Monday 29 July 2013

Risiko cacar air ketika hamil


Suntikan varicella-zoster immune globulin (VZIG) yang mengandungi antibodi terhadap cacar air. - Gambar hiasan
 
SOALAN
SAYA sedang hamil dan tinggal serumah dengan keluarga mertua. Adik ipar saya menghidap cacar air. Perlukah saya mengelak daripada mendekati orang yang menghidap cacar air? Apakah risikonya jika saya dijangkiti cacar air semasa hamil? Bagaimana saya boleh tahu sekiranya bayi saya telah dijangkiti? Jika saya tidak pernah menghidap cacar air, perlukah saya mengambil vaksin? Mohon doktor berikan penjelasan.
n Rokiah Terengganu

Jawapan

Cacar air (chicken pox) boleh menjadi lebih teruk jika anda dijangkiti ketika sedang hamil, dan anda lebih berkemungkinan untuk mengalami komplikasi yang berbahaya seperti radang paru-paru (pneumonia). Oleh itu, penting bagi anda memaklumkan kepada doktor jika anda mengalami masalah pernafasan atau simptom-simptom baru yang lain semasa anda menghidap cacar air.

Doktor mungkin akan mencadangkan anda mengambil acyclovir, iaitu rawatan antivirus yang mengurangkan simptom-simptom cacar air dan memendekkan tempoh penyembuhan. Tetapi ini hanya boleh berlaku sekiranya rawatan ini dimulakan dalam masa 24 jam daripada anda mula mendapat ruam.

Jika usia kehamilan anda di bawah 20 minggu, doktor mungkin tidak mengesyorkannya kerana terdapat risiko ubat tersebut boleh membahayakan bayi dalam kandungan.

Menghidap cacar air semasa hamil tidak meningkatkan risiko keguguran dalam trimester pertama, tetapi masalah mungkin berlaku jika virus ini menjejaskan bayi anda semasa dalam kandungan atau semasa baru dilahirkan. Masalah-masalahnya termasuklah kecacatan semasa lahir seperti parut, masalah mata dan anggota badan yang pendek. 

Risiko cacar air membahayakan bayi bergantung kepada masa anda dijangkiti virus tersebut. Jika anda dijangkiti sebelum minggu ke-13, risikonya sangat rendah, dengan hanya setengah peratus bayi menerima kesan sampingannya. Pada minggu ke-13 dan ke-20, risikonya meningkat sedikit hingga kurang sedikit daripada satu peratus bayi yang terjejas. Pada minggu ke-20 dan ke-36 kehamilan, bayi anda berkemungkinan besar tidak akan terjejas. Sebaliknya, dia mungkin akan mendapat kayap dalam beberapa tahun pertamanya. Selepas minggu ke-36, risikonya meningkat sekali lagi. Jika anda dijangkiti pada masa ini, maka bayi anda mempunyai satu dalam dua kemungkinan turut dijangkiti, tetapi simptom-simptomnya mungkin tidak muncul kerana pelalian dalam badan anda telah disalurkan kepadanya. Jika anda mendapat cacar air tujuh hari sebelum atau selepas melahirkan, bayi anda berada dalam risiko yang serius kerana dia tidak akan menerima banyak antibodi daripada anda untuk meningkatkan sistem imunnya.

Sekiranya anda termasuk dalam kes yang terakhir, bayi anda akan diberi suntikan varicella-zoster immune globulin (VZIG) yang mengandungi antibodi terhadap cacar air. Kira-kira separuh daripada bayi dalam kategori ini akan mendapat cacar air tetapi VZIG akan melemahkan simptom-simptomnya. Rawatan antiviral menggunakan acyclovir juga merupakan satu pilihan bagi bayi-bayi baru lahir yang mendapat cacar air. 

Jika anda tidak pasti sama ada anda pernah mendapat cacar air sebelum ini ataupun belum, doktor anda boleh menjalankan ujian darah untuk memeriksa sekiranya anda mempunyai antibodi terhadap cacar air. Lebih cepat ujian ini dilakukan selepas pendedahan terhadap virus ini, lebih baik, kerana keputusan makmal mungkin mengambil masa di antara 24 hingga 48 jam.

Jika keputusannya menunjukkan bahawa anda tidak mempunyai antibodi terhadap virus ini, doktor anda akan memantau kes anda dan mungkin mencadangkan supaya anda mengambil suntikan VZIG untuk melindungi anda dan bayi anda.

VZIG akan mengurangkan keterukan jangkitan, tetapi anda perlu mengambilnya dalam masa 10 hari selepas dijangkiti untuk memastikan ia berkesan. Jika anda masih mendapat ruam, maklumkan perkara ini kepada doktor anda secepat mungkin.

Sekiranya, dalam masa tiga minggu atau lebih selepas mengambil VZIG, anda bersentuhan sekali lagi dengan seseorang yang menghidap cacar air atau kayap, anda mungkin perlukan satu lagi dos vaksin tersebut.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Berhenti rokok di bulan Ramadan


Merokok dengan banyak dan mendadak sebaik sahaja berbuka puasa boleh memberikan kesan negatif kerana tahap nikotina yang naik mendadak. - Gambar hiasan
 
PEROKOK tegar pasti akan terus menyalakan rokoknya sebaik sahaja azan Maghrib berkumandang ketika bulan puasa. 

Bagi mereka, menahan lapar dan dahaga tidak memberi kesan seperti berpuasa rokok.
Malah senario perokok menghabiskan bilangan batang rokok yang lebih banyak daripada hari biasa sewaktu iftar merupakan perkara biasa dek ketagihan. 

Menurut pakar di sebuah hospital di Emiriah Arab Bersatu (UEA), merokok sebaik sahaja berbuka puasa dikatakan boleh membawa maut. 

Menurutnya, merokok amat merbahaya buat orang yang berpuasa kerana badan mereka dalam keadaan memerlukan air dan tenaga setelah seharian suntuk berpuasa. 

Badan memerlukan cecair, glukosa dam oksigen ketika waktu berbuka puasa dan merokok dikatakan boleh menyebabkan pengecutan salur darah lalu menghalang pengaliran oksigen.

Malah, beliau mendakwa merokok dalam keadaan berlapar boleh menyebabkan darah memekat lalu menyebabkan pelbagai komplikasi lain seperti arteri tersumbat dan darah tinggi. 

Menurut Pakar Perubatan Pusat Perubatan Kelana Jaya, Dr. Abdul Malik Jamal Buhari, merokok merbahaya dan membawa maut untuk jangka masa yang panjang tetapi menafikan tindakan merokok sebaik sahaja berbuka boleh membawa maut. 

