Sunday 25 August 2013

Meredakan gangguan perut


KETIKA makan, tubuh akan mengeluarkan hormon seperti leptin, cholecystokinin dan glucagon yang bertugas untuk memberitahu otak bahawa kamu sudah kenyang. 

Pun begitu, bahan kimia tersebut mengambil masa untuk sampai ke otak, jadi tidak hairanlah sekiranya kamu berasa sakit perut tanpa isyarat awal kerana terlebih makan.

Selain kadar pengambilan makanan, gas yang memenuhi usus juga berupaya membuatkan perut kamu meragam. Apabila perut meragam, untuk melegakan tekanan perut bukan perkara mudah. 

Bagaimanapun, beberapa langkah diharapkan dapat dijadikan panduan kepada kamu sekiranya mengalami sakit perut akibat terlalu banyak makan. - LYNN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Saturday 17 August 2013

Adakah Makanan Bioteknologi Selamat?


Sedar atau tidak, hampir 70% makanan yang kita makan hari ini mengandungi organisma terubahsuai genetik (GMO). Yang paling biasa ialah sirap jagung, makanan berasaskan soya, beras, bijirin sarapan, kudap-kudap atau snek, biskut kraker, miuman soda, susu tin, minyak masakan malah dalam daging dari haiwan ternakan. Jangan fikir kita tinggal di Malaysia selamat dari makanan GMO. Kini ia telah mula dipraktikkan secara besar-besaran oleh pengusaha-pengusaha tanaman dan juga penternak haiwan.

Ia sebenarnya tidak mengejutkan kerana teknologi kejuruteraan genetik dikatakan mampu bertahan terhadap ancaman serangga perosak, kemarau dan lain-lain. Ia juga dikatakan meningkatkan produktiviti tanaman oleh itu menjana lebih keuntungan.

Tapi adakah ia selamat untuk dimakan?
Menurut pandangan pentadbiran kerajaan Amerika Syarikat, ia selamat dimakan, tahan terhadap penyakit dan menyediakan keperluan yang mencukupi untuk populasi dunia.

Manakala menurut Kesatuan Eropah (EU), mereka menolak makanan GMO. Risiko makanan GMO lebih tinggi dari faedah kesihatan. Hanya syarikat bioteknologi yang mendapat faedah dengan menjana keuntungan berlipat ganda, mendominasi pasaran makanan dunia dan menindas petani dan peladang kecil-kecilan.

Menurut Pengarah Kebangsaan Pertubuhan Pengguna Organik, Ronnie Cummins, tiada saintis yang benar-benar serius dalam dunia yang sanggup mempertahankan teknologi bio selain mereka dibayar oleh syarikat bioteknologi untuk memperkenalkan paten hakcipta terhadap benih atau teknologi yang dihasilkan. Menurutnya lagi, 3 perkataan yang boleh menerangkan keadaan makanan GMO iaitu tidak boleh dijangka, tidak pernah diuji dan ia tidak dilabel (tidak memaklumkan kepada pengguna).

Kesan buruk yang paling banyak dilaporkan dari pemakanan GMO ialah allergik. Pencemaran juga adalah risiko dalam kaedah penanaman GMO. Penyebaran benih secara tidak sengaja boleh mengancam benih asal dan sekali ia tersebar adalah sukar untuk mengawal ke mana ia akan pergi.

Pengguna sepatutnya diberitahu tentang penggunaan GMO dalam makanan yang mereka makan melalui label pada pek atau bungkusan. Buat masa ini, syarikat pengeluar makanan tidak disyaratkan melabelkan GMO pada produk mereka. Syarikat-syarikat ini juga menghalang usaha untuk menguatkuasakan peraturan pelabelan GMO. Jika produk GMO begitu baik dan memberi faedah, mengapa ia tidak mahu dilabelkan? Sebaliknya mengapa pula pengeluar makanan asli dan organik mengambil langkah bertentangan dengan meletakkan label NON-GMO atau 'TIADA GMO' pada bungkusan mereka.

Ini memberi makna bahawa ada sesuatu yang terselindung di sebalik semua ini. Salah satu sebab mereka tidak mahu meletakkan label GMO ialah kerana mereka tidak mahu mengambil risiko pengguna akan menjauhkan diri dari produk mereka memandangkan ia telah diharamkan di Eropah. 

