Wednesday, 26 March 2014

Parlimen: 29 Kematian Akibat Denggi Sehingga Feb


KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Sebanyak 29 kematian akibat denggi direkodkan di seluruh negara bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Beliau berkata bagi tempoh itu 16,383 kes demam denggi dilaporkan di seluruh negara dengan Selangor mencatatkan jumlah kematian tertinggi iaitu 11 kematian dan 8,936 kes.

Ini diikuti Johor dengan lima kematian (1,064 kes), Kuala Lumpur dan Putrajaya tiga kematian (1,561 kes), Perak tiga kematian (1,133 kes), Pulau Pinang tiga kematian (376 kes) dan Kedah satu kematian (142 kes).

"Negeri Sembilan, Melaka dan Kelantan masing-masing mencatatkan satu kematian," katanya dalam jawapan bertulis kepada Lim Lip Eng (DAP-Segambut) di persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

-- BERNAMA

Saturday, 22 March 2014

Menteri Kesihatan Kecewa Dengan Sikap Masyarakat Basmi Wabak Denggi


KUALA LUMPUR, 22 Mac (Bernama) -- Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam kecewa dengan sikap masyarakat yang tidak mengambil bahagian dalam program menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes anjuran kementerian itu.

Beliau berkata usaha membasmi wabak denggi menerusi program menghapuskan tempat pembiakan Aedes tidak akan tercapai sepenuhnya tanpa penglibatan aktif masyarakat di sesebuah kawasan.

Katanya cuaca hujan di beberapa kawasan ketika ini boleh meningkatkan risiko serangan wabak denggi jika puncanya tidak dibasmi oleh penduduk.

"Selepas hujan, jentik-jentik boleh membiak dan hidup selama enam bulan di dalam bekas takungan air. Oleh itu penduduk perlu membersihkan kawasan masing-masing daripada bekas tin kosong dan bekas terbiar," katanya.

Dr Subramaniam berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program pendidikan tinggi, 'Pathway's', di Universiti Malaya di sini hari ini.

Mengenai program pendidikan itu, Dr Subramaniam, yang juga Timbalan Presiden MIC, berkata kerajaan memperuntukkan 1,500 tempat untuk pelajar kaum India memasuki kolej matrikulasi untuk tahun ini.

Selain itu, katanya peluang dalam bidang kemahiran teknikal juga turut disediakan kepada pelajar kaum India.

Program anjuran Gagasan Pelajar India 1Malaysia dengan sokongan Biro Pengajian Tinggi Pemuda MIC itu akan diadakan di seluruh negara bermula hari ini sehingga 2 April ini.

Program berkenaan antara lain bertujuan memberi pendedahan dan khidmat nasihat untuk membantu pelajar kaum India melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Untuk maklumat lanjut boleh hubungi 03-40431111 atau melayari www.1mism.org dan www.facebook.com/1mism.

-- BERNAMA

Friday, 21 March 2014

Sembilan Kes Kematian Demam Denggi Dilaporkan Minggu Lepas


KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Sembilan kes kematian akibat demam denggi dilaporkan di empat buah negari dalam tempoh 9 hingga 15 Mac lepas, menjadikan 53 jumlah keseluruhan kematian sejak Januari lepas.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata kematian terbaru itu melibatkan enam wanita berumur antara 25 dan 54 tahun serta tiga lelaki berusia 36 dan 62 tahun serta pelajar berumur 15 tahun.

"Lima kematian dilaporkan di Selangor, Johor (2) dan masing-masing satu di Perak dan Kelantan", katanya dalam kenyataan Jumaat.

Dr Subramaniam berkata kes demam denggi di seluruh negara dilaporkan meningkat kepada 1,902 bagi tempoh 9-15 Mac iaitu minggu ke-11 kes demam denggi dipantau, berbanding 1,630 minggu sebelumnya

"Dari Januari hingga 15 Mac 2014 pula, keseluruhan kes demam denggi yang dilaporkan adalah 21,967, peningkatan 321 peratus atau 16,746 kes berbanding 5,221 kes bagi tempoh sama tahun lepas", kata Dr Subramaniam.

