Monday, 28 January 2013

8 premis makanan di Besut diarah tutup



28 Januari 2013
BESUT - Lapan premis makanan diarah tutup kerana melanggar pelbagai akta berkaitan kesihatan dalam operasi bersepadu kesihatan awam peringkat negeri kali pertama yang diadakan di Besut bermula semalam hingga tengah hari ini.
  
Dalam operasi besar-besaran membabitkan 50 penguatkuasa dan pegawai kesihatan dari seluruh negeri itu, 65 premis dan tempat jualan makanan dikompaun hampir RM2,000.
  
Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Dr Anwa Sulaiman berkata enam premis jualan bahan mentah di Pasar Besar Jerteh turut diperiksa dan 359 jenis bahan jualan bernilai lebih RM1,000 dirampas atas kesalahan menjual bahan yang telah tamat tempoh dan rosak selain tidak meletakkan label.
  
Katanya 19 premis membabitkan stesen minyak, kedai runcit dan pejabat kerajaan turut diperiksa dengan 10 individu dikompaun kerana melanggar peraturan kawalan hasil tembakau 2004.
  
Beliau berkata pihaknya turut memeriksa sembilan premis termasuk pejabat kerajaan yang mana tujuh dari premis yang diperiksa positif sebagai tempat pembiakan nyamuk.
  
Bercakap kepada pemberita di sini, Dr Anwa berkata dalam satu operasi sekatan jalan raya yang diadakan di kawasan Bukit Yong dengan kerjasama polis malam tadi, anggotanya turut merampas 89 jenis barangan termasuk makanan yang melanggar Akta Racun 1952 dan Akta Jualan Dadah 1952.
  
Katanya operasi tersebut akan diteruskan setiap bulan di setiap daerah dalam memastikan para peniaga tidak melakukan pelanggaran akta jualan yang boleh menjejaskan pengguna di negeri ini.  - Bernama

--- SINAR HARIAN

Wednesday, 7 November 2012

Tiada penyakit bawaan air dikesan di kawasan banjir


7 November 2012
Datuk Seri Liow Tiong Lai
Datuk Seri Liow Tiong Lai 
 
KLANG - Belum ada penyakit bawaan air dikesan di kawasan yang dilanda banjir di Johor, Perak, Selangor dan Melaka setakat ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai hari ini.
  
Katanya antara penyakit berjangkit yang mesti diawasi orang ramai pada musim banjir ialah penyakit tangan, kaki dan mulut; demam kepialu; denggi; leptospirosis serta penyakit kulit.
  
Kementerian Kesihatan menugaskan 31 pasukan kesihatan dan 28 pasukan perubatan di kawasan yang dilanda banjir dan setakat ini dilapor merawat lebih 100 pesakit, katanya pada sidang media selepas merasmikan Kompleks Kesihatan Bandar Botanic, Bukit Tinggi, di sini.
  
Beliau juga mengingatkan orang ramai agar tidak bermain dalam air banjir yang mungkin dicemari kuman mengakibatkan penyakit.
  
Mengenai kompleks bernilai RM39 juta tersebut, Liow berkata selain klinik kesihatan dan pergigian, kompleks itu turut menempatkan Pejabat Kesihatan Daerah Klang dan Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan serta Makmal Kawalan Penyakit Bawaan Vektor.

Klinik kesihatan di kompleks ini dilengkapi kemudahan moden serta menawarkan pelbagai perkhidmatan berkaitan termasuk perkhidmatan sokongan kepada 226,989 penduduk di sini, katanya.
  
Pada majlis itu Liow turut melancarkan buku kecil Panduan Makan Secara Sihat Semasa Perayaan Deepavali yang menggariskan tujuh panduan pengambilan makanan semasa perayaan tersebut.
  
Antaranya masyarakat disaran mengehadkan pengambilan makanan berlemak, berminyak atau bergoreng kepada satu hidangan setiap waktu makan selain meminum sekurang-kurangnya enam gelas air sehari.
  