5 Makanan Utama Penyebab Kanser

Makanan penyebab kanser biasanya tinggi kandungan gula, karbohidrat yang diproses, pengawet dan hasil sampingan dari menggoreng dan memanggang. Makanan sebegini juga boleh menyumbang kepada obesiti, kencing manis dan penyakit jantung.

Minuman Manis
Makanan yang tinggi kandungan gula halus seperti minuman manis, soda dan jus meningkatkan risiko kanser. Individu yang mengambil minuman manis dengan kerap mempunyai risiko mendapat kanser pankreas dan kolon. Walaupun gula tidak menukar sel-sel yang sihat menjadi kanser, ia adalah sumber makanan utama untuk sel-sel kanser dan membantu pertumbuhan tumor.

Kentang Goreng
Makanan bergoreng meningkatkan risiko seseorang mendapat kanser terutama jika ia mengandungi minyak hidrogenasi (hydrogenated oil), lemak trans dan hasil sampingan dari proses menggoreng dipanggil acrylamide. Acrylamide adalah neurotoksin dan ejen penyebab tumor. Makanan yang tinggi karbohidrat seperti kentang mudah menghasilkan acrylamide semasa proses menggoreng. Ia meletakkan banyak porduk kentang seperti french fries, potato chip dan hash brown di senarai tertinggi makanan penyebab kanser.

Donut
Donut adalah salah sejenis makanan utama penyebab kanser. Ia sepatutnya dalam senarai teratas makanan penyumbang kepada penyakit kanser. Ia digoreng secara deep fried, mengandungi tahap gula yang tinggi berdasarkan karbohidrat diproses (refined). Gabungan tepung yang diluntur, karbohidrat diproses dan proses menggoreng adalah gabungan terbaik untuk meningkatkan risiko kanser.

Hot Dog
Daging yang diawet adalah faktor yang diketahui penyebab kanser perut dan masalah sistem penghadaman. Daging lebih merbahaya apabila bahan pengawet utama seperti sodium nitrite ditambah ke dalam campuran. Hot dog sepatutnya dielakkan dengan apa cara sekalipun terutama kepada mereka yang mempunyai risiko yang tinggi mengidap kanser perut.

Daging Bakar Hangus/Satay

Apabila daging haiwan dibakar, beberapa toksik terbentuk. Ia sama seperti toksin yang dihasilkan semasa proses pembakaran tembakau dari rokok. Proses memanggang juga menghasilkan acrylamide. Menurut National Cancer Institute (Amerika), kanser kolon, perut dan lain-lain berkaitan dengan pengambilan yang tinggi makanan daging hangus atau yang dipanggang terlalu lama. - Artikel oleh The Secret Medicines
 
 

Aspartame Dalam Produk 'Herba' Langsingkan Tubuh


Pengguna hari ini dinasihatkan agar berhati-hati dengan pelbagai produk kesihatan yang mendakwa menggunakan herba-herba asli sebagai strategi pemasaran pengeluar.

Suatu jenama yang tidak kurang popular dan boleh dikatakan hampir setiap hari produk ini diiklankan di dalam akhbar-akhbar utama. Tergerak hati kami untuk melihat apakah ia benar-benar memberi kesan seperti yang didakwa melalui testimoni-testimoni pelanggan yang agak meyakinkan.

Apabila membaca kandungan bahan-bahan yang digunakan sebagai pemanis tanpa gula, adalah amat mengejutkan apabila menemui kandungan Aspartame dalam produk yang dikatakan 'asli' untuk melangsingkan badan.

Sebenarnya tidak ada produk pelangsingan badan dalam dunia ini yang mampu menurunkan berat badan dengan hanya menelan pil atau meminumnya dalam masa yang sama anda boleh makan di restoran fast food, minum minuman berkarbonat sebanyak-banyaknya mengikut nafsu dan kemahuan anda. Jika anda benar-benar ingin tubuh langsing, kawal diet anda, disiplinkan diri anda dalam hal makan minum, anda perlu menjadi cerewet, kenali herba-herba asli dan biasakan diri anda dengannya, makan makanan semulajadi, elakkan makanan yang sudah diproses secara total, amalkan senaman dan anda tidak perlukan produk yang pelik-pelik dan mencurigakan.

