dan tidak berapa digemari berbanding kaedah IVF. 

Untuk keterangan lanjut boleh layari www.fertilityasia.com.my. — Bernama

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tuesday, 25 June 2013

Haramkan e-rokok untuk jamin kesihatan rakyat

Oleh ZULKIFLI MANZOR

KUALA LUMPUR – Kerajaan berkemungkinan besar mengharamkan penggunaan rokok elektronik atau e-rokok di negara ini demi menjamin kesihatan orang ramai. 

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, pihaknya akan mencadangkan kepada kerajaan supaya pengimportan produk itu diharamkan di Malaysia. 

“Kementerian Kesihatan akan mencadangkan perkara ini kepada kerajaan. Kita perlu melihat langkah ini daripada sudut perundangan untuk memastikan bahan ini dilarang. 

“Definisi e-rokok sukar ditentukan kerana ia tidak terkandung dalam definisi rokok dan juga tidak termaktub dalam kategori peralatan elektronik,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Monday, 3 June 2013

Menagih rawatan di Klinik Berhenti Merokok




SAAT melangkah masuk ke sebuah klinik, kelihatan beberapa orang lelaki dewasa sedang duduk menunggu giliran. Ada yang membaca akhbar dan risalah tersedia dengan penuh khusyuk sementara menunggu nama masing-masing dipanggil.

Seorang demi seorang daripada mereka diminta menghembuskan nafas menggunakan alat ujian tahap karbon monoksida, COPPM sementara jururawat bertugas mencatat sesuatu dalam buku rekod mereka. 

Beberapa minit kemudian mereka dipanggil masuk ke dalam sebuah bilik seorang demi seorang. Sebaik sahaja pintu bilik dibuka, kelihatan seorang jururawat merangkap kaunselor Klinik Berhenti Merokok sedang duduk menanti kliennya.

"Awak serius nak berhenti merokok? Berapa peratus? Pernah cuba berhenti merokok sebelum ini? Tahu mengenai klinik ini daripada mana?"

Demikian soalan-soalan mukadimah yang dizahirkan oleh jururawat Swinder Jit Jag Singh kepada setiap klien yang datang menemuinya. Salah seorang perokok iaitu, Mohd. Ilham Mohd. Said, 26, tidak terkecuali menerima soalan yang sama.

"Saya serius nak berhenti merokok, mungkin dalam 85 peratus. Saya tahu mengenai klinik ini melalui kawan-kawan yang sudah berhenti merokok.

"Dahulu, mereka sama seperti saya, hisap dua kotak rokok sehari tetapi kini, mereka tidak merokok lagi," kata anak keempat daripada enam beradik yang berasal dari Rawang, Selangor itu menjawab semua soalan dengan tenang.

Swinder memberitahu Mohd. Ilham bahawa bacaan COPPM yang dilakukannya menunjukkan bacaan 10 yang disifatkan sebagai 'lampu merah'.

COPPM merupakan pemeriksaan untuk mengesan tahap karbon monoksida dalam badan pesakit.

Selepas beberapa minit sesi soal jawab berlangsung, jururawat berusia 58 tahun itu menunjukkan kepadanya carta tubuh seorang perokok.

SWINDER menunjukkan carta badan seorang perokok yang mengundang pelbagai penyakit.
Artikel Penuh:


Dalaman tubuh rosak
Menurutnya, apabila seseorang itu merokok, badannya mengandungi banyak karbon monoksida. Saluran darah kecil dan halus di hujung kaki hanya memperoleh darah yang mengandungi karbon monoksida dan bukannya darah beroksigen.

"Apabila tidak dapat darah beroksigen, saraf tersebut akan mati menyebabkan kaki terpaksa dipotong bagi mengelakkannya merebak.
"Mungkin tiada orang yang memaklumkan bahawa merokok boleh menyebabkan kebinasaan pada badan. Secara zahirnya mereka nampak biasa, tetapi dalaman mereka tidak," ujar Swinder sambil memberitahu Mohd. Ilham bahawa perokok umpama kereta yang cantik tetapi enjinnya rosak.

