Di negara ini, jumlah kes penyakit diabetes telah meningkat sebanyak hampir 230 peratus dalam tempoh 25 tahun.
Pada tahun 2011 sahaja ia meningkat 20.8 peratus dengan andaian 2.5
juta rakyat di negara ini yang berumur 30 tahun ke atas menghidap
diabetes.
Justeru, sempena Hari Diabetes Sedunia baru-baru ini, Pusat
Perubatan Subang Jaya (SJMC) mengadakan Cabaran 10,000 Langkah iaitu
kempen berjalan sebanyak 10,000 langkah dalam satu hari.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Vasuhi Murugiah berkata, matlamat
kempen adalah menggalakkan rakyat Malaysia mengamalkan cara hidup sihat
melalui aktiviti yang menyeronokkan sebagai cara untuk menjauhi
diabetes.
"Diabetes bukan sahaja melibatkan cara pemakanan atau diet, tetapi
gaya hidup yang sihat juga memainkan peranan yang besar dalam mencegah
penyakit ini.
"Satu penyelidikan telah menunjukkan bahawa dengan berjalan 10,000
langkah setiap hari, kualiti kesihatan dapat ditingkatkan kerana
berjalan dapat membina stamina, membakar kalori berlebihan di dalam
badan dan juga menjamin kesihatan jantung," katanya.
Dr. Vasuhi berkata, amalan hidup yang sihat harus dijadikan rutin
kerana dapat membantu mencegah penambahan berat badan dan mengurangkan
risiko pelbagai masalah kesihatan lain yang disebabkan oleh gaya hidup
yang tidak sihat.
Berjalan katanya, adalah perkara asas yang boleh dilakukan di
mana-mana sahaja. Pergerakan serta kelajuan setiap individu dapat
disesuaikan mengikut keselesaan masing-masing.
Dalam pada itu Pengurus Perkhidmatan Diabetes SJMC, Yong Lai Mee,
berkata, digalakkan pesakit diabetes jenis 2 untuk bersenam selama 30
minit setiap hari.
"Diabates sering dikaitkan dengan diet yang tidak sihat, tetapi kita
sering mengabaikan kepentingan senaman sebagai salah satu cara untuk
mencegah daripada pelbagai penyakit.
"Kami menjalankan Cabaran 10,000 Langkah ini untuk menunjukkan bagaimana senaman boleh dipraktikkan dalam rutin mereka.
"Cabarannya sangat mudah. Hanya menggunakan aplikasi Accupedo, ia
sudah memadai untuk mereka menyertai cabaran ini dan berpeluang
memenangi hadiah menarik," tambah Lai Mee.
Sementara itu permulaan yang menarik bagi kempen Cabaran 10, 000
Langkah ini adalah menerusi tarian flash mob yang telah dipersembahkan
pada hari pelancaran kempen tersebut.
No comments:
Post a Comment