Kami tidak mahu menulis lebih mendalam lagi tentang 'aspartame' ini kerana ia telah banyak kali ditulis dalam posting-posting terdahulu, anda boleh taip aspartame dalam ruangan 'Search' di atas dan akan tersenarai sejumlah artikel yang menceritakan tentang bahaya dan keburukan aspartame dalam Blog ini. Salah satu risiko mengambil aspartame ialah - KANSER! 
 
 

Kandungan Merbahaya Dalam Gincu

http://thesecretmedicines.blogspot.com/2013/05/kandungan-merbahaya-dalam-gincu.html 

12:35 AM 


 


 

Wanita seringkali berkait rapat dengan kosmetik. Gincu adalah salah satu produk kosmetik yang paling biasa digunakan wanita tetapi ia dapat tidak lari dari kandungan merbahaya, bertoksin serta penyebab kanser seperti aluminium, bahan pewarna, cadmium, plumbum, petroleum dan tar arang batu. Tidak hairan wanita juga sering dikaitkan dengan kanser payudara.

Industri kosmetik sudah tentu tidak mahu golongan wanita tahu bahawa bahan-bahan yang digunakan di dalam gincu boleh membahayakan kesihatan. Produk gincu mudah menyerap ke dalam tubuh kerana ia melembapkan bibir sepanjang hari lebih-lebih lagi ketika makan, minum dan bercumbu. 

Dalam satu kajian, penyelidik meminta sekumpulan remaja menyerahkan gincu yang mereka gunakan untuk menguji kandungan logam toksik seperti plumbum dan cadmium. Walaupun kandungan bahan tersebut berbeza-beza mengikut jenama, pengkaji mendapati bahawa mereka yang menggunakan gincu 2-3 kali sehari boleh tertelan 20 peratus dari jumnlah penggunaan harian di dalam minuman kandungan aluminium, cadmium, chromium dan manganese. Plumbum yang manusia perlu jauhi dengan apa cara sekalipun ditemui dalam 75 peratus dari sampel yang diuji. Peningkatan plumbum boleh menyebabkan keguguran, kerosakan DNA dan sel otak.

Dalam analisa yang dilakukan oleh FDA, mereka menemui plumbum di dalam 400 jenis gincu jenama popular. 380 darinya mengandungi 7.19 ppm melebihi had selamat. FDA juga tidak meletakkan had selamat berapa banyak jumlah plumbum di dalam sebatang gincu. Bagaimanapun, FDA menafikan plumbum di dalam gincu boleh membahayakan kerana gincu "bukan dibuat untuk ditelan".

Beberapa jenama yang dianalisa seperti Wet 'n Wild, Shiseido dan Bobbi Brown didapati mengandungi kurang dari 1ppm.

Cadmium adalah karsinogen, ditemui dalam biopsi kanser payudara dan terbukti menyebabkan sel-sel kanser membiak dalam eksperimen makmal. Cadmium adalah sejenis bahan cemar yang biasa ditemui di dalam tanah. Apa yang membimbangkan, pengguna tidak mengerti tentang perkara ini dan ia terdapat di dalam gincu yang mereka gunakan setiap hari.

Untuk mencari produk kosmetik yang selamat, anda boleh melakukan pencarian maklumat di sini.

Berikut antara jenama yang mengandungi plumbum mengikut kajian yang dijalankan oleh FDA pada 2012.

- Artikel oleh The Secret Medicines

Cadmium Dalam Makanan Laut

http://thesecretmedicines.blogspot.com/2009/09/cadmium-dalam-makanan-laut.html


Cadmium merupakan satu lagi masalah pencemaran yang sedang melanda dunia hari ini. Ia tidak kurang seperti pencemaran merkuri, plumbum dan zink. Cadmium berkaitan dengan proses perindustrian seperti proses saduran logam di kilang-kilang elektronik dan semikonduktor, kilang membuat bateri, plastik dan lain-lain bahan sintetik. Kaedah paling utama kepada pendedahan cadmium di dalam industri ini ialah melalui udara dan pernafasan. Ia sangat karsinogenik. Pendedahan secara berterusan boleh mendatangkan pelbagai jenis kanser, pneumonia malah maut. Kimia yang terbebas dari bunga api juga mengandungi cadmium.