Terdahulu, Liow meninjau keadaan Klinik Kesihatan Pandamaran dan mengumumkan peruntukan RM700,000 bagi menaik taraf klinik itu serta penubuhan sebuah Klinik 1Malaysia di Pandamaran bagi mengurangkan kesesakan pesakit di klinik kesihatan terbabit. - Bernama

--- SINAR HARIAN

Tuesday, 6 November 2012

Laporan antibiotik Ayamas Khamis ini


6 November 2012
Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai 
 
PETALING JAYA - Kementerian Kesihatan sudah mengambil contoh dari produk ayam syarikat Ayamas Food Corporation Sdn Bhd (Ayamas) yang didakwa mengandungi antibiotik Chloramphenicol yang boleh menjejas kesihatan.

Menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pemeriksaan produk itu sedang dijalankan dan laporan akan dikemukakan oleh Bahagian Keselamatan Makanan kementerian pada Khamis ini.

Beliau berkata pemeriksaan itu dibuat bagi memastikan produk makanan dari syarikat itu adalah selamat.

"Di samping itu saya nak maklumkan bahawa sebenarnya kementerian sering memantau keselamatan makanan setiap masa dan pemeriksaan pada produk Ayamas pernah dibuat beberapa tahun yang lepas," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Pelancongan Penjagaan Kesihatan Antarabangsa Malaysia 2012 di sini hari ini.

Media melaporkan, pada Khamis lepas kerajaan Sarawak mengeluarkan larangan import produk ayam syarikat terbabit berkuat kuasa serta merta selepas satu ujian menemui antibiotik Chloramphenicol.

Dalam pada itu, Liow turut menasihati mangsa banjir sekarang supaya menjaga kebersihan diri serta tempat tinggal bagi mengelak dari penyakit taun, denggi dan leptospirosis (kencing tikus).- Bernama

--- SINAR HARIAN

Monday, 8 October 2012

Awas rokok tidak sah


Bahdin
8 Oktober 2012
KUANTAN - Usaha mencegah aktiviti penyeludupan rokok dan menangkap dalang di sebalik kegiatan itu bukan hanya tanggungjawab Jabatan Kastam sahaja, sebaliknya meliputi semua golongan masyarakat untuk sama-sama membanteras gejala ini.

Pengarah Kastam Pahang, Sarip Ismail berkata, kegiatan penyeludupan rokok tidak sah merupakan salah satu daripada aktiviti jenayah yang terancang di mana akhirnya akan menjejaskan ekonomi negara.

Menurutnya, akibat daripada kegiatan penyeludupan ini, perolehan hasil negara akan terhad seterusnya mengakibatkan pengurangan perbelanjaan ke atas aktiviti kebajikan, pembangunan, pendidikan, kesihatan dan juga sosial.

“Bukan sahaja pembangunan negara terjejas, malah jika kegiatan ini terus menular, tahap kesihatan tidak terjaga yang mana akan mengancam segala aspek kehidupan kita.

“Bagi menangani aktiviti penyeludupan rokok ini, bermula 1 Mei 200, Kastam telah membuat satu pendekatan baru dengan mengarahkan semua pengilang dan pengimport rokok menggunakan tanda dakwat keselamatan (MY) atau Setem Cukai Kastam Diraja Malaysia pada setiap kotak rokok bagi mengenal pasti rokok yang telah dibayar cukai ataupun tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena dengan Kempen Mencegah Penyeludupan 2012 di Felda Bukit Goh di sini.

Hadir merasmikan majlis, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Lembing, Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah.

Selain itu, Sarip menjelaskan mulai 1 Jun 2009, semua rokok-rokok yang dipasarkan di Malaysia sama ada import ataupun keluaran tempatan perlu mematuhi spesifikasi standard kotak rokok yang baru.

Di samping itu juga, berkuat kuasa 1 Januari 2010, Kementerian Kesihatan telah menguatkuasakan Peraturan Harga Minimum Rokok di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (pindaan) (nombor 2) 2009 yang mana rokok akan dijual minimum RM7 bagi 20 batang.