Swinder memberitahu, paru-paru seorang perokok seperti 'daging busuk' kerana setiap sedutan yang diambil mengandungi 7,000 bahan kimia dan salah satu daripadanya adalah tar yang menyebabkan paru-paru menjadi hitam.

Tambahnya, perokok juga akan mengalami pelbagai masalah kesihatan seperti keguguran rambut, katarak, kulit berkedut, pekak, kanser kulit, pereputan gigi, emfisema dan osteoporosis.

Tidak ketinggalan sakit jantung, ulser perut, kekuningan di jari, kanser uterus, keguguran, kecacatan sperma, psoriasis, penyakit buerger dan kanser yang menyebabkan paru-paru bernanah.

"Ada rokok sekarang? Keluarkan cepat. Sekarang rokok ini 'kastam' sudah rampas," katanya kepada Mohd. Ilham sejurus dua kotak rokok sudah bertukar tangan.

Seperti seorang ibu menasihatkan anaknya, Swinder dengan nada lembut tetapi tegas mengingatkan Ilham supaya tidak lagi membeli, meminta rokok dan katakan tidak andai ada rakan yang menghulurkannya.

"Apabila nampak kawan hisap rokok dan rasa gian datang, kena ingat bahawa rasa gian itu berlaku dalam tempoh tiga minit.

"Dalam tempoh itu, kamu perlu lawan rasa gian tersebut, tarik nafas, sibukkan diri dan lama-kelamaan rasa gian itu akan menurun," ujarnya sambil memberitahu, bacaan karbon monoksida menjadi kosong jika seseorang itu tidak merokok dalam masa seminggu.

SESEORANG perokok perlu mengangkat ikrar di depan Swinder sebagai aku janji mereka mahu berhenti merokok.


Sibukkan diri
Dalam tempoh 72 jam berhenti merokok dan meminum air kosong dengan banyak, ia mampu menyingkirkan banyak bahan tidak baik daripada badan.

Jika ada rasa ketagihan untuk merokok, apa yang perlu dilakukan adalah basuh muka, lap muka dan biarkan tangan dalam keadaan basah kerana apabila tangan basah, tak boleh nak pegang rokok.

"Tempoh dua hingga tiga minggu pertama, seseorang perokok yang mahu berhenti perlu 'menyibukkan' mulutnya dengan makan gula-gula, asam, gula-gula getah, kuaci, biskut, emping jagung dan epal hijau.

"Sibukkan diri, dua-dua tangan perlu sentiasa bergerak. Alihkan pemikiran kepada perkara lain dan apa yang penting ialah gunakan kekuatan semangat bagi melawan keinginan tersebut," katanya kepada Mohd. Ilham.

Kelihatan Mohd. Ilham mengangguk faham bait-bait nasihat Swinder kepadanya.

"Saya, Mohd. Ilham Mohd. Mohd Said berikrar dengan sesungguhnya bahawa saya akan berhenti merokok untuk selama-lamanya.

"Tarikh saya berhenti merokok ialah 23 Februari 2013," ikrar Mohd. Ilham yang membuka lembaran baharu dalam kehidupan bebas rokok.
Sebaik ikrar dilafazkan, Swinder yang menjadi saksi mengucapkan tahniah sambil memaklumkan tarikh perjumpaan seterusnya.

Posmen muda itu mula mengenali dan jatuh cinta dengan rokok sejak tingkatan dua. Mohd. Ilham mencuri-curi hisap rokok di luar pengetahuan ibu bapa. Bermula secara suka-suka atas pengaruh rakan, Ilham semakin hanyut.

"Memang ada azam untuk berhenti merokok tetapi ada dalam kalangan rakan-rakan yang memperlekehkan hasrat saya, kerana itu hasrat tersebut mati begitu sahaja.

"Kini, saya nekad untuk berhenti kerana rasa sakit dada ketika membuat kerja," katanya yang menghisap 38 hingga 40 batang rokok sehari dan membelanjakan lebih RM300 sebulan untuk rokok sahaja.
Ia menjadi tabiat yang sebati dalam dirinya sehingga jika tidak dapat rokok, ia mengundang rasa kurang selesa dalam dirinya. Lepas makan sahaja automatik Ilham akan cari rokok.