Kajian sotong kering mengandungi cadmium oleh Persatuan Pengguna P. Pinang (CAP) baru-baru ini membuktikan bahawa masalah pencemaran lautan di negara ini adalah benar dan tidak dapat disangkal lagi. Mereka mendapati ia bukan saja terdapat di dalam sotong, malah ikan bilis yang bersaiz kecil juga mengandungi cadmium dalam kadar yang rendah. Kita semua tahu bahawa ikan bilis adalah spesis ikan kecil. Paling besar pernah direkodkan adalah sepanjang 9 inci. Dalam setahun, ia boleh mencapai panjang 4 inci. Walaupun ia cepat matang, dalam jangka masa pendek ia sudah membawa cadmium. Jika ini berlaku kepada semua spesis ikan kecil, ikan apa lagi yang selamat untuk kita makan? Ini membayangkan betapa seriusnya masalah pencemaran di negara ini. Kita anggap sotong yang yang dijadikan spesimen itu diambil dari sumber negeri asalnya. Pulau Pinang antara negeri yang maju di negara ini tetapi terpaksa membayar harga kemajuan itu dengan laut yang dicemari bahan-bahan toksik dari industri seperti cadmium dan lain-lain.

Bagaimanapun, kita bernasib baik kerana logam berat yang mencemari makanan kita hari ini masih dapat diatasi dengan mengamalkan makanan-makanan semulajadi dan herba-herba yang mudah diperolehi. Antaranya ialah bawang merah, bawang putih serta tumbuhan alga dari lautan seperti klorofil. Ia membantu menyah-toksik bahan-bahan seperti cadmium, plumbum dan merkuri dari tubuh.

Friday 16 August 2013

Alahan kulit pada anak kecil

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL

Pemilihan produk bayi berasaskan organik seperti yang diperkenalkan oleh Buds Organic mungkin boleh membantu. 
 
MUNGKIN ia bukan disengajakan tapi itulah hakikatnya. Tanpa disedari ibu bapa sebenarnya mendedahkan kulit anak-anak kecil kepada bahan kimia menerusi bahan pencuci yang digunakan di rumah sehari-hari.

Niat murni untuk anak mendapat persekitaran yang bersih dan selamat mungkin bertukar sebaliknya apabila salah memilih bahan pencuci atau apa saja yang mengandungi bahan kimia berbahaya.
Lebih membimbangkan apabila pengabaian ini menyumbang kepada epidemik kepada anak-anak anda sendiri.

Demikian yang dikongsi oleh Pakar Kanak-kanak atau kardiologi pediatrik dari Hospital Pantai Kuala Lumpur (PHKL), Dr. Azam Mohd Nor di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurut beliau, epidemik tersebut terhasil daripada kesan alahan yang merupakan tindak balas negatif pada sistem ketahanan badan.

"Organ utama yang mudah mendapat kesan alahan ialah kulit, mata dan sistem pernafasan.
"Kombinasi penyakit genetik dan faktor persekitaran menambah risiko alahan pada anak-anak yang mengalaminya," jelas beliau pada majlis pelancaran rangkaian produk pembersihan kediaman Buds Organic baru-baru ini.

Antara bahan kimia yang terdedah pada anak-anak kecil di rumah ialah seperti penyegar udara, peluntur, syampu karpet, pencuci pakaian, lantai, tandas longkang dan perabot.

Tanpa disedari pemilihan sabun mandi, sabun basuh pakaian, pelembut fabrik, minyak wangi, krim wajah, krim pelindung matahari dan sebagainya, juga mengandungi bahan kimia yang boleh memudaratkan kulit bayi dan kanak-kanak. 

Ejen lain adalah seperti bahan yang terkandung dalam cat, penyembur racun perosak dan asap rokok.
"Kulit merupakan organ terbesar pada tubuh manusia. Ia bertindak sebagai pelindung utama sebarang ancaman dari luar tubuh. Pada kulit juga mengandungi sel istimewa untuk sistem ketahanan badan manusia. 

"Apabila kulit menghadapi masalah alahan atau iritasi ia mengurangi fungsi sebagai penghalang ancaman seperti kuman dari luar. 

"Masalah lain yang mungkin timbul adalah seperti penyakit kulit seperti ekzema, kerengsaan saluran pernafasan dan mata, alahan, keracunan

"Kesan kesihatan yang tidak diketahui seperti kanser, penyakit mental dan disfungsi endokrin," jelas Dr. Azam.