“Peraturan ini akan membawa tindakan segera ke atas mereka yang menjual rokok-rokok seludup dengan harga kebiasaannya sekitar RM1.50 hingga RM3.80 sekotak.

“Bagi mereka yang didapati memiliki, mengedar, menyimpan, menjual, melindungi atau menyembunyikan rokok-rokok seludup ini adalah menjadi kesalahan di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967 dan boleh dikenakan denda, penjara ataupun kedua-duanya sekali,” katanya.

--- SINAR HARIAN

Friday, 28 September 2012

83 murid keracunan makanan

Wartawan Sinar Harian
28 September 2012
Ahmad
Ahmad masih keletihan akibat keracunan selepas minum susu kotak di sekolah, semalam.
 
MUAR – Seramai 83  murid Sekolah Rendah Kebangsaan Parit Setongkat, Jalan Salleh di sini mengalami cirit-birit dan muntah dipercayai akibat keracunan makanan dalam kejadian pagi semalam.

Kejadian dilaporkan berlaku pada jam 10.30 pagi, iaitu kira-kira setengah jam selepas sekumpulan murid berkenaan diberikan minuman susu kotak secara percuma pada waktu rehat dan kemudiannya mengadu sakit perut dan mengalami muntah-muntah.

Difahamkan daripada kira-kira 950 murid di sekolah berkenaan yang diberikan susu tersebut, hanya 83 murid yang melibatkan murid darjah satu hingga darjah enam mengalami keracunan makanan.

Sekumpulan kakitangan Pusat Kesihatan daerah dikejarkan ke sekolah berkenaan untuk merawat murid-murid yang terlibat dengan  memberikan suntikan dan ubat kepada mereka yang ditempatkan dalam bilik Kemahiran Hidup.

Tinjauan Sinar Harian ke sekolah berkenaan mendapati kantin sekolah sedang dibersihkan dan kerja-kerja membuang bekalan susu  giat dijalankan.

Namun pihak sekolah enggan mengulas lanjut mengenai kejadian itu.

Dalam pada itu, Sinar Harian turut berusaha mendapatkan kenyataan dari Pusat Kesihatan Muar, namun  gagal kerana menyatakan kes tersebut masih dalam siasatan dan belum disahkan sama ada benar-benar disebabkan oleh susu kotak berkenaan ataupun sebaliknya.

Salah seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 10, berkata, selepas setengah jam minum susu itu, tiba-tiba tekaknya berasa loya dan disertai sakit perut yang memulas.

Menurutnya, ketika itu dia berada dalam kelas untuk mengikuti sesi pembelajaran seterusnya.  Pada mulanya dia menyangka sakit biasa tetapi sakit itu  menyerang kali kedua hingga memaksanya berlari ke tandas.

“Dalam tandas saya muntah sebanyak tiga kali dan cirit birit dua kali. Saya berasa sangat lemah, namun tetap  menggagahkan diri masuk ke dalam kelas.

“Di dalam kelas beberapa rakan lain turut mengalami masalah yang sama sehingga memaksa guru membawa kami ke dalam bilik lain untuk rawatan,” katanya.

Katanya lagi, selepas diberikan suntikan dan ubat oleh petugas kesihatan, keadaannya beransur pulih dan dibenarkan pulang ke rumah.

Ibu kepada Ahmad yang enggan dikenali berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan anaknya mengalami keracunan makanan selepas  minum susu sebaik pulang daripada sekolah.

“Namun saya sangat bersyukur kerana dia selamat dan keracunan yang dialaminya tidak serius,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr Robia Kosai ketika dihubungi berkata,  pihak sekolah perlu untuk memastikan semua bekalan makanan dan minuman di sekolah sentiasa bersih serta segar.

“Masalah keracunan makanan ini mesti diselesaikan segera kerana ia melibatkan kanak-kanak.