Selepas Mohd. Ilham, ramai lagi klien lain keluar masuk bertemu Swinder. Penulis berpeluang melihat dan mendengar sendiri sesi kaunseling yang diadakan.

Rata-rata menzahirkan rasa seronok mereka kerana berjaya berhenti merokok. Selera makan bertambah kerana mereka dapat merasai keenakan makanan. Bukan itu sahaja, mereka tidak lagi gemar akan bau rokok yang dahulunya menjadi 'haruman wajib' melekat di pakaian.

Setiap daripada mereka dibekalkan gula-gula getah nikotin, patch, alat sedut (inhaler), vitamin C dan balsam bibir mengikut tahap ketagihan.
BEGINILAH keadaan paru-paru perokok yang hitam legam kerana salah satu daripada bahan dalam rokok ialah tar.


Antara ubat yang diberikan adalah Nicotine Replacement Therapy (NRT) yang terdiri daripada Nicotine Gum, Nicotine Transdermal Patch dan Nicotine Inhaler.

"Kunyah gula-gula getah ini perlahan-lahan. Apabila rasa pudina semakin kuat simpan gula-gula getah itu di tepi pipi. Jangan kunyah laju-laju. Jika tidak, semua nikotin akan keluar dan serbu ke otak. Ia akan membuatkan anda rasa pening, loya dan muntah," terangnya kepada klien sambil memberitahu, apabila rasa pudina hilang, gula-gula getah tersebut perlu dikunyah semula.

Rutin tersebut dilakukan secara berterusan sehingga 30 minit apabila gula-gula getah tersebut tidak mempunyai rasa lagi.

Ujarnya, gula-gula getah itu dikunyah apabila rasa gian menyerang seseorang perokok. Selain itu, pesakit dinasihatkan mengambil vitamin C dan balsam bibir untuk mengelakkan bibir mereka kering.
Enam tahun bebas rokok

Dalam pada itu, seorang bekas pegawai kanan polis, Shubly Zainal Abidin, 60, memberitahu, dirinya tekad berhenti merokok pada tahun 2007 selepas 38 tahun menjadi perokok tegar.

Bapa kepada enam orang anak yang berasal dari Malim Nawar, Perak itu berkata, tindakan untuk berhenti datang sendiri selepas memikirkan sudah begitu lama dirinya terikat dan bergelumang dengan rokok.

"Ketika mula-mula datang ke Klinik Berhenti Merokok Tanglin, bacaan ujian tahap karbon monoksida adalah antara 17 hingga 18. Setelah dua minggu berhenti merokok, bacaannya turun kepada dua," katanya yang sudah enam tahun tidak merokok.

Pada peringkat awal iaitu dalam tempoh tiga bulan pertama, rasa gian untuk merokok memang kuat, namun itu semua berjaya diatasinya.
"Apabila sudah berhenti merokok berat badan saya naik mendadak daripada 70 kilogram (kg) meningkat kepada 110kg berikutan penambahan selera makan. Kini berat saya, 95kg.

"Tiada alasan bahawa, saya sudah merokok lama, mana boleh berhenti. Kalau ada keazaman yang tinggi, walaupun merokok selama 50 tahun, akan berhenti juga. Ini semua permainan mental," ujarnya sambil mengingatkan perokok supaya menjaga pemakanan dan melakukan senaman bagi mengelakkan berat badan meningkat.

Sunday, 2 June 2013

Kandungan Tar, Nikotin Pada Rokok Akan Dikurangkan - Dr Subramaniam



PETALING JAYA, 2 Jun (Bernama) -- Kementerian Kesihatan akan meminta syarikat-syarikat rokok di negara ini mengurangkan lagi kandungan tar serta nikotin dalam tembakau sebagai langkah menghapus tabiat merokok di kalangan rakyat Malaysia.

Menterinya Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata, langkah itu serta beberapa tindakan lain akan dibuat melalui dua fasa iaitu mulai Jan 2014 dan Jun 2015.