“Bagaimanapun, merokok dengan banyak dan mendadak sebaik sahaja berbuka puasa boleh memberikan kesan negatif kerana tahap nikotina yang naik mendadak. 

“Mereka akan berasa resah dan sukar tidur malah berdebar-debar akibat nikotina yang naik mendadak.
“Walaupun ia tidak membawa maut, tetapi ia membuatkan perokok berasa tidak selesa dan sukar melakukan sesuatu pekerjaan.

“Bulan Ramadan boleh dijadikan waktu yang paling sesuai untuk berhenti daripada merokok," ujarnya ketika ditemui di Pusat Perubatan Kelana Jaya, baru-baru ini.
Kesan

Tegas, Dr. Abdul Malik, walaupun merokok sebaik sahaja waktu berbuka puasa tidak memberikan kesan buruk yang nyata ketika itu, merokok itu sendiri suatu perbuatan yang amat bahaya kepada kesihatan. 

“Nikotina hanya menyebabkan ketagihan, tetapi beratus-ratus kandungan bahan kimia beracun lain di dalam sebatang rokok yang memberi pelbagai kesan negatif kepada badan. 

“Antara kesan buruk akibat merokok ialah kerosakan paru-paru dan pelbagai jenis kanser membawa maut seperti kanser tekak, perut, esofagus dan pundi kencing. 

“Kanser paru-paru mula sering kelihatan sekitar 1990-an, sama waktu rokok mula menular," ujarnya. 

Di antara kandungan asap rokok termasuklah bahan radioaktif (polonium-201) dan bahan-bahan yang digunakan di dalam cat (acetone), pencuci lantai (ammonia), ubat gegat (naphthalene), racun serangga (DDT), racun anai-anai (arsenic), gas beracun (hydrogen cyanide) yang digunakan di ‘kamar gas maut’ bagi pesalah yang menjalani hukuman mati, dan banyak lagi. 

Jelasnya lagi, asap rokok turut memberi kesan buruk kepada orang sekeliling. 

Menurut Dr. Abdul Malik, asap yang dikeluarkan lagi bahaya daripada daripada yang disedut perokok kerana ia sudah bergabung dengan udara sekeliling dan membentuk reaksi kimia yang lebih bahaya. 

“Sebab itu kini ramai wanita menghidap kanser paru-paru walaupun dia tidak merokok kerana asap rokok daripada suami merupakan antara puncanya," kata beliau.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Sunday 28 July 2013

Bersenam di mana sahaja!


1. Jadikan tangga sebagai pilihan utama berbanding lif. Penggunaan tangga bukan sahaja menguatkan otot kaki tetapi juga dapat menyihatkan jantung.

2. Banyakkan berjalan. Adakalanya, kita lebih selesa menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) atau e-mel kepada rakan sepejabat biarpun jaraknya hanya selangkah dua. Tetapi tahukah kamu, berjalan kaki merupakan satu senaman ringkas yang dapat melancarkan peredaran darah. 

3. Semasa duduk, kamu boleh mengangkat dan meluruskan sebelah atau kedua-dua belah kaki dan tahan selama lima saat atau lebih. Kemudian, turunkan semula kaki tanpa memijak lantai. Seterusnya, letakkan beban di atas kaki kamu seperti beg tangan untuk menambah berat. Langkah ini memberi tumpuan pada bahagian paha dan betis. 

4. Jika terasa mengantuk, mungkin kamu boleh mengambil langkah menolak dinding yang mana tindakan itu dapat membina otot lengan. Caranya, pastikan kamu berdiri tegak dalam posisi menghadap dinding dengan kedudukan tangan melebihi paras bahu. Kemudian, tolak badan ke arah dinding seperti membuat tekan tubi. Lakukan selama 30 saat.

5. Sementara menunggu bas, kereta api atau lif, kamu boleh menolak tumit kaki ke atas pada sudut 90 darjah bagi melegakan keletihan, selain menganjal otot kaki.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tuesday 23 July 2013

Tragedi di Bulan Syawal - Acute Gastroenteritis

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh...
Acute Gastroenteritis adalah satu penyakit yang sering melanda ketika majlis-majlis perayaan besar seperti Hari Raya Aidilfitri diadakan ataupun sekadar majlis kenduri kahwin kecil-kecilan . Ia menyerang tidak kira peringkat usia, tua, remaja sehinggalah ke budak kecil. Ada yang menggelarkannya "keracunan makanan". Hakikatnya tiada racun di dalam makanan itu tetapi ia adalah "makhluk halus" atau mikroorganisme yang menyebabkan anda mengalami gejala penyakit.

Acute Gastroenteritis atau AGE didefinisikan sebagai penyakit yang menyebabkan gejala cirit-birit yang kerap dengan atau tanpa gejala-gejala lain seperti loya, muntah, demam dan sakit perut. Cirit birit ialah konsistensi najis yang cair dengan kekerapan yang lebih daripada biasa.

Penyebab utama penyakit ini merebak adalah daripada sumber makanan yang tercemar ataupun sentuhan individual yang terkena virus, bakteria atau parasit yang berkenaan. Virus yang selalu dikaitkan dengan AGE ialah rotavirus. 60%-70% kes AGE adalah disebabkan rotavirus (lihat gambar sebelah). Antara bakteria yang menyebabkan AGE ialah Salmonella, E.Coli dan Shigella, manakala parasit yang menyebabkan AGE ialah Giardia Lamblia.

Air yang tidak dimasak seperti dalam kiub ais boleh menjadi penyebab utama kepada AGE. Pernah suatu ketika di Kelantan, penyebaran penyakit Demam Kepialu oleh Salmonella Typhi berasal daripada sebuah kilang ais yang tercemar. Makanan yang telah lama dimasak dan sudah sejuk seperti rendang (yang juga kaya dengan santan dan minyak) merupakan tempat yang baik bagi bakteria membiak. Kuman juga boleh merebak dari seseorang yang lain melalui sentuhan seperti bersalam-salaman ataupun berkongsi makanan yang tercemar.

Kebiasaannya, pesakit yang terkena AGE ini akan selalu ke tandas kerana cirit birit. Kadangkala dia akan muntah 3-4 kali dan dalam masa yang sama mengalami kesakitan perut yang teramat sangat. Kesakitan perut yang seperti kekejangan perut ini akan datang setiap 5-10 minit. Ini adalah disebabkan proses peristalsis otot di saluran usus sebagai timbal balas terhadap virus atau bakteria tadi. Demam yang sangat tinggi mungkin disebabkan oleh bakteria. Pesakit AGE akan mengalami masalah ini selama 1 hari sehingga 5 hari. Tanda pemulihan boleh dilihat sekiranya najis sudah tidak lagi cair dan tiada lagi gejala-gejala yang disebutkan di atas.