Beliau berkata jenis virus serotaip DEN 2 menjadi antara faktor peningkatan kes kematian denggi.

"Jangkitan virus serotaip DEN 2 akan memberi manifestasi klinikal lebih teruk dan mempunyai risiko komplikasi lebih tinggi berbanding jangkitan serotaip lain", jelasnya.

Selain itu, beliau berkata 458 lokaliti wabak dilaporkan di 12 negeri dan daripada jumlah itu, 84 lokaliti melibatkan wabak melebihi sebulan iaitu dikategorikan sebagai 'tompok panas'.

Sejumlah 70 lokaliti tompok panas adalah di Selangor, iaitu masing-masing 32 di daerah Hulu Langat dan Petaling, Gombak (5) dan Klang (1).

Sembilan lokaliti tompok panas lain dikesan di Seremban, Negeri Sembilan; Kota Baharu, Kelantan (3); dan masing-masing satu di Kepong, Kuala Lumpur dan Putrajaya dan Melaka Tengah (Melaka).

-- BERNAMA

Sunday, 8 December 2013

Khasiat sebiji telur


RAMAI mendakwa makan telur dalam jumlah yang banyak boleh menjejaskan kesihatan kerana tahap kolesterol yang tinggi. Namun adakah benar fakta tersebut?

Sebenarnya, mengamalkan memakan telur ayam adalah baik kerana banyak khasiatnya. Ia adalah makanan asli yang ideal dan diterima sebagai diet harian manusia di seluruh dunia. 

Sejak turun-temurun lagi, telur ayam menjadi makanan menyihatkan dan ubat bagi pelbagai penyakit.
Cara penyediaannya juga mudah. Ia boleh dimasak dengan pelbagai cara sama ada separuh masak, tiga suku masak, rebus, goreng, sambal, kari dan sebagainya. 

Telur ayam kampung boleh dijadikan penawar atau ubat tradisional bagi merawat pelbagai penyakit. Permintaannya sangat tinggi kerana ia mengandungi vitamin dan galian yang mencukupi hasil daripada pemakanan haiwan tersebut yang asli dan organik, iaitu bebas daripada bahan kimia. 

Sebiji telur ayam mengandungi lebih kurang 10 peratus cangkerang, 30 peratus kuning telur dan 60 peratus albumen (mengikut berat). 

Kandungan kimia telur ayam, telur itik dan telur puyuh tidak terlalu berbeza antara satu dengan lain, kecuali kandungan kolesterol telur itik adalah lebih tinggi sedikit iaitu lebih kurang 16.20 miligram bagi setiap gram kuning telur.

Bahagian putih telur mengandungi protein albumin yang juga merupakan vitamin larut lemak.

Apa yang agak unik adalah ia mengandungi sejenis lagi protein yang dipanggil avidin iaitu sejenis bahan antibiotik semula jadi yang amat berguna untuk melawan jangkitan mikro organisma yang dapat merosakkan telur tersebut.

Antibiotik ini wujud bersama-sama dengan biotin dan akan musnah apabila dimasak. Kadar lemak dan kalori dalam telur adalah rendah tetapi ia kaya dengan sumber protein dan vitamin A.

Bahagian kuning telur merupakan makanan yang mengandungi zat yang berbagai dan seimbang.

Selain kolesterol, ia mengandungi banyak zat-zat makanan yang penting, antaranya adalah 67 miligram sulfur atau lapan peratus daripada keperluan seharian. - SYAHRIL

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tuesday, 3 December 2013

10,000 langkah jauhi diabetes


Sebahagian petugas SJMC menunjukkan denyutan jantung yang sihat sempena kempen Cabaran 10,000 Langkah, di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini. 
 
Di negara ini, jumlah kes penyakit diabetes telah meningkat sebanyak hampir 230 peratus dalam tempoh 25 tahun.

Pada tahun 2011 sahaja ia meningkat 20.8 peratus dengan andaian 2.5 juta rakyat di negara ini yang berumur 30 tahun ke atas menghidap diabetes.