"Kita akan kurangkan kandungan tar dalam sebatang rokok dari 20 miligram kepada 10 miligram dan kandungan nikotin dari 1.5 miligram kepada 1 miligram," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia Peringkat Kebangsaan 2013 di pusat membeli belah Sunway Pyramid di sini Ahad.

Turut hadir ialah Pengasas dan Pengerusi Sunway Group Tan Sri Dr Jeffrey Cheah dan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Dr Subramaniam berkata langkah lain yang akan dibuat ialah gambar kempen anti merokok pada setiap kotak tembakau atau kotak rokok akan dibesarkan kepada 50 peratus dari saiz 40 peratus sekarang.

Semua tindakan itu akan dibuat secara berperingkat dan kementerian juga akan mengambil langkah untuk menghalang promosi rokok secara langsung dan tidak langsung termasuk pengiklanan serta pemberian diskaun.

Pengharaman promosi termasuk melalui penglibatan dengan aktiviti kemasyarakatan atau sukan walaupun tujuannya murni, kata beliau.

Beliau tidak menolak kemungkinan negara akan mengambil langkah sama seperti di beberapa buah negara termasuk Thailand dan Australia di mana rokok tidak akan dipamerkan di rak-rak khas seperti sekarang ini sebaliknya akan disimpan di dalam laci dan akan dikeluarkan apabila pelanggan datang membeli.

"Di Malaysia, antara 10 peratus hingga 12 peratus atau 10,000 punca kematian setiap tahun adalah berpunca dari tabiat merokok. Pada tahun 2011, 11,056 kematian di hospital kerajaan boleh dikaitkan dengan tabiat menghisap rokok," katanya.

Katanya, dianggarkan seramai empat juta rakyat Malaysia adalah perokok.

Rakyat Malaysia terutama dari golongan pertengahan juga menghabiskan di antara RM500 ke RM600 sebulan untuk membeli rokok dan ini mempunyai implikasi terhadap ekonomi mereka, katanya.

Bagi membantu mencegah berleluasanya penjualan dan penggunaan rokok tidak sah atau rokok "haram" dari negara jiran, kementerian itu akan bekerjasama rapat dengan pihak kastam untuk mengambil tindakan ke atas penjual atau mana-mana orang yang menjual, membeli atau memiliki rokok berkenaan.

-- BERNAMA

Monday, 18 March 2013

Rokok elektronik berbahaya


ROKOK elektronik yang dianggap sebagai alat bantu berhenti merokok masih diragui kesahihannya. – Gambar hiasan


KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan tidak memperakui rokok elektronik sebagai alat bantuan berhenti rokok dan tidak menggalakkan orang ramai untuk menggunakannya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, keberkesanannya sebagai alat bantuan berhenti merokok masih belum disahkan serta keselamatan cecair nikotin rokok elektronik juga diragui.

Menurutnya, kementerian telah menjalankan analisis terhadap beberapa jenama cecair rokok e-elektronik yang dijual di pasaran dan mendapati kesemua cecair tersebut mengandungi nikotin iaitu bahan racun yang dikawal di bawah Akta Racun 1952.

“Cecair rokok tersebut dikesan mengandungi bahan-bahan kimia berbahaya seperti Diethylene glycol yang beracun dan Nitrosamine yang boleh menyebabkan kanser.

“Pengambilan nikotin yang berlebihan juga boleh menyebabkan keracunan manakala Pertubuhan Kesihatan Sedunia sebelum ini pernah memberi amaran bahawa kemasukan nikotin terus ke dalam paru-paru berkemungkinan boleh menyebabkan kesan keracunan dan ketagihan yang lebih memudaratkan,” katanya dalam satu kenyataan kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Monday, 8 October 2012

Awas rokok tidak sah


Bahdin
8 Oktober 2012
KUANTAN - Usaha mencegah aktiviti penyeludupan rokok dan menangkap dalang di sebalik kegiatan itu bukan hanya tanggungjawab Jabatan Kastam sahaja, sebaliknya meliputi semua golongan masyarakat untuk sama-sama membanteras gejala ini.