Untuk kanak-kanak kecil terutamanya, AGE boleh menyebabkan kekurangan air yang serius. Demam yang tinggi, muntah-muntah dan cirit-birit boleh mendatangkan dehidrasi yang boleh membahayakan nyawa mereka. Dehidrasi menjadi bertambah dengan ketakutan untuk meminum air dikhuatiri menyebabkan muntah yang berterusan sekiranya mereka makan atau minum. Mereka akan kelihatan tidak bermaya, asyik terbaring dan mata bertambah cengkung. Sekiranya dehidrasi teruk berlaku, adalah lebih baik mereka di hantar ke hospital untuk dimasukkan air melalui saluran darah.

Sekiranya cirit-birit atau muntah tidak begitu teruk, maka pengambilan air yang bersih adalah digalakkan. Ini termasuk pengambilan Oral Rehydration Salt (ORS) bergantung kepada kekerapan pembuangan najis. Kanak-kanak mungkin boleh mengambilnya sedikit-sedikit di dalam beberapa sudu selama selang 3 minit sekiranya kerap muntah. Untuk orang dewasa, pengambilan ubat seperti loperamide/lomotil di dalam kes cirit berdarah adalah tidak dibenarkan. Buscopan boleh mengurangkan gejala sakit perut dengan berkesan.

Membasuh tangan sebelum dan makan adalah salah satu cara yang sangat efektif untuk mengelakkan daripada AGE. Ini adalah kerana setelah bersalaman dengan ramai tetamu di kalangan saudara mara dan sahabat handai, anda tidak mahu kuman-kuman yang baru melekat di tangan anda itu masuk sekali ke dalam mulut anda bersama-sama dengan juadah hidangan hari raya. Jangan jadikan hari raya ini satu tragedi. Elak sebelum kena. Ikut sunnah Rasulullah SAW yang sangat mudah. Basuh tangan sebelum makan.
Wallahu Alam.

Sumber: drazwan.
   

Monday 22 July 2013

Hepatitis



 

PERKATAAN hepatitis diambil daripada hepar yang bermaksud hati dan hepatitis bermaksud radang hati. 

Oleh kerana hampir seluruh tubuh penderita berwarna kekuningan maka dalam masyarakat dikenal dengan istilah penyakit kuning (jaundice).

Hepatitis adalah penyakit yang disebabkan oleh beberapa jenis virus yang boleh menyerang dan merosakkan sel-sel hati manusia dan boleh dikategori kepada jenis A, B dan C.

Hepatitis dapat merosakkan fungsi organ hati untuk meneutral racun dan sistem pencernaan makanan dalam tubuh.

Penyakit hepatitis dapat menyerang sesiapa saja tidak kira usia sama ada bayi, kanak-kanak, orang dewasa atau orang tua. 

Tidak banyak pendedahan mengenai penyakit berbahaya ini menyebabkan hepatitis boleh dikatakan sebagai pembunuh senyap. 

Pakar Perubatan Pusat Perubatan Kelana Jaya, Dr. Abdul Malik Jamal Buhari berkata, hepatitis boleh berlaku akibat jangkitan virus, alkohol, ubat-ubatan atau lemak dalam hati. 

"Hepatitis boleh dikesan menerusi ujian darah liver function test (LFT)," katanya semasa ditemui di pejabatnya baru-baru ini. 

Dr. Malik berkata, Hepatitis A biasanya tidak menimbulkan kesan gejala yang besar. 

"Biasanya Hepatitis A merebak melalui makanan dan minuman yang dicemari. Virus ini merebak melalui najis individu yang menghadapi penyakit ini, katanya. 

Sebagai contoh, ikan atau kerang daripada kawasan air yang dicemari oleh najis manusia yang dijangkiti. 

Ia juga boleh dijangkiti melalui hubungan rapat dengan individu yang dijangkiti.

Tanda-tanda jangkitan boleh dilihat selepas dua hingga empat minggu. Pada minggu pertama, individu yang dijangkiti akan mengalami sakit seperti kuning, keletihan, demam, hilang selera makan, muntah-muntah, pening dan kencing yang berwarna hitam pekat.

Menjaga kebersihan diri adalah penting. Cuci tangan dengan sabun, jika boleh guna sabun antikuman selepas menggunakan tandas, sebelum menyediakan makanan dan sebelum makan.

"Biasanya pesakit akan sembuh sepenuhnya selepas empat atau lima minggu," katanya. 

Hepatitis B pula, kata Dr. Malik adalah penyakit dalam kumpulan ini yang paling serius dan amat perlu diberi perhatian. 

Kesedaran tentang bahaya Hepatitis B ini masih kurang di kalangan orang ramai. 

Kebanyakan yang dijangkiti secara teruk tidak mempunyai tanda-tanda yang jelas dan mereka boleh menjangkitinya kepada orang lain. 

Virus ini boleh dijumpai dalam semua bahagian cecair tubuh manusia yang menghadapi Hepatitis B secara teruk dan serius. 

Virus ini dijumpai di dalam darah, air mani, cecair faraj, cecair sendi, air susu, air kencing dan air mata. 

"Biasanya pesakit mendapat Hepatitis B daripada kes-kes ibu menjangkiti virus berkenaan kepada anaknya sewaktu bersalin.

"Virus itu tidak boleh melalui placenta tetapi bendalir ibu yang masuk ke dalam mulut bayi semasa proses kelahiran," katanya. 

Bagaimanapun, jelas Dr. Malik, bukan semua bayi boleh dijangkiti Hepatitis B.
"Biasanya ibu akan diberikan vaksin untuk membunuh virus," katanya. 

Bagaimanapun mereka yang tidak sakit boleh menjadi pembawa. Dalam kehidupan, pembawa akan mengalami flare iaitu situasi virus itu aktif lalu pesakit akan mengalami sakit kuning beberapa kali seumur hidup. 

Apabila mencapai usia 40 tahun ke atas, mereka akan mengalami kerosakan hati atau sirosis dan kemungkinan akan mendapat kanser hati. 

Mereka yang dijangkiti secara teruk mempunyai risiko tinggi mengalami penyakit dan kanser hati yang boleh menyebabkan kematian.