Justeru, sempena Hari Diabetes Sedunia baru-baru ini, Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) mengadakan Cabaran 10,000 Langkah iaitu kempen berjalan sebanyak 10,000 langkah dalam satu hari.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Vasuhi Murugiah berkata, matlamat kempen adalah menggalakkan rakyat Malaysia mengamalkan cara hidup sihat melalui aktiviti yang menyeronokkan sebagai cara untuk menjauhi diabetes. 

"Diabetes bukan sahaja melibatkan cara pemakanan atau diet, tetapi gaya hidup yang sihat juga memainkan peranan yang besar dalam mencegah penyakit ini.

"Satu penyelidikan telah menunjukkan bahawa dengan berjalan 10,000 langkah setiap hari, kualiti kesihatan dapat ditingkatkan kerana berjalan dapat membina stamina, membakar kalori berlebihan di dalam badan dan juga menjamin kesihatan jantung," katanya.

Dr. Vasuhi berkata, amalan hidup yang sihat harus dijadikan rutin kerana dapat membantu mencegah penambahan berat badan dan mengurangkan risiko pelbagai masalah kesihatan lain yang disebabkan oleh gaya hidup yang tidak sihat. 

Berjalan katanya, adalah perkara asas yang boleh dilakukan di mana-mana sahaja. Pergerakan serta kelajuan setiap individu dapat disesuaikan mengikut keselesaan masing-masing. 

Dalam pada itu Pengurus Perkhidmatan Diabetes SJMC, Yong Lai Mee, berkata, digalakkan pesakit diabetes jenis 2 untuk bersenam selama 30 minit setiap hari. 

"Diabates sering dikaitkan dengan diet yang tidak sihat, tetapi kita sering mengabaikan kepentingan senaman sebagai salah satu cara untuk mencegah daripada pelbagai penyakit. 

"Kami menjalankan Cabaran 10,000 Langkah ini untuk menunjukkan bagaimana senaman boleh dipraktikkan dalam rutin mereka.

"Cabarannya sangat mudah. Hanya menggunakan aplikasi Accupedo, ia sudah memadai untuk mereka menyertai cabaran ini dan berpeluang memenangi hadiah menarik," tambah Lai Mee.
Sementara itu permulaan yang menarik bagi kempen Cabaran 10, 000 Langkah ini adalah menerusi tarian flash mob yang telah dipersembahkan pada hari pelancaran kempen tersebut.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Sunday, 27 October 2013

Penyakit kelamin

Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN

MINI, 19, mendapatkan rawatan doktor setelah mulutnya dijangkiti kudis yang teruk. Pada mulanya Mini enggan memberitahu hal sebenar tetapi apabila diasak dengan pelbagai soalan barulah remaja ini membuka rahsia. 

Katanya bagi mengekalkan dara, dia sering melakukan seks oral dan seks anal dengan pasangan.
Malah remaja berkenaan juga mengaku sering bertukar pasangan atas alasan tidak cool jika kekal dengan satu pasangan saja. 

Katanya, ini adalah trend baru dalam kalangan remaja yang ingin mengekalkan dara untuk suami masing-masing.

Nampaknya semakin maju negara, semakin banyak masalah sosial yang melanda. Mujurlah sehingga kini rakyat Malaysia masih menjunjung agama, kesusilaan dan adat-resam. 

Bagaimanapun ancaman gejala sosial kini semakin melingkungi generasi Y iaitu anak-anak muda sekarang.

Jika tidak dibendung, dikhuatiri pelbagai masalah sosial sehingga membawa penyakit akan menghinggapi golongan ini khususnya remaja perempuan. 

Menurut Pakar Runding Obstetrik dan Ginekologi, Pusat Perubatan Kelana Jaya, Petaling Jaya, Dr. Dharmini Veerakumaran, masalah sosial bermula dengan pendidikan seks yang lemah, pendedahan yang melampau kepada Internet tanpa kawalan, kurangnya kawalan ibu bapa dan penglibatan guru di sekolah. 

"Ini menyebabkan remaja sering terjebak dalam seks di bawah umur kerana mereka tidak diberikan penerangan yang betul mengenainya," katanya. 

Dr. Dharmini menambah, kini kanak-kanak seawal 5 tahun telah didedahkan dengan dunia tanpa sempadan. 