Menurut beliau, ibu bapa perlu prihatin tentang pembacaan label yang terdapat pada botol ejen pencuci. Antara yang perlu dijauhi ialah yang mengandungi phthalates.

"Ibu bapa juga boleh melakukan pilihan bijak seperti memilih produk yang bebas haruman atau berasaskan organik yang tidak semestinya boleh mencegah penyakit kulit tapi diyakini lembut pada kulit," katanya.

Monday 12 August 2013

Seks Oral Punca Utama Barah Tekak



COLUMBUS - Saintis mendapati seks oral lebih berisiko menyebabkan barah tekak berbanding penggunaan tembakau menerusi aktiviti merokok, lapor sebuah akhbar semalam.

Berdasarkan hasil kajian terbaru, saintis-saintis mendapati aktiviti itu merupakan punca utama barah tekak dalam kalangan individu berusia di bawah 50 tahun.

Mereka berkata, virus papilomma manusia (HPV) yang merebak ketika aktiviti itu menjadi punca peningkatan barah tekak sejak beberapa dekad kebelakangan ini.

"Berpandukan bukti saintifik semata-mata, kami tidak tahu sama ada vaksin itu dapat mengekang jangkitan HPV yang menyebab-kan kanser," kata seorang penyelidik berkenaan, Profesor Maura Gillison dari Universiti State Ohio di sini.

"Namun, pakar-pakar bidang perubatan optimistik bahawa pelalian dapat mencegah jangkitan barah tekak akibat HPV," tambahnya.

Sebelum ini, HPV didapati menjadi punca 70 peratus kes kanser serviks dalam kalangan wanita.

Sejak 2008, gadis berusia 12 dan 13 tahun di sekolah-sekolah telah diberi pelalian mencegah virus tersebut. - Agensi


 http://paapaada.blogspot.com/2011/02/seks-oral-punca-utama-barah-tekak.html

Sunday 4 August 2013

Elak Kolestrol Dimusim Raya


TINJAU dahulu juadah terhidang di rumah terbuka, rancang dan pilih makanan yang anda benar-benar ingin makan. - Gambar Hiasan 
SYURGA makanan." Itulah ungkapan yang sesuai digambarkan apabila tiba 1 Syawal. Selagi tidak penuh meja, seperti tidak lengkap menu di pagi raya.

Lauk-pauk, kuih-muih, pencuci mulut dan minuman disediakan untuk hidangan keluarga di pagi raya.
Ada yang bertanya, "cukup tak makanan kita hari ni?" Ada pula yang berkata, "tidak seronok pula tanpa manisan serta minuman sejuk."

Selepas tiga hari menyambut Aidilfitri, timbul pula persoalan; "Adakah berat badan akan bertambah" atau "Kenapa badan semakin letih?" Perkara ini biasa berlaku disebabkan tabiat pemakanan sepanjang Syawal. 

Bercakap mengenai juadah Aidilfitri, sukar untuk menafikan kebanyakan hidangan kita mengandungi kalori tinggi dan kolestrol yang akhirnya mengundang pelbagai penyakit.

Menurut Ketua Pakar Pemakanan Pusat Perubatan Prince Court, Datin Farah Diba Khan, kolesterol adalah lapisan lemak yang wujud secara semula jadi dalam semua bahagian dalam tubuh badan.

"Kolesterol tidak boleh dilihat dengan mata kasar kerana ia berada dalam saluran darah.
''Hanya melalui profil lipid yang menerusi ujian darah merangkumi jumlah kolesterol lipoprotein ketumpatan tinggi (HDL), kolesterol lipoprotein ketumpatan rendah (LDL) dan trigliserida dapat mendapatkan jumlah sebenar kolesterol dalam tubuh," katanya.

Tambah beliau, sebaik-baiknya kandungan kolesterol dalam badan seseorang dewasa itu perlu di bawah 5.2 mmol/L.

Kolesterol pula terbahagi kepada dua iaitu kolesterol jahat yang merujuk kepada LDL dan kolesterol baik pula HDL.

Dalam konteks ini, kolesterol jahat iaitu LDL akan membuatkan pembuluh darah tersumbat manakala HDL akan membawa kolesterol ke pembuluh darah untuk dibawa ke hati dan seterusnya akan dikeluarkan dari tubuh.

Justeru katanya, seseorang itu perlu menjaga tahap kolesterol di dalam darah supaya berada keadaan terkawal.