BerjangkitDr. Malik berkata, cara lain Hepatitis B boleh berjangkit adalah melalui pemindahan darah atau sebarang hasil darah melalui luka di kulit atau melalui tindik, membuat tatoo, akupuntur, suntikan, pisau cukur dan seks bebas. 

Penagih dadah yang berkongsi jarum turut menghadapi risiko yang sama. 

Kini terdapat vaksin Hepatitis B yang diberikan secara suntikan. Bagi orang dewasa dan kanak-kanak berumur 10 tahun ke atas, vaksin ini diambil tiga kali dalam masa sebulan. 

Bagi kanak-kanak yang berumur di bawah 10 tahun, cukup dua dos yang dijarakkan selama dua bulan. Dos booster juga perlu diberikan selepas 12 bulan. 

Daripada data-data yang diterima, penerima suntikan yang lengkap boleh mempunyai imuniti lebih enam tahun. 

Satu dos tambahan perlu diambil selepas jangka itu untuk meningkatkan semula pertahanan badan.
Hepatitis C pula merupakan penyakit bawaan darah dengan 85 peratus yang terdedah dengan virus ini akan menghidapi penyakit. 

Satu daripada lima mereka yang menghidapi Hepatitis C akan mengalami parutan dan pengerasan hati secara berperingkat. 

Risikonya mengalami barah hati meningkat sebanyak lima peratus selepas 20 tahun dan empat peratus setahun bila hati mengalami parut.

Penyakit ini merebak melalui pendedahan kepada darah mereka yang menghidapi penyakit Hepatitis C. 

Malah darah yang telah kering masih mempunyai virus yang boleh menjangkiti. Antara cara jangkitan adalah dengan menyentuh darah yang telah dijangkiti. 

Dr. Malik berkata, biasanya darah yang diterima sebelum 1995 mempunyai risiko terdedah kepada Hepatitis C. 

"Selepas 1995, Bank Darah menyaring semua darah yang diterima daripada penderma terhadap Hepatitis C," katanya. 

Penagih dadah terdedah kepada Hepatitis C kerana berkongsi jarum suntikan yang biasanya tidak dibasmi kuman dan dikongsi beramai-ramai. 

Langkah terakhir rawatan adalah melalui pemindahan hati jika kerosakan terlalu parah.
Apabila berlaku kegagalan hati, salur darah akan menjadi bengkak dan nipis serta kemungkinan menyebabkan muntah darah. 

Biasanya selepas 15 hingga 20 tahun atau 25 hingga 30 tahun akan berlaku kerosakan hati.
Bagi mencegah perebakan hepatitis, Dr. Malik menggalakkan orang ramai mengambil ujian hepatitis.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Sunday 21 July 2013

Wanita tanpa vaksin rubella


Ruam kemerah-merahan merupakan simptom rubella yang biasa.
- Gambar hiasan 
 
Soalan

SAYA seorang pelajar di kolej swasta. Saya pernah terdengar berkenaan penyakit rubella. Apa itu rubella? Apa yang boleh saya lakukan jika saya tidak mempunyai pelalian terhadap rubella? Apakah risikonya terhadap bayi saya sekiranya saya dijangkiti rubella semasa hamil?
n Ros, Kuantan

Jawapan

Rubella atau German measles adalah jangkitan yang boleh menyebabkan ruam berwarna kemerah-merahan, bermula pada bahagian muka dan kemudiannya merebak ke bahagian badan yang lain. Simptom lain yang biasanya muncul sebelum ruam termasuk demam yang tidak begitu tinggi, konjuktivitis (inflamasi mata) dan nodus limfa membengkak.

Virus ini akan menamatkan kitarannya dalam masa kira-kira tiga hari tetapi lebih separuh daripada mereka yang dijangkiti tidak mendapat apa-apa simptom. Kebanyakan daripada mereka tidak tahu bahawa mereka telah dijangkiti.

Walaupun rubella biasanya tidak membahayakan, namun berbahaya bagi wanita hamil kerana boleh menyebabkan banyak masalah kepada bayi dalam kandungan. Apabila bayi tersebut dijangkiti, iaitu apa yang dipanggil sindrom rubella kongenital (CRS), masalah-masalah berikut boleh berlaku iaitu katarak dan kecacatan mata yang lain, pekak, kecacatan jantung, kepala yang lebih kecil daripada biasa (microcephaly), tumbesaran terbantut ketika dalam kandungan dan kerosakan pada otak, hati, paru-paru dan sum-sum tulang.

ImunWanita di Malaysia bernasib baik kerana majoriti kini imun terhadap penyakit ini, sama ada melalui pelalian atau vaksinasi yang diterima semasa kanak-kanak ataupun kerana mereka telahpun menghidap rubella sebelum ini. Penyakit ini kini sangat jarang berlaku. 

Pelalian terhadap rubella boleh berubah selepas satu jangka masa tertentu. Oleh itu, baik juga jika anda periksa dahulu sebelum mencuba untuk hamil, walaupun anda telah imun terhadapnya pada masa lalu. Anda boleh meminta doktor supaya menjalankan ujian darah untuk memastikan perkara ini.

Jika anda pasti bahawa anda tidak mempunyai pelalian terhadap rubella, cara terbaik adalah mendapatkan vaksinasi tersebut sebelum anda hamil, kemudian tunggu selama sebulan sebelum cuba untuk hamil. Ini dapat memberi masa yang cukup kepada badan anda untuk membunuh virus yang disuntik ke dalam badan supaya ia tidak menjangkiti bayi dalam kandungan anda.

Sekiranya ujian darah yang dilakukan pada awal kehamilan menunjukkan anda tidak imun terhadap rubella, anda perlu menunggu sehingga melahirkan sebelum boleh mengambil pelalian. Ini boleh dilakukan sebelum anda keluar dari hospital jika bersalin di hospital, atau semasa pemeriksaan selepas bersalin.

Andai kata anda mendapat pelalian dalam minggu-minggu pertama kehamilan iaitu sebelum anda tahu bahawa anda sedang hamil, janganlah risau. Doktor akan mengesyorkan supaya anda menjalani ujian imbasan ultrabunyi dalam minggu ke-18 hingga ke-20 untuk meneliti keadaan bayi dan semoga ini dapat memberi anda sedikit keyakinan. 

Risiko Kemungkinan bayi anda dijangkiti rubella bergantung kepada tahap kehamilan anda semasa mendapat jangkitan ini. Risiko paling tinggi jika anda mendapat rubella sebelum minggu ke-11 kehamilan (sembilan daripada 10 bayi mendapatnya). Menjelang minggu ke-17, perkara ini jarang berlaku, walaupun masalah pendengaran boleh menjejaskan bayi sehingga minggu ke-20.