"Malah anak yang belum tadika sudah pandai dan bebas menggunakan iPad dan tablet, mencari maklumat dalam Internet yang boleh diakses di tempat awam. Dalam usia begini, mereka tidak dapat memilih mana yang benar dan salah. Ada kalanya mereka terbabas ke laman porno," katanya. 

Dalam hal ini, tegas beliau, peranan ibu bapa penting dalam memberikan bimbingan kepada anak-anak ketika mencari maklumat di Internet. Ibu bapa juga perlu sering berkomunikasi dengan anak-anak dan bertanya ke mana anak-anak sering pergi dan apa yang mereka lakukan. 

Dr. Dharmini berkata, guru juga perlu memainkan peranan dengan mengambil berat apa yang berlaku kepada murid mereka. 

"Jika tidak anak-anak ini akan berpaling kepada kawan-kawan yang boleh memberikan pengaruh yang tidak elok," katanya. 

Apabila keadaan tidak terkawal, remaja terutama perempuan akan terdedah kepada pelbagai masalah sosial seperti seks di usia muda dan mempunyai banyak pasangan seks. 

Mereka bukan saja terdedah kepada penyakit kelamin tetapi juga boleh merebakkan penyakit kepada orang lain. 

Remaja perempuan ini akan terdedah kepada penyakit kelamin seperti herpes yang menyebabkan kudis di bahagian badan. 

Mereka yang sering bertukar pasangan juga terdedah kepada virus human papillomavirus (HPV) meningkatkan kebarangkalian kanser serviks. 

Remaja ini juga jelas Dr. Dharmini juga terdedah kepada hepatitis B dan C serta HIV akibat sering bertukar pasangan serta pasangan yang mempunyai ramai pasangan lain. 

Mereka juga terdedah kepada bakteria dan fungus yang menyebabkan pelbagai penyakit kelamin kerana sering bertukar pasangan dan tidak menjaga kebersihan. 

Apa yang menyedihkan perkara sebegini telah mula menjadi gaya hidup apabila terdapat gadis remaja yang melakukan seks luar tabii semata-mata untuk menyimpan dara mereka. 

Dr. Dharmini berkata, sebenarnya bukan hanya dara saja penting tetapi seluruh tubuh, mental dan fizikal. 

Ujian HIV yang dilakukan ke atas calon pengantin Islam perlu diperluaskan tanpa mengira bangsa dan agama. 

"Ini bukan saja dapat melahirkan generasi yang sihat tetapi juga mengelakkan penyakit berkaitan kelamin merebak. 

"Bakal pengantin juga perlu menghadiri kursus perkahwinan sebagai satu cara untuk menyiapkan diri dalam alam perkahwinan," katanya. 

Selain itu jelas Dr. Dharmini, pesakit perlu menjalani rawatan supaya penyakit yang dihidapi tidak merebak. 

Apa yang penting katanya, remaja perlu mengelakkan melakukan seks sebelum nikah sama ada seks tabii atau luar tabii bagi menghalang pelbagai masalah sosial seperti pembuangan bayi dan yang paling berbahaya perebakan penyakit kelamin. 

Remaja juga perlu dididik mengenai bahaya mempunyai banyak pasangan seks demi kesihatan fizikal, mental dan masa depan mereka.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Pekerja asing punca meningkatnya kes penyakit berjangkit


KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan mengenal pasti kebanjiran pekerja asing merupakan punca kepada peningkatan kes penyakit berjangkit terutamanya tibi, malaria, hepatitis B, sifilis dan kusta di negara ini.

Menteri Kesihatan, Datuk S. Subramaniam (gambar kecil) berkata, perkara itu terbukti apabila seramai 78,000 atau tiga peratus daripada lebih 1.3 juta pekerja asing yang diperiksa tahun lalu didapati mempunyai penyakit-penyakit terbabit.

“Sebagai contoh, kebanjiran pekerja asing menyebabkan penyakit tibi meningkat daripada 63 kes daripada setiap 100,000 populasi pada tahun 2008 kepada 71 kes daripada setiap 100,000 populasi pada 2012.