"Ini penting kerana kolesterol tinggi akan menyebabkan seseorang itu diserang penyakit jantung atau strok," ujarnya.

Pengubahsuaian makananMasalah akan timbul pada Aidilfitri apabila pelbagai hidangan yang menyumbang kepada kolesterol tinggi dihidangkan seperti ayam dan daging.

"Jauhi makanan yang mengandungi lemak tepu seperti daging, produk tenusu, santan, minyak kelapa sawit, ais krim, coklat dan susu pekat manis kerana ia boleh meningkatkan paras kolesterol jahat (LDL)," katanya.

Farah Diba menambah, elakkan juga makanan yang mengandungi lemak trans (lemak terhidrogen) yang terkandung dalam makanan komersial tersedia seperti kek, biskut, snek, mentega kacang dan makanan berproses seperti sosej, pai, nugget, burger dan donut yang mengandungi kolesterol jahat.

Akan tetapi, siapa yang mampu mengelak daripada mencedok rendang ayam ke dalam pinggan untuk dijamah bersama-sama ketupat ataupun lemang pada hari raya? Justeru, saran Farah Diba, proses pengubahsuaian makanan itu perlu dilakukan.

Modifikasi makanan tidak hanya rasional buat individu yang berpenyakit, malah ia juga sesuai diaplikasikan oleh semua orang yang bercadang mengekalkan pemakanan sihat pada hari raya.

Apa pendekatan yang boleh dijalankan? Antara inisiatif yang dicadangkan adalah dengan membuang kulit ayam yang hendak digunakan dalam masakan.

"Seperti yang diketahui umum, kulit ayam mengandungi kolesterol tinggi dan berpotensi mengundang masalah kesihatan lebih-lebih lagi bagi penghidap darah tinggi," ujarnya.

Tambah Farah Diba, pengubahsuaian makanan mampu membuatkan semua orang menikmati juadah Aidilfitri tanpa apa-apa pantang kerana bahan-bahan yang digunakan adalah terpilih.

Beliau mencadangkan supaya mengubah gaya masakan rendang dan kari tanpa menggunakan santan.
"Santan secara prinsipnya mengandungi kolesterol yang tinggi. Penggunaan susu rendah lemak untuk penyediaan juadah Aidilfitri lebih praktikal di samping rasanya yang lebih sedap.

"Tetapi mungkin ada segelintir yang tidak yakin dengan rasa masakan yang dihasilkan dengan penggunaan susu rendah lemak dan masih mahu menggunakan santan.

"Sebenarnya, mereka tetap boleh menggunakan santan tetapi perlu dicampurkan dengan susu rendah lemak. Ini bermaksud hidangan itu akan mengandungi separuh santan dan separuh susu rendah lemak," jelasnya.

Menerusi usaha-usaha tersebut, ramai orang dapat menikmati hari raya dengan tubuh badan yang sihat tanpa apa-apa gangguan kesihatan.

SenamanMenurutnya, pengambilan kalori berlebihan daripada makanan berlemak dan berminyak tanpa diikuti senaman akan menyebabkan peningkatan berat badan secara mendadak.

Oleh itu, Farah Diba menggalakkan orang ramai melakukan aktiviti fizikal untuk memastikan badan mengeluarkan peluh.

"Orang ramai perlu menikmati makanan pada Aidilfitri terutamanya menu tradisional kita. Itulah kegembiraan utama beraya. Namun, saya nasihatkan anda tidak perlu berlanjutan sehingga sebulan hingga mengabaikan jenis makanan yang kita ambil. 

"Bagi saya, dua hingga tiga hari tiada masalah. Selepas itu, kita perlu bijak memilih makanan terutamanya ketika menghadiri rumah terbuka.

"Selain itu, walaupun sibuk meraikan Aidilfitri, saya harap orang ramai melakukan senaman ringan agar dapat membakar kalori berlebihan dalam badan. Berjalan kaki atau melakukan kerja di rumah pun sudah cukup," ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Inkontinens selepas melahirkan anak


Soalan
KENAPAKAH saya sering tak dapat mengawal pundi kencing saya? Berapa lamakah inkontinens saya akan berlangsung? Bagaimana saya boleh merawat inkontinens stres? Bagaimanakah saya melakukan senaman lantai pelvis itu? Apa lagi yang saya boleh cuba?
n Siti, Selangor

Jawapan

Apabila anda hamil, badan anda mengeluarkan hormon yang membuatkan tisu dan otot yang menyokong pundi kencing, usus dan uterus (rahim) lebih elastik daripada normal. 