Oleh itu, jika anda tidak pasti mengenai status pelalian anda, cuba elakkan daripada mendekati mereka yang menghidap rubella, terutamanya dalam tempoh beberapa bulan pertama kehamilan anda
Malangnya, jika anda dijangkiti virus ini, tiada apa yang boleh dilakukan untuk melindungi bayi anda. Doktor akan berbincang dengan anda mengenai ujian-ujian yang boleh dilakukan untuk mengetahui kesan rubella terhadap bayi dalam kandungan anda.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tuesday 16 July 2013

Pendarahan dalam mata


AMD lembap adalah wabak senyap yang berlaku dalam kalangan mereka yang berumur 50 tahun ke atas. - Gambar hiasan 
 
PERISTIWA empat tahun lalu benar-benar menguji ketabahan arkitek berkaliber ini yang mula membayangkan apa yang akan terjadi padanya jika bergelar 'orang buta'.

"Ketika itu saya menghadiri majlis rumah terbuka seorang sahabat. Majlis tersebut berlangsung pada waktu malam dan ketika hendak menjamah makanan tiba-tiba mata saya begitu kabur. 

"Saya ke tandas untuk membasuh mata dan makin di basuh mata makin kabur dan gatal. Saya sangka mata dimasuki serangga tanpa menyangka ada sesuatu yang tidak kena," cerita Hoi Lam.
 
Kebetulan waktu itu musim perayaan dan kebanyakan klinik mata ditutup. Seminggu selepas kejadian baru klinik dibuka dan reaksi doktor yang terdiam selepas melakukan pemeriksaan mata, membuatkan Hoi Lam tahu ada sesuatu yang tidak kena.

"Doktor melakukan pemeriksaan selama 15 minit dan bertanya sama ada saya pernah jatuh atau terluka kerana dalam mata sudah berlaku pendarahan. 

"Saya dirujuk ke pakar mata. Barulah saya tahu yang saya kini menghidap penyakit mata yang dinamakan AMD lembap ," katanya dalam sesi berkongsi pengalaman pada majlis pelancaran Eylea, produk penjagaan mata oleh Bayer HealthCare di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Hoi Lam mengetahui penyakit itu memang sesuatu yang serius kerana jika tiada rawatan boleh menjadikannya buta. 

"Saya makin panik. Tiap kali bertemu doktor saya akan bertanya tidak adakah ubat bagi merawat penyakit ini. 

"Mata saya berdarah dan sangat teruk. Terasa panas dan amat tidak menyelesakan.

"Saya mula membayangkan perkara yang tidak baik, bagaimana saya sebagai arkitek boleh bekerja dengan mata yang buta. Ahli keluarga saya juga risau dengan apa yang saya alami," kata datuk kepada seorang cucu perempuan ini.

Seterusnya rawatan demi rawatan dilakukan, mujurlah, mata Hoi Lam dapat diselamatkan.

Nasihat Hoi Lam kepada pembaca agar berjumpa doktor pakar mata bila ada kelainan pada mata dan jangan berpuas hati dengan ujian melihat nombor sahaja.

Sebaliknya, minta doktor melakukan pemeriksaan terhadap mata secara terperinci.
Boleh dicegah, dirawat

Memang ramai yang mengalami AMD lembap yang faktor utamanya adalah berpunca daripada peningkatan usia. 

"Lazimnya, apabila sudah ada pendarahan pada mata barulah pesakit rasa risau dan mula berjumpa doktor. Namun pada keadaan ini, mungkin sudah terlambat.

"Dianggarkan kira-kira dua juta rakyat Malaysia mengalami AMD jenis kering dan ramai yang tidak sedar mereka sedang mengalaminya. 

"Untuk AMD lembap pula kira-kira 150,000 orang sedang menanggungnya. Apa yang menyedihkan mereka hanya berjumpa doktor apabila sudah tidak nampak," ujar Dr. Kenneth Fong Choong Sian, pakar perunding oftalmologi dan bedah vitreoretina dari Pusat Perubatan Sunway, Petaling Jaya.
Antara simptom AMD lembap ialah kekaburan, penurunan kualiti pemandangan mata tengah, kurang kepekaan warna, tidak boleh melihat imej dengan tepat, scotoma, imej berbayang dan tidak boleh melihat pada waktu malam.

"AMD lembap adalah wabak senyap yang berlaku dalam kalangan mereka yang berumur 50 tahun ke atas. Penyakit mata progresif dan kronik ini merupakan punca utama buta yang boleh dicegah dalam kalangan golongan berumur," jelasnya.

Tambah Dr. Choong Sian, masih ramai di kalangan masyarakat yang tidak menyedari tentang AMD lembap dan gejalanya. 

Lebih malang, mereka melengahkan langkah untuk mendapatkan rawatan kerana tidak menyedari bahawa mereka boleh kehilangan penglihatan dalam masa tiga bulan.

"Pesakit AMD lembap selalunya tidak dapat membaca dan menulis dengan baik serta sukar melakukan kerja rumah. Mereka juga sukar mengenali wajah dan objek. 

"Penyakit ini memang mengganggu emosi pesakit. Walau apa pun puncanya, buta menyebabkan kualiti hidup merosot teruk," tambah Dr. Choong Sian.

Saluran darah tidak normal

AMD lembap berlaku apabila saluran darah tidak normal mula tumbuh di bawah makula, iaitu di bawah retina.

Saluran darah baru ini boleh bocor dan melelehkan darah atau bendalir, meninggalkan parut dan mengaburkan penglihatan pusat seseorang. 

Semakin lama salur darah ini tumbuh dan semakin banyak ketirisan membuatkan semakin tinggilah risiko kehilangan penglihatan pusat. 

Kehilangan penglihatan disebabkan AMD lembap berlaku dengan lebih cepat dan lebih ketara berbanding AMD kering. Kerosakan juga lebih teruk pada AMD lembap dan tidak boleh dipulihkan.
Sementara itu, Pakar Perunding Oftalmologi, Penyakit Perubatan dan Pembedahan retina dan Gelemaca, Dr. Wong Jun Shyan berkata, tanpa rawatan sewajarnya, pesakit yang mengalami AMD lembap mungkin akan menjadi buta dalam masa dua tahun.