“Pada 2011, sebanyak 20,000 kes telah dilaporkan berlaku dan telah menyebabkan sebanyak 1,600 kematian,” katanya.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Monday, 21 October 2013

Bahana makanan tercemar

Peralatan pisau dan papan pemotong juga sepatutnya berasingan antara makanan mentah dan yang sudah dimasak. Seterusnya ialah penggunaan bekas yang berbeza bagi mengelak daripada berlakunya pencemaran bersilang. - gambar hiasan.
 
SEPANJANG minggu ini, anda masih lagi berada dalam suasana kemeriahan menyambut Aidiladha dan memenuhi undangan majlis kahwin. Sambil meneruskan tradisi saling mengunjungi, ketika inilah kesempatan turut diambil untuk menjamu selera dengan pelbagai hidangan tersedia.

Perkara penting yang perlu diberi perhatian adalah bahaya yang mungkin menjelma jika tiada batasan dan kawalan dalam menikmati hidangan.

Ini kerana, keracunan makanan khususnya pada musim perayaan boleh berlaku jika perkara ini dipandang remeh.

Kes keracunan terbaru membabitkan kematian empat tetamu yang menikmati juadah pada majlis kahwin sepasang pengantin baharu di Kampung Huma, Tanjung Dawai, Yan, Kedah pada 28 September lalu. 

Dalam pada itu, 270 tetamu yang lain ditahan di beberapa buah hospital berdekatan kerana masalah yang sama setelah menikmati lauk kenduri yang dihidangkan. 

Pengarah Jabatan Kesihatan Kedah, Dr. Ismail Abu Taat berkata, siasatan awal yang dijalankan mendapati bekalan ayam mentah yang digunakan sebelum itu tidak disimpan dengan baik dan hanya dibiarkan dalam keadaan suhu bilik.

Beliau berkata, keadaan tersebut menyebabkan ayam berkenaan dicemari bakteria.
Punca

Kes ini sebenarnya membuka mata orang ramai tentang bahana makanan tercemar dan tidak lagi mengambil mudah tentang masalah keracunan makanan. 

Menurut Pakar Gastroentrologi dan Hepatologi Pusat Perubatan Tropicana, Dr. Dennis Khoo Yeap Teng, Keracunan makanan adalah kejadian normal. Keracunan makanan menyebabkan gangguan gastrousus kepada seseorang setelah mengambil makanan atau minuman yang tercemar.

“Makanan dikatakan tercemar apabila ia mengandungi bahan-bahan tidak sepatutnya seperti kuman patogen yang boleh menyebabkan jangkitan penyakit seperti bakteria, fungsi (kulat dan yis), parasit serta virus.

“Antara makanan yang mudah dicemari oleh bakteria, keju, mentega, daging burger, susu, telur, daging, ayam dan hasil laut," katanya. Agen-agen lain adalah toksin atau kimia beracun (seperti racun serangga, racun rumpai, bahan pencuci kimia, aditif makanan seperti pengawet berlebihan)," katanya.
Oleh itu, orang ramai perlu mengesan tanda atau gejala awal masalah ini.

Tambah Dr. Dennis, biasanya mangsa akan mula mengalami muntah-muntah, sakit perut, cirit-birit, rasa loya, sakit kepala dan demam (berpeluh).

“Mereka yang mengalami gejala tersebut, perlu mendapatkan rawatan segera kerana sebarang kesilapan boleh memungkinkan risiko maut.

Pun begitu, beliau menjelaskan kes kematian akibat keracunan makanan adalah jarang berlaku dan boleh dielakkan.

Rawatan

Bagi memastikan keracunan makanan tidak berlaku, Dr. Dennis menasihatkan orang ramai mengutamakan kebersihan.

“Caranya mudah iaitu membersihkan tangan dengan bersih sebelum menyentuh makanan dan membasuh tangan selepas menggunakan tandas.

“Peralatan makanan juga perlu sentiasa bersih agar tiada kuman yang masih aktif. Kawasan penyediaan makanan juga harus bersih daripada sebarang kekotoran," katanya.