Tisu-tisu dan otot-otot ini merangkumi lantai pelvis anda. Perubahan hormon semasa hamil dan pembesaran berat bayi anda boleh menyebabkan lantai pelvis anda menjadi lemah. 

Lantai pelvis yang lemah mengakibatkan lebih susah bagi anda untuk mengetatkan otot-otot (sfinkter) di bahagian bawah pundi kencing untuk menahan air kencing daripada meleleh keluar. 

Apabila anda sudah melahirkan bayi anda, otot-otot lantai pelvis anda lebih mengendur lagi. Kombinasi hormon kehamilan dan kelahiran yang melibatkan usaha keras boleh menyebabkan masalah kencing tidak terkawal atau inkontinens. 

Lelehan air kencing dengan tidak sengaja yang dialami anda, yang mungkin berlaku apabila anda ketawa, bersin, batuk atau bersenam, diberi nama inkontinens stres. Ini adalah masalah yang sering berlaku di kalangan ibu baru. 

Anda boleh menggunakan tuala sanitari jika anda mengalami kebocoran air kencing sedikit-sedikit pada peringkat awal selepas melahirkan anak.

Anda mempunyai lebih kemungkinan mengalami inkontinens stres jika anda pernah berhadapan masalah mengawal pundi kencing semasa hamil, terutama sekali semasa trimester pertama dan kedua. 

Bagi sesetengah wanita, masalah ini hilang dalam beberapa minggu selepas bersalin. Bagi yang lain, boleh berlanjutan untuk beberapa bulan atau terus menjadi masalah dalam jangka panjang. 

Jika anda masih mengalami kebocoran semasa pemeriksaan postnatal, iaitu lebih kurang enam minggu selepas bayi dilahirkan, beritahu doktor anda. Anda tidak harus mengalami simptom sebegini sebagai kesan normal akibat melahirkan anda. 

Cara untuk mengawal kembali pundi kencing adalah dengan melakukan senaman lantai pelvis secara kerap. Anda perlu melakukan senaman itu sekurang-kurangnya tiga kali sehari dan menjadikannya sebagai sebahagian kehidupan anda untuk selama-lamanya. Jika anda berhenti membuat senaman itu, otot-otot anda akan menjadi lemah dan anda akan mendapati masalah dalam mengawal pundi kencing anda akan kembali. 

Ada ibu yang bimbang mereka akan mencederakan diri jika membuat senaman lantai pelvis terlalu cepat selepas bersalin. Sebenarnya, melakukan senaman ini akan membantu badan anda pulih semula.
Memperkuatkan lantai pelvis anda akan mengurangkan sebahagian daripada bengkak yang disebabkan jahitan dan calar lebam. Lebih cepat anda melakukan senaman pelvis adalah lebih baik.
Jika senaman lantai pelvis tidak membantu, minta doktor anda merujukkan anda kepada pakar urologi. 

Kadangkala, kurang kawalan ke atas aliran kencing anda adalah tanda bahawa anda mempunyai infeksi saluran urin (UTI - urinary tract infection). Jika anda menghidap UTI, anda juga mungkin terasa sakit apabila kencing, mengeluarkan urin yang keruh, berbau busuk dan demam.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Elakkan sindrom burnout


PERNAHKAH anda rasa terlalu penat semasa melaksanakan kerja atau tugasan yang sedang dilakukan dan sangat-sangat memerlukan rehat secukupnya? Keadaan ini dipanggil sindrom burnout atau nervous breakdown. Sejenis penyakit yang kerap berlaku kepada golongan pekerja pelbagai bidang sama ada kumpulan sokongan, profesional atau pengurusan tertinggi sektor awam, swasta atau korporat.

Pesakit biasanya telah bekerja dalam tekanan dalam tempoh masa yang panjang. Jangan ambil ringan.
Keadaan ini sama seperti yang dialami oleh seorang anggota tentera jika mereka dikerah berperang terus-menerus tanpa kumpulan pengganti.

Tanda-tanda utama penyakit ini adalah perasaan tidak gembira dan kecewa dengan kerja atau tugasan yang sedang dilakukan.