"Jadi pesakit perlu mendapatkan diagnosis dan rawatan secepat mungkin. Buat masa ini tidak ada ubat untuk menyembuhkan AMD lembap, tetapi rawatan boleh dilakukan untuk membantu melambatkan penularan penyakit, malah boleh mengembalikan penglihatan yang hilang," jelas beliau.

Antara pilihan rawatan untuk AMD lembap termasuk pancaran laser yang digunakan untuk menghapuskan saluran darah bocor yang tumbuh di belakang mata. 

"Rawatan lain seperti terapi fotodinamik, iaitu ubat disuntik pada lengan dan cahaya digunakan untuk mengaktifkan tersebut di dalam salur darah mata. 

"Ubat tersebut akan bertindak memulihkan saluran darah halus yang bocor," jelas Dr. Jun Shyan.
Sementara itu Pengarah Urusan Bayer Co. (Malaysia) Sdn. Bhd., Thomas Steffen pula berkata, dengan ubat terbaru yang diberi nama Eylea, pesakit yang menghidapi AMD lembap boleh mendapat manfaat daripada keberkesanan terapi perencat faktor pertumbuhan endotelium vaskular (VEGF).
Ini bagi membolehkan pesakit menikmati kualiti hidup yang lebih baik dengan mengurangkan pemeriksaan susulan dan suntikan.

"Eylea menandakan satu kejayaan dalam rawatan AMD lembap dan membulatkan lagi komitmen kami untuk menambah baik kehidupan menerusi sains," ujarnya.- NOOR FAZRINA KAMAL

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Monday 15 July 2013

34 syarikat diberi permit import

Oleh ALI MAHMOOD

Ismail Sabri Yaakob menyampaikan sumbangan dan zakat Ahli Parlimen Bera kepada salah seorang penerima di Felda Tembangau 1, Bera, Pahang, kelmarin. 
 
BERA 15 Julai - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memberi permit import kepada 34 syarikat bagi mengimport ayam daripada beberapa negara pengeluar seperti China, Thailand, Australia dan negara Kesatuan Eropah (EU) berkuat kuasa serta merta.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dengan membawa masuk ayam dari negara berkenaan dijangka dapat menstabilkan semula harga ayam di pasaran yang ketika ini mencecah RM10 sekilogram.

Menurut beliau, pengimport juga diingatkan perlu mematuhi peraturan dan syarat tertentu seperti memperoleh sijil halal Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) dan sijil kesihatan daripada Kementerian Kesihatan.

Beliau berkata, kebenaran mengimport ayam dari negara berkenaan hanyalah dalam bentuk ayam bulat dan ayam dipotong pada bahagian tertentu.

"Pengimport terbabit tidak boleh import dari mana-mana negara yang mereka suka tetapi mesti ayam dari pusat penyembelihan yang diiktiraf Jakim sahaja dan itu kita benarkan. 

"Langkah itu dibuat kerana bimbang akan timbul isu halal dan sebagainya serta sijil kesihatan juga mereka perlu peroleh memandangkan ia adalah perkara yang wajibkan.

"Kementerian tidak mempunyai halangan untuk memberi kebenaran kepada pihak berkenaan membawa masuk ayam dari negara-negara disenaraikan tadi kerana ingin membantu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menstabilkan semula harga ayam di pasaran," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan dan zakat Ahli Parlimen Bera kepada 524 peneroka dari gugusan Felda Tembangau di Felda Tembangau 1, di sini semalam. 

Ismail Sabri berharap pengimport tersebut dapat membawa masuk antara 2.2 juta sehingga 2.4 juta ayam sehari yang bukan sahaja menstabilkan semula harga haiwan itu di pasaran tetapi memenuhi keperluan umat Islam sepanjang Ramadan sehingga menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti.

Ismail Sabri juga menafikan pandangan Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Shaani Abdullah kononnya permintaan terhadap ayam pada Ramadan menurun.

"Sebenarnya permintaan terhadap ayam memang meningkat daripada 1.4 juta sehari kepada 2.2 juta sehari. Walaupun umat Islam berpuasa tetapi mereka makan ayam dua kali sehari seperti hari-hari biasa iaitu pada waktu berbuka puasa dan bersahur," katanya.

Sementara itu, di KUALA LUMPUR, Ismail Sabri mengakui kenaikan mendadak harga ayam di pasaran turut berpunca kenaikan harga makanan ayam serta kos sampingan lain.
Menurutnya, Malaysia mengimport sepenuhnya makanan ternakan, namun kini -negara pengeluar seperti Australia dan Thailand mengalami masalah kekurangan sumber bekalan seperti jagung dan kacang soya.

"Sehubungan itu, masalah ini meningkatkan kos pengeluaran dan harga ayam di pasaran kerana 70 peratus daripadanya hanya untuk kos makanan ternakan sahaja," katanya.

Menurut Ismail Sabri, negara tidak mengeluarkan makanan ternakan sendiri dan kebergantungan sepenuhnya daripada sumber import sudah tentu memberi kesan kepada harga di pasaran tempatan sekiranya masalah sama berulang.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Hormon kehamilan punca penyakit gusi


SAYA sedang hamil. Saya perasan gusi saya mudah berdarah apabila saya memberus gigi. Adakah ini normal? Apakah yang boleh saya lakukan untuk menghentikan pendarahan? Bolehkah gusi berdarah menyebabkan masalah lain? Jika saya mengalami penyakit gusi, adakah ini akan menjejaskan kesihatan bayi saya? Bilakah saya harus berjumpa doktor gigi? Ryna, Johor

Jawapan

Kebanyakan daripada kita pasti akan mengalami gusi berdarah dan gigi sensitif (gingivitis) pada satu ketika dalam hidup, tetapi perkara ini lebih kerap berlaku jika anda hamil. Hormon-hormon kehamilan boleh membuatkan gusi anda bengkak. Ini bermakna ia lebih mudah dan lebih kerap berdarah, terutamanya apabila anda memberus gigi atau memflos gigi anda. 

Tindakan
Saya agak anda mungkin akan cuba mengelak daripada melakukan apa-apa yang akan membuatkan gusi anda berdarah. Namun penting bagi anda untuk memberus gigi dengan kerap. Gunakanlah berus yang lembut jika gusi anda bengkak dan sensitif. Ketika memflos pula, buatlah dengan perlahan-lahan.