Tambah Dr. Dennis, bagi keracunan ringan, pesakit digalakkan mengambil garam rehidrasi yang dilarutkan ke dalam air untuk menampung kehilangan cecair tubuh.

“Minuman isotonik antara penyelesaian segera yang boleh dicuba. Jika muntah sedikit, biarkan sahaja kerana ia mengeluarkan kuman dan racun.

“Jika muntah berterusan, pesakit akan diberikan ubat tahan muntah. Selalunya keracunan ringan akan reda dengan sendirinya dalam masa sehari dua.

“Jika melarat, pesakit mungkin terpaksa ditahan di hospital untuk dimasukkan garam salina dan glukos melalui rehidrasi intravena yang disuntik ke dalam pembuluh darah," ujarnya.

Tambah beliau, keracunan makanan boleh menyebabkan komplikasi kehilangan cecair badan ketara akibat muntah dan cirit-birit hingga menyebabkan dehidrasi atau tubuh kontang teruk. Ini seterusnya akan menurunkan tekanan darah (tekanan darah rendah), kegagalan buah pinggang, renjatan dan koma yang boleh menjurus kepada kematian.

Di samping itu, kehilangan garam kalium yang terlalu banyak daripada tubuh mengakibatkan kekejangan otot termasuk jantung, sawan dan juga koma. Komplikasi lain termasuk septisemia di mana kuman masuk ke dalam darah dan merebak ke seluruh badan.

Amalkan ‘lihat, hidu, rasa’
 
Orang ramai turut dinasihatkan mengamalkan tiga langkah keselamatan: lihat, hidu, rasa sebelum menikmati makanan terutama pada majlis tertentu, premis makanan dan kantin sekolah.

Naib Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM), Dr. Othman Warijo berkata, langkah dan kempen oleh Kementerian Kesihatan amat penting bagi mengelakkan kes keracunan makanan terutama yang membawa maut.

“Langkah ini walaupun nampak remeh tetapi masa beberapa minit mengamalkannya adalah berbaloi bagi mengelak keracunan atau kejadian lebih malang seperti kematian akibat makanan tercemar.

“Lihat dulu rupa fizikal makanan jika terdapat kelainan seperti kuah melekit atau sebagainya. Apabila fizikal makanan itu baik, maka hidu pula baunya jika terdapat bau basi, seterusnya rasa sedikit dan jika yakin ia segar, boleh makan atau jika sebaliknya tinggalkan makanan tersebut," katanya.

Dr. Othman memberitahu, waktu paling kritikal dan berisiko untuk bahan makanan dicemari oleh bakteria atau virus adalah sewaktu ‘holding time’ iaitu selepas dimasak hinggalah sehingga waktu untuk dimakan.

“Ini kerana makanan yang telah siap dimasak tidak semestinya dimakan dalam waktu terdekat, jika jarak waktu makanan dimasak dan dimakan adalah lama, maka risiko untuk makanan tercemar adalah sangat tinggi," katanya.

Perkara itu terjadi kerana ketika dimasak pada suhu 100 darjah Celcius atau lebih, masih ada bakteria atau virus yang kebal kepada suhu masih aktif dan jika tidak disimpan dengan betul, kuman-kuman akan membiak apabila suhu makanan semakin menurun.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Sunday, 13 October 2013

Sakit jantung mengancam wanita

Oleh RAJA INTAN DIANNA RAJA AZAHAM

SETIAP seorang daripada tiga orang wanita di dunia akan mengalami masalah jantung dalam hidup mereka, berdasarkan kajian, baru-baru ini. 

Pembunuh nombor satu wanita di dunia bukanlah kanser payu dara mahupun kanser pangkal rahim, tetapi penyakit jantung. 

Menurut Persekutuan Jantung Dunia, seramai 17.3 juta orang meninggal dunia setiap tahun akibat sakit jantung dan 8.6 juta daripadanya ialah wanita. 

Fakta ini mungkin mengejutkan ramai orang kerana stigma penyakit jantung sering dikaitkan dengan golongan lelaki sahaja. 