Tanda-tanda lain, keletihan melampau, kesukaran tidur, sakit kepala, masalah penghadaman, selalu mendapat jangkitan, kesukaran mengingat dan masalah tumpuan. Mereka biasanya akan segera mendapatkan bantuan perubatan. Tetapi malangnya ada kes-kes yang gagal dikesan, malah dilabel pula sebagai berpura-pura sakit (malingering) atau terkena buatan orang.

Sekiranya tidak dirawat, penyakit ini kemudiannya akan menyebabkan masalah lain seperti ponteng kerja, salah faham dan masalah kesihatan akibat komplikasi merokok.

Bagi pegawai di dalam kumpulan pembuat keputusan, mereka gagal membuat keputusan dengan baik semasa mempengerusikan mesyuarat. Di luar tempat kerja, kegagalan ini diterjemahkan dengan keterlanjuran mereka pula dalam aktiviti salah laku seperti penagihan dadah, alkohol dan hubungan sulit di luar perkahwinan.

Ketahui punca permasalahanSebab utama adalah tekanan kerja yang berpanjangan, kekurangan penghargaan dan kekecewaan. Saya kongsikan beberapa kes yang biasa berlaku seperti contoh di bawah:

Sindrom burnout boleh berlaku apabila;
l. Seorang pekerja mengalami kekecewaan demi kekecewaan sehingga dia merasakan bahawa pegawai atasan tidak melayannya secara adil dalam membuat keputusan terhadap dirinya. Contoh paling mudah adalah gagal mendapat kenaikan pangkat atau gaji mengikut apa yang selayaknya seseorang pekerja fikir dia patut dapat. 

Benar kenaikan pangkat memang autoriti pegawai atasan tetapi alasan munasabah perlulah dijelaskan supaya ia tidak dianggap sebagai penganiayaan pula oleh pekerja bawahan.

2. Seorang pekerja yang merasakan kerja yang dibuat sekarang tidak memberi sebarang perubahan positif kepada kehidupan. Contohnya seorang pekerja super senior yang berada dalam tangga gaji maksimum atau gaji mati yang mana dia tidak lagi akan menerima sebarang kenaikan gaji tahunan. 

3. Seorang pekerja yang mengalami kekangan semasa bertugas, menghadapi masalah berterusan yang gagal diselesaikan pihak atasan dan perubahan polisi dalam organisasi.
Ini akan menyebabkan mereka merasakan betapa banyak sekalipun tenaga yang telah dan akan dicurahkan tidak akan membawa sebarang manfaat kepada diri dan organisasi.
Ini memaksa mereka membuat tindakan drastik dengan meletak jawatan. Kumpulan ini biasanya amat berpengalaman dan akan merugikan organisasi.

4.Seorang pekerja yang telah berubah keutamaan hidup. Pekerja juga seorang manusia biasa. Mereka juga mengalami dugaan-dugaan dalam kehidupan seperti kematian, perceraian atau sakit.
Kerap kali perkara sebegini akan menyebabkan seseorang menilai semula keutamaan hidup dan jika gagal akan menyebabkan burnout.

5.Seorang pekerja yang berada pada peringkat plateau seperti telah berada pada tahap jawatan yang tertinggi atau tidak lagi mempunyai peluang kenaikan pangkat.
Keadaan ini menyebabkan kebosanan dan akhirnya akan mengubah keutamaan hidup.

Cuti sakit dan cuti rehatSindrom burnout mengambil masa untuk sembuh. Cara paling baik adalah menghantar mereka untuk penilaian pakar dan membenarkan mereka mendapatkan cuti sakit (MC) atau cuti rehat secukupnya.

Seorang pegawai atasan yang baik perlu mengetahui punca permasalahan sebelum membuat sebarang keputusan. 

Sebagai contoh, bagi pekerja yang berada pada peringkat plateau misalnya, mereka boleh dicadangkan untuk menyambung pengajian, menjadi penulis buku/polisi atau mengajar generasi baru.
Pekerja yang rasa teraniaya pula perlu mencari penyelesaian terhadap konflik yang dialami. Anda boleh bincangkan isu tersebut secara terbuka atau memaafkan sahaja individu terlibat.
Elakkan masalah ini daripada memakan diri dan uruskanlah tekanan dengan sistematik.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my