Sunday 8 December 2013

Khasiat sebiji telur


RAMAI mendakwa makan telur dalam jumlah yang banyak boleh menjejaskan kesihatan kerana tahap kolesterol yang tinggi. Namun adakah benar fakta tersebut?

Sebenarnya, mengamalkan memakan telur ayam adalah baik kerana banyak khasiatnya. Ia adalah makanan asli yang ideal dan diterima sebagai diet harian manusia di seluruh dunia. 

Sejak turun-temurun lagi, telur ayam menjadi makanan menyihatkan dan ubat bagi pelbagai penyakit.
Cara penyediaannya juga mudah. Ia boleh dimasak dengan pelbagai cara sama ada separuh masak, tiga suku masak, rebus, goreng, sambal, kari dan sebagainya. 

Telur ayam kampung boleh dijadikan penawar atau ubat tradisional bagi merawat pelbagai penyakit. Permintaannya sangat tinggi kerana ia mengandungi vitamin dan galian yang mencukupi hasil daripada pemakanan haiwan tersebut yang asli dan organik, iaitu bebas daripada bahan kimia. 

Sebiji telur ayam mengandungi lebih kurang 10 peratus cangkerang, 30 peratus kuning telur dan 60 peratus albumen (mengikut berat). 

Kandungan kimia telur ayam, telur itik dan telur puyuh tidak terlalu berbeza antara satu dengan lain, kecuali kandungan kolesterol telur itik adalah lebih tinggi sedikit iaitu lebih kurang 16.20 miligram bagi setiap gram kuning telur.

Bahagian putih telur mengandungi protein albumin yang juga merupakan vitamin larut lemak.

Apa yang agak unik adalah ia mengandungi sejenis lagi protein yang dipanggil avidin iaitu sejenis bahan antibiotik semula jadi yang amat berguna untuk melawan jangkitan mikro organisma yang dapat merosakkan telur tersebut.

Antibiotik ini wujud bersama-sama dengan biotin dan akan musnah apabila dimasak. Kadar lemak dan kalori dalam telur adalah rendah tetapi ia kaya dengan sumber protein dan vitamin A.

Bahagian kuning telur merupakan makanan yang mengandungi zat yang berbagai dan seimbang.

Selain kolesterol, ia mengandungi banyak zat-zat makanan yang penting, antaranya adalah 67 miligram sulfur atau lapan peratus daripada keperluan seharian. - SYAHRIL

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tuesday 3 December 2013

10,000 langkah jauhi diabetes


Sebahagian petugas SJMC menunjukkan denyutan jantung yang sihat sempena kempen Cabaran 10,000 Langkah, di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini. 
 
Di negara ini, jumlah kes penyakit diabetes telah meningkat sebanyak hampir 230 peratus dalam tempoh 25 tahun.

Pada tahun 2011 sahaja ia meningkat 20.8 peratus dengan andaian 2.5 juta rakyat di negara ini yang berumur 30 tahun ke atas menghidap diabetes.

Justeru, sempena Hari Diabetes Sedunia baru-baru ini, Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) mengadakan Cabaran 10,000 Langkah iaitu kempen berjalan sebanyak 10,000 langkah dalam satu hari.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Vasuhi Murugiah berkata, matlamat kempen adalah menggalakkan rakyat Malaysia mengamalkan cara hidup sihat melalui aktiviti yang menyeronokkan sebagai cara untuk menjauhi diabetes. 

"Diabetes bukan sahaja melibatkan cara pemakanan atau diet, tetapi gaya hidup yang sihat juga memainkan peranan yang besar dalam mencegah penyakit ini.

"Satu penyelidikan telah menunjukkan bahawa dengan berjalan 10,000 langkah setiap hari, kualiti kesihatan dapat ditingkatkan kerana berjalan dapat membina stamina, membakar kalori berlebihan di dalam badan dan juga menjamin kesihatan jantung," katanya.

Dr. Vasuhi berkata, amalan hidup yang sihat harus dijadikan rutin kerana dapat membantu mencegah penambahan berat badan dan mengurangkan risiko pelbagai masalah kesihatan lain yang disebabkan oleh gaya hidup yang tidak sihat. 

Berjalan katanya, adalah perkara asas yang boleh dilakukan di mana-mana sahaja. Pergerakan serta kelajuan setiap individu dapat disesuaikan mengikut keselesaan masing-masing. 

Dalam pada itu Pengurus Perkhidmatan Diabetes SJMC, Yong Lai Mee, berkata, digalakkan pesakit diabetes jenis 2 untuk bersenam selama 30 minit setiap hari. 

"Diabates sering dikaitkan dengan diet yang tidak sihat, tetapi kita sering mengabaikan kepentingan senaman sebagai salah satu cara untuk mencegah daripada pelbagai penyakit. 

"Kami menjalankan Cabaran 10,000 Langkah ini untuk menunjukkan bagaimana senaman boleh dipraktikkan dalam rutin mereka.

"Cabarannya sangat mudah. Hanya menggunakan aplikasi Accupedo, ia sudah memadai untuk mereka menyertai cabaran ini dan berpeluang memenangi hadiah menarik," tambah Lai Mee.
Sementara itu permulaan yang menarik bagi kempen Cabaran 10, 000 Langkah ini adalah menerusi tarian flash mob yang telah dipersembahkan pada hari pelancaran kempen tersebut.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my