“Kanak-kanak memerlukan persekitaran sekolah dan suasana pembelajaran yang selesa untuk supaya tumpuan terhadap pelajaran tidak terjejas,” katanya

--- SINAR HARIAN

Thursday, 13 September 2012

Seramai 516 perokok dikompaun semasa Ops Balik Kampung




13 September 2012
PUTRAJAYA - Seramai 516 perokok dikompaun kerana merokok dalam kenderaan awam atau di hentian pengangkutan awam sepanjang operasi penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 peringkat kebangsaan pada 26 hingga 30 Ogos lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman berkata dalam "Ops Balik Kampung" itu, nilai kompaun yang dikeluarkan adalah sebanyak RM129,000 berdasarkan kompaun minimum RM250 tiap seorang.

"Sejumlah 1,641 kenderaan awam serta 335 hentian pengangkutan awam di periksa di seluruh negara semasa operasi itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Operasi itu memberi fokus kepada penguatkuasaan peraturan larangan merokok untuk melindungi para penumpang kenderaan awam daripada bahaya asap rokok basi (second hand smoke) selain memberi kesedaran kepada perokok.

Katanya kementerian akan meneruskan operasi penguatkuasaan itu secara berkala bagi melindungi orang ramai daripada bahaya asap rokok basi.

Selain itu Dr Hasan berkata enam kompaun turut dikeluarkan terhadap tuan punya kenderaan awam kerana gagal mempamerkan tanda "Larangan Merokok" dalam kenderaan atau tanda yang dipamerkan tidak mematuhi spesifikasi ditetapkan dengan nilai keseluruhan kompaun RM1,500 atau RM250 setiap satu.

"Para perokok dinasihati berhenti merokok dan prihatin terhadap gangguan serta bahaya asap rokok basi serta tidak merokok di tempat yang dilarang," katanya.

Mereka yang ingin berhenti merokok boleh mendapatkan perkhidmatan di klinik-klinik kesihatan atau hospital kerajaan berdekatan atau menghubungi no infoline 03-8883 4400 untuk mendapatkan maklumat berkaitan. - Bernama

--- SINAR HARIAN

Friday, 27 July 2012

Gerai ditutup: 38 orang keracunan makanan

27/07/2012 7:12pm

PORT DICKSON – Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan mengarahkan sebuah gerai bazar Ramadan di Pasir Panjang dekat sini supaya ditutup selama dua minggu mulai hari ini ekoran kejadian 38 orang mengalami sakit perut, cirit-birit dan muntah dipercayai keracunan makanan malam tadi.

Pengarahnya, Datuk Dr Zailan Adnan berkata, bagaimanapun siasatan lanjut sedang dijalankan terhadap gerai bazar Ramadan berkenaan bagi mengenal pasti punca kejadian itu.

"Ia melibatkan 33 pelajar perempuan sebuah kolej, seorang kakitangan kolej dan empat orang awam termasuk dua kanak-kanak.

"Dua belas daripada mereka dimasukkan ke Hospital Port Dickson, manakala selebihnya mendapat rawatan sebagai pesakit luar hospital yang sama. Ini adalah kes pertama yang berlaku melibatkan bazar Ramadan di negeri ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya, kesemua mereka mengalami sakit perut, cirit-birit dan muntah dipercayai keracunan makanan ketika berbuka puasa di gerai berkenaan petang semalam. – BERNAMA

--- KOSMO

Thursday, 19 July 2012

97 murid sekolah rendah di Jitra keracunan makanan



19 Julai 2012
JITRA - Seramai 97 murid sebuah sekolah rendah di sini mengalami keracunan makanan dipercayai selepas minum susu kotak pagi tadi.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 11 pagi setelah kesemua murid terbabit mengadu sakit perut dan muntah selepas 10 minit minum susu tersebut.

Sebanyak 40 murid terpaksa dikejarkan ke Hospital Jitra oleh pihak sekolah bagi mendapatkan rawatan lanjut selepas keadaan mereka bertambah teruk.

Bagaimanapun, kesemua mereka dibenarkan pulang kira-kira pukul 2 petang selepas keadaan mereka dilaporkan stabil.

Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Ismail Abu Taat berkata berdasarkan pemeriksaan awal, susu tersebut baru tiba di sekolah berkenaan dan tidak disimpan di dalam setor.