Plak (lapisan air liur, bakteria dan sisa makanan yang menyaluti gigi antara waktu memberus gigi) boleh membuat gusi anda lebih mudah berdarah. Anda boleh mengurangkan jumlah plak yang terbentuk pada gigi anda melalui
i. Memberus gigi anda selama dua minit, sekali pada waktu pagi dan sekali lagi sebelum tidur pada waktu malam, dengan menggunakan ubat gigi berfluorida
ii. Menggunakan berus gigi elektrik. Berus elektrik lebih berkesan menghilangkan plak dan mengurangkan bengkak gusi berbanding berus gigi biasa
iii. Membersihkan celah-celah gigi anda sekurang-kurangnya tiga kali seminggu untuk mengeluarkan plak dan sisa makanan. Anda boleh gunakan flos atau berus mini (interdental brushes)
iv. Berjumpa doktor gigi dengan kerap
v. Hentikan merokok. Merokok boleh membuatkan penyakit gusi semakin teruk. Ketahui bagaimana cara untuk berhenti merokok semasa hamil dan
vi. Tanyalah doktor atau doktor gigi mengenai pengkumur mulut yang selamat digunakan semasa hamil. 

Menjejaskan kesihatan bayi?
Jika anda mengalami penyakit gusi, ia tidak akan menjejaskan kesihatan bayi secara langsung. Tetapi ini bermakna, kesihatan anda secara umumnya tidak sebaik seperti sepatutnya. Jika anda rasa sukar untuk mengekalkan kesihatan yang baik, ini boleh menjejaskan perkembangan bayi anda.
Atas sebab inilah sesetengah pakar percaya bahawa terdapat kaitan di antara periodontitis dengan kelahiran bayi pramatang, bayi yang kecil atau terbantut semasa dilahirkan dan komplikasi kehamilan yang lain. 

Apa yang kita tahu ialah jika seorang bakal ibu itu tidak memperolehi makanan yang sihat dan dalam keadaan tertekan, beliau berisiko lebih tinggi melahirkan bayi pramatang. 

Jika gusi anda berdarah dan bengkak, jumpalah doktor gigi dengan segera. Gigi anda boleh dibersihkan dan digilap sebagai salah satu rawatan bagi gusi bengkak. Ambillah peluang ini dan luangkan sedikit masa untuk berbincang dengan doktor gigi mengenai cara terbaik untuk menjaga gigi anda. Jangan lupa memaklumkan doktor gigi bahawa anda sedang hamil supaya anda tidak perlu melakukan X-ray, kecuali jika terdesak dan sangat memerlukannya. Tiada masalah jika anda perlu diberikan bius setempat di bahagian mulut untuk rawatan gigi semasa anda hamil.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Diabetes bukan halangan berpuasa


Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
pesakit diabetes perlu berjumpa dengan doktor supaya perubahan dos ubat dan insulin dapat dilakukan mengikut keadaan kesihatan mereka. 
 
UMAT Islam berada dalam minggu pertama Ramadan, pesakit diabetes yang beragama Islam dinasihati mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengawasi paras gula darah mereka demi mengelakkan hipoglisemia (paras gula darah yang terlalu rendah) pada siang hari dan hiperglisemia (paras gula darah yang terlalu tinggi) pada waktu malam.

Oleh demikian, pesakit-pesakit diabetes yang ingin melaksanakan ibadah puasa diminta terlebih dahulu mendapatkan nasihat daripada doktor mereka.

Semasa berpuasa, risiko gula darah menurun ke bawah paras normal adalah lebih tinggi daripada waktu biasa. Jika tanda-tanda hipoglisemia timbul, anda harus mempertimbangkan berhenti puasa dan mengambil jus buah-buahan ataupun satu sudu besar gula dengan segera. Lakukan ujian paras gula darah anda jika telah berhenti puasa dan juga laporkan sebarang ketidakselesaan ataupun keletihan yang dialami kepada doktor anda.

Menurut Pakar Runding Endokrin Dr. Norashinah Datuk Kamarudin, pengawasan secara tetap terhadap paras gula darah adalah mandatori semasa bulan Ramadan. 

"Pengukuran tahap gula darah sebaik-baiknya dijalankan pada awal pagi sebelum puasa dan selepas Iftar dan Sahur. Bagaimanapun, anda adalah dinasihati supaya berhenti puasa jika bacaan gula darah menurun ke bawah paras sasaran yang sepatutnya pada waktu pagi dan tengahari," ujarnya yang ditemui di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur.

Beliau menambah, umat Islam dengan penyakit kencing manis jenis 2 yang tidak memerlukan suntikan insulin biasanya dapat menjalankan ibadah puasa tanpa sebarang masalah semasa Ramadan. 

Pesakit-pesakit yang hanya memerlukan satu suntikan insulin biasanya boleh berpuasa tanpa masalah besar tetapi mereka dinasihati berjumpa doktor untuk mengetahui jenis insulin yang sesuai untuk mereka.

Semasa berpuasa, adalah penting untuk pesakit-pesakit mengenali tanda-tanda hipo dan hipeglisemia, mengetahui cara-cara menangani mereka, mengukur paras gula darah dengan cara yang tertentu, meminum air yang cukup dan mengamalkan kesederhanaan dari segi pemakanan.

Di samping masalah-masalah yang tersebut di atas, terdapat satu lagi perkara yang tidak kurang pentingnya iaitu mengetahui tentang tanda-tanda ketoasidosis. Ketoasidosis adalah sejenis keadaan serius yang mengancam nyawa dan ia berlaku apabila badan pesakit benar-benar kekurangan insulin dan tahap gula darah menjadi terlalu tinggi.

HipoglisemiaTambah Dr. Norshinan, hipoglisemia merujuk kepada keadaan apabila kandungan glukosa berkurangan dalam darah dan berada di bawah paras normal.

"Tanda-tanda hipoglisemia termasuklah rasa gelisah dan tidak tentu arah, lemah, teramat lapar, berpeluh, pucat, berdebar-debar, menggeletar, denyutan nadi terlalu laju dan tidak sedarkan diri sekiranya terlalu serius. "Pengetahuan mengenai tanda-tanda komplikasi kesihatan ini sangat penting untuk difahami pesakit untuk mengelakkan sebarang masalah serta komplikasi lebih teruk," ujarnya.

Siapa yang berisiko?Salah satu punca hipoglisemia berlaku adalah ia ada kaitan dengan jenis ubat yang diambil oleh pesakit untuk mengawal paras glukos dalam darah. Dua jenis ubat yang selalu digunakan di hospital iaitu metformin dan sulfonylurea. Metformin yang berfungsi memperbaiki paras glukos dalam darah tanpa merangsang pengeluaran insulin mampu meminimumkan atau tidak mendatangkan risiko hipoglisemia .