Pengarah Kastam Pahang, Sarip Ismail berkata, kegiatan penyeludupan rokok tidak sah merupakan salah satu daripada aktiviti jenayah yang terancang di mana akhirnya akan menjejaskan ekonomi negara.

Menurutnya, akibat daripada kegiatan penyeludupan ini, perolehan hasil negara akan terhad seterusnya mengakibatkan pengurangan perbelanjaan ke atas aktiviti kebajikan, pembangunan, pendidikan, kesihatan dan juga sosial.

“Bukan sahaja pembangunan negara terjejas, malah jika kegiatan ini terus menular, tahap kesihatan tidak terjaga yang mana akan mengancam segala aspek kehidupan kita.

“Bagi menangani aktiviti penyeludupan rokok ini, bermula 1 Mei 200, Kastam telah membuat satu pendekatan baru dengan mengarahkan semua pengilang dan pengimport rokok menggunakan tanda dakwat keselamatan (MY) atau Setem Cukai Kastam Diraja Malaysia pada setiap kotak rokok bagi mengenal pasti rokok yang telah dibayar cukai ataupun tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena dengan Kempen Mencegah Penyeludupan 2012 di Felda Bukit Goh di sini.

Hadir merasmikan majlis, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Lembing, Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah.

Selain itu, Sarip menjelaskan mulai 1 Jun 2009, semua rokok-rokok yang dipasarkan di Malaysia sama ada import ataupun keluaran tempatan perlu mematuhi spesifikasi standard kotak rokok yang baru.

Di samping itu juga, berkuat kuasa 1 Januari 2010, Kementerian Kesihatan telah menguatkuasakan Peraturan Harga Minimum Rokok di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (pindaan) (nombor 2) 2009 yang mana rokok akan dijual minimum RM7 bagi 20 batang.

“Peraturan ini akan membawa tindakan segera ke atas mereka yang menjual rokok-rokok seludup dengan harga kebiasaannya sekitar RM1.50 hingga RM3.80 sekotak.

“Bagi mereka yang didapati memiliki, mengedar, menyimpan, menjual, melindungi atau menyembunyikan rokok-rokok seludup ini adalah menjadi kesalahan di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967 dan boleh dikenakan denda, penjara ataupun kedua-duanya sekali,” katanya.

--- SINAR HARIAN

Thursday, 13 September 2012

Seramai 516 perokok dikompaun semasa Ops Balik Kampung




13 September 2012
PUTRAJAYA - Seramai 516 perokok dikompaun kerana merokok dalam kenderaan awam atau di hentian pengangkutan awam sepanjang operasi penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 peringkat kebangsaan pada 26 hingga 30 Ogos lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman berkata dalam "Ops Balik Kampung" itu, nilai kompaun yang dikeluarkan adalah sebanyak RM129,000 berdasarkan kompaun minimum RM250 tiap seorang.

"Sejumlah 1,641 kenderaan awam serta 335 hentian pengangkutan awam di periksa di seluruh negara semasa operasi itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Operasi itu memberi fokus kepada penguatkuasaan peraturan larangan merokok untuk melindungi para penumpang kenderaan awam daripada bahaya asap rokok basi (second hand smoke) selain memberi kesedaran kepada perokok.

Katanya kementerian akan meneruskan operasi penguatkuasaan itu secara berkala bagi melindungi orang ramai daripada bahaya asap rokok basi.

Selain itu Dr Hasan berkata enam kompaun turut dikeluarkan terhadap tuan punya kenderaan awam kerana gagal mempamerkan tanda "Larangan Merokok" dalam kenderaan atau tanda yang dipamerkan tidak mematuhi spesifikasi ditetapkan dengan nilai keseluruhan kompaun RM1,500 atau RM250 setiap satu.

"Para perokok dinasihati berhenti merokok dan prihatin terhadap gangguan serta bahaya asap rokok basi serta tidak merokok di tempat yang dilarang," katanya.

Mereka yang ingin berhenti merokok boleh mendapatkan perkhidmatan di klinik-klinik kesihatan atau hospital kerajaan berdekatan atau menghubungi no infoline 03-8883 4400 untuk mendapatkan maklumat berkaitan. - Bernama

--- SINAR HARIAN