Beliau berkata pihaknya akan menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca kejadian yang menimpa pelajar sekolah tersebut. - Bernama

--- SINAR HARIAN

Monday, 16 July 2012

72 pelajar sekolah menengah agama keracunan makanan



16 Julai 2012
SEREMBAN - Lebih 70 pelajar di sebuah sekolah menengah agama di sini mengalami keracunan makanan dengan 15 terpaksa mendapat rawatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) hari ini.

Bernama difahamkan kejadian sejak tengah malam tadi itu membabitkan pelajar tingkatan tiga dan lima yang tinggal di asrama sekolah berkenaan selepas menikmati hidangan di dewan makan asrama.

Pegawai Perhubungan Awam HTSJ Lathifah Abdul Hamid berkata 15 pelajar terbabit mendapatkan rawatan di hospital berkenaan kira-kira pukul 9.15 pagi sebelum dibenar pulang.

"Daripada maklumat yang kita terima seramai 72 pelajar di sekolah berkenaan mengalami sakit perut dan cirit-birit disyaki akibat keracunan makanan.

Semua pelajar terbabit telah diberikan rawatan dan keadaan mereka dilaporkan stabil," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata HTSJ telah menghantar sepasukan pegawai perubatan ke sekolah berkenaan bagi menyiasat kejadian.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri Datuk Ismail bin Taib berkata pihaknya akan menyiasat perkara itu dan tindakan akan diambil jika didapati pengusaha makanan tersebut bersalah.

Beliau turut mengingatkan pengusaha makanan dan pengusaha kantin sekolah di negeri ini agar menitikberatkan kebersihan makanan bagi mengelak kejadian keracunan makanan.

Dalam pada itu, beberapa pelajar terbabit ketika ditemui Bernama berkata mereka mengalami sakit perut serta pening sejak malam tadi selepas menikmati hidangan di dewan makan.

Nor Syahira Mohd Shah, 16, berkata dia mula mengalami sakit perut sejak malam tadi sehingga menyebabkannya muntah dan tidak boleh tidur.

"Saya mula perasan perut saya kurang selesa selepas solat Isyak, tapi saya ingatkan pada masa itu hanya sakit perut biasa sahaja.

"Tapi sehingga lewat malam perut saya semakin sakit dan saya mula cirit birit dan muntah. Menjelang pagi saya dapati rakan sebilik saya juga turut mengalami keadaan sama sebelum saya melaporkan kepada warden asrama," katanya.

Seorang lagi pelajar, Atiqah Mohd Rafi, 13, pula berkata dia turut mengalami simptom yang sama dengan rakan-rakannya malam tadi dan terpaksa berulang-alik ke tandas selain mengalami muntah-muntah.

Bagaimanapun pihak sekolah ketika dihubungi enggan memberi sebarang komen. - Bernama

--- SINAR HARIAN

Monday, 9 July 2012

Kementerian sudah ambil sampel makanan


Semalam terdapat laporan menyatakan seramai 12 pemain hoki wanita Johor disyaki keracunan makanan dengan dua daripadanya dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan lanjut.
“Saya mengesahkan Kementerian Kesihatan sudah mengambil sampel makanan itu tapi hasil ujian akan diperoleh dalam tempoh empat atau lima hari lagi.

“Apapun, kami di MSN (Majlis Sukan Negara) sudah membuat pemantauan rapi. Semua pihak tidak perlu risau kerana keadaan terkawal,” kata Pengarah Bahagian Pengurusan Acara MSN, Datuk Abdul Jalil Abdullah.

Berdasarkan laporan, barisan pemain hoki itu yang tinggal di perkampungan sukan universiti Malaysia Pahang (UMP) mengalami keracunan makanan selepas makan malam Khamis lalu.

Ia adalah kes pertama membabitkan keracunan makanan pada temasya sukan yang memasuki edisi ke-15 ini.

Akibat insiden itu, Johor yang sepatutnya turun pada perlawanan pertama bertemu Melaka pada pagi semalam, meminta menukar perlawanan mereka pada sebelah malam.

--- HARIAN METRO