Walhal golongan wanita dan lelaki mempunyai risiko yang sama untuk mendapat penyakit jantung.
Ia lalu membuatkan wanita kurang peka terhadap simptom-simptom yang dihidapi yang sebenarnya berkemungkinan menandakan masalah jantung kerana tidak pernah menyangka sakit jantung akan mengancam mereka. 

Pakar Perubatan dan Pakar Kardiologi Pusat Perubatan Tropicana (TMC), Dr. Haizal Haron Kamar mengakui kesedaran golongan wanita terhadap ancaman sakit jantung agak kurang kerana stigma ia masalah lelaki. 

"Statistik di Amerika Syarikat sejak 1984 menunjukkan lebih ramai wanita yang maut akibat sakit jantung berbanding lelaki setiap tahun. 

"Simptom sakit jantung di kalangan wanita sedikit berbeza dengan lelaki menyebabkan ramai yang salah faham ia masalah lain. 

"Survival pesakit jantung wanita kurang berbanding lelaki kerana kebanyakannya lambat ke hospital," ujarnya bersempena Hari Jantung Sedunia, baru-baru ini. 

Lepas putus haid Wanita yang sudah putus haid merupakan golongan yang paling perlu berhati-hati dengan masalah penyakit jantung. 

Ujar Dr. Haizal, ini kerana keistimewaan wanita yang mempunyai hormon tertentu seperti estrogen yang boleh mencegah wanita daripada ancaman sakit jantung hilang apabila putus haid. 

"Golongan wanita berdepan dengan penyakit jantung 10 hingga 15 tahun lebih lewat daripada lelaki.
"Kalau lelaki mendapat sakit jantung ketika berusia 50 hingga 55 tahun, wanita pula ketika 65 hingga 70 tahun," ujarnya. 

Simptom sakit jantung juga sedikit berbeza dengan lelaki. 

Tambahnya, kesedaran terhadap ancaman penyakit jantung terhadap wanita kurang mungkin disebabkan publisiti kanser payu dara dan kanser pangkal rahim yang lebih hebat. 

Ini berkemungkinan kerana kanser tersebut lebih banyak menyerang wanita muda, ketika mereka di puncak hidup manakala sakit jantung pula kebiasaannya menyerang mereka yang lebih tua.

"Namun golongan lebih muda menghidap sakit jantung koronari juga semakin bertambah atas sebab gaya hidup yang tidak dijaga," ujarnya. 

Simptom Wanita selalunya mengalami simptom masalah jantung koronari yang berbeza daripada lelaki. 

Antaranya, sakit atau rasa tidak selesa pada bahagian dada, lengan kiri atau belakang, degupan jantung pantas yang luar biasa, sukar bernafas, loya dan keletihan. 

Simptom yang paling biasa ialah angina pectoris or angina.

Angina merupakan sakit di bahagian dada. Ia sering digambarkan rasa tidak selesa atau ketat pada bahagian dada, kekebasan dan pedih hulu hati. 

Ia sering disalah-erti sebagai pedih ulu hati atau ketakcernaan membuatkan ramai yang tidak sedar ia sebenarnya tanda penyakit jantung lalu tidak segera merujuk dengan doktor pakar. 

Simptom lain yang perlu diberi perhatian ialah debaran jantung yang tidak sekata, pening dan berpeluh yang teruk.

Sunday, 6 October 2013

Lihat, hidu, rasa elak keracunan makanan


KUALA LUMPUR - Orang ramai dinasihat mengamalkan tiga langkah keselamatan iaitu lihat, hidu dan rasa sebelum menikmati makanan terutama pada majlis tertentu, premis makanan dan kantin sekolah.

Naib Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Dr. Othman Warijo berkata, ia penting bagi mengelak berlaku kes keracunan makanan hingga menyebabkan kematian.

"Langkah tersebut walaupun nampak remeh tetapi tempoh beberapa minit mengamalkannya adalah berbaloi bagi mengelak keracunan atau kejadian lebih malang seperti kematian akibat makanan tercemar," katanya di sini semalam.

Menurut beliau, kebanyakan pihak biasanya menyalahkan pengendali atau penyedia makanan tetapi pada masa sama orang ramai mengabaikan langkah keselamatan sebelum menjamu selera.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my