Sulfonylurea pula boleh menyebabkan risiko ketara hingga tercetusnya hipoglisemia kerana ia merangsang pengeluaran insulin selagi berada dalam badan.

Dr. Norshinah turut menasihatkan, seelok-eloknya sebelum menjalani ibadat puasa, mereka yang berisiko khususnya pesakit diabetes berjumpa dengan doktor supaya perubahan dos ubat dan insulin dapat dilakukan mengikut keadaan kesihatan mereka.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Sunday 14 July 2013

Elak penularan virus MERS


KAHERAH 13 Julai - Arab Saudi tidak akan mengeluarkan visa haji tahun ini kepada jemaah warga emas dan penghidap penyakit kronik dalam usaha mereka mencegah penularan virus Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS) semasa musim haji yang akan datang.

Menurut jurucakap Kementerian Kesihatan, Khalid al-Mirghalani kepada akhbar Arab News, syarat terbaharu itu akan digunapakai terhadap jemaah haji yang menunaikan rukun Islam kelima tersebut pada Oktober ini dan jemaah umrah selepas itu.

Bagaimanapun, pegawai itu tidak mendedahkan tentang had umur, namun menyatakan warga emas yang secara perubatannya tidak sihat untuk mengerjakan haji tidak akan dipertimbangkan untuk visa.
Khalid berkata, untuk itu, warga emas dan penghidap penyakit kronik dinasihat menangguhkan ibadat haji serta umrah.

Selain itu, Kementerian Kesihatan menerusi laman webnya turut menasihatkan individu yang mudah terdedah kepada penyakit seperti wanita hamil dan kanak-kanak supaya menangguhkan dua ibadat tersebut.

Sebanyak 38 orang maut setakat ini akibat virus menyamai Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) itu sejak September tahun lalu, menurut pihak berkuasa kesihatan. 

Virus tersebut buat pertama kalinya ditemui tahun lalu pada seorang lelaki di negara ini.
Ia dilaporkan menular dalam kalangan penduduk di Perancis, Jordan, Qatar, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Jerman, Tunisia dan Britain. - DPA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.m

Tuesday 9 July 2013

Denggi tidak pilih Mangsa


Sasha Bashir (kanan) ketika melakukan gimik semburan menghapuskan nyamuk pada majlis sesi dialog pengalaman menghidap demam denggi anjuran SC Johnson, di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini. 
 
BAGI pengacara dan selebriti tempatan, Sasha Bashir, pengalaman menghidap demam denggi lima tahun lalu mengubah persepsinya tentang penyakit tersebut. Personaliti televisyen itu juga terlantar di hospital selama lima hari kerana penyakit yang mengancam nyawa itu.

"Sebelum itu hanya demam biasa. Namun saya langsung tidak mengalami gejala demam denggi seperti loya, muntah atau sakit sendi. Saya mengesyaki ini hanya perkara biasa," ujarnya ketika berkongsi pengalaman menghidap demam denggi anjuran SC Johnson dengan kerjasama Kementerian Kesihatan sempena Hari Denggi ASEAN, di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Seterusnya Sasha memberitahu, dia berkunjung ke klinik mendapatkan ubat bagi melegakan demam, namun suhu badan tetap tidak surut.

"Doktor ada mengingatkan saya, jika demam tidak baik dalam masa tiga hari, saya perlu datang semula ke klinik untuk pemeriksaan susulan.

"Selepas itu, saya dapati suhu panas badan masih tidak turun. Wajah saya juga menjadi pucat.
"Saya segera memberitahu suami dan dia terus menghantar ke klinik yang akhirnya menyuruh saya merujuk ke hospital kerana suhu badan yang panas," kata Sasha.
Ketika di hospital, dia terus dimasukkan ke wad kecemasan selama setengah jam untuk membuat ujian darah.

Setelah disahkan menghidap demam denggi, dia dimasukkan ke wad selama lima hari.
Pada mulanya, Sasha mengakui agak keliru apabila disahkan menghidap demam denggi.
Bagi Sasha, pengalaman menghidap denggi itu menyebabkan dia trauma apabila melihat nyamuk berterbangan. 

Selepas dua tahun, suaminya pula disahkan menghidap demam denggi.
"Saya sangat takut ketika itu namun bersyukur kerana semuanya selamat. Sejak itu, kami begitu mementingkan kebersihan alam sekitar.

"Penyakit ini boleh berlaku kepada sesiapa saja dan tidak mengira tempat. Disebabkan itu, kami lebih peka dengan kebersihan tidak kira di mana," katanya..
Jelas Sasha, apabila berada di tempat letak kereta yang ada sampah atau air bertakung, dengan segera dia dan suami akan membersihkannya.

Seorang lagi yang pernah menghidap demam denggi dan berkongsi pengalaman, Suzanne Selvarajah, menyatakan dia diserang virus berkenaan sebanyak dua kali.

"Ketika itu pada tahun 2000, saya disahkan menghidap demam denggi dan dimasukkan ke wad selama empat hari dan mengambil ujian darah bagi menentukan tahap jangkitan.

"Selepas empat hari, virus denggi dalam tubuh semakin pulih dan kehidupannya kembali seperti sedia kala,"katanya.

Namun, katanya, kejadian sama berulang pada tahun 2008 dan dia mengalami gejala sama iaitu demam pada suhu tinggi melebihi 39 darjah celsius walaupun sudah mengambil ubat.

"Sekali lagi saya dimasukkan ke wad. Tiga hari berada di situ saya dimasukkan plasma beku dan tidak lama selepas itu bintik merah muncul pada seluruh badan.

"Ketika itu, doktor membawa saya ke bilik air dan menyiram air sejuk ke atas badan bagi mengurangkan rasa gatal selepas dimasukkan plasma.

"Ini begitu menakutkan apabila suhu badan saya tidak menunjukkan sebarang penurunan. Akhirnya, saya terpaksa menggunakan ais untuk menyejukkan badan yang terlalu panas," katanya yang menetap di Kajang, Selangor, ketika itu.

Mengakui dihantui rasa trauma, Suzanne berkata, dia tidak teragak-agak menggunakan penyembur serangga setiap kali berada di rumah pada waktu petang. 

"Mujur saya tidak mendapat sebarang komplikasi yang biasa dikaitkan dengan demam denggi sehingga mengakibatkan risiko kerosakan buah pinggang dan hati serta denyutan jantung berhenti.
"Saya tidak boleh membayangkan sekiranya anak kecil terkena penyakit demam denggi ini, ia memang amat menyakitkan.

" Saya kini memastikan memasang wap penghalau nyamuk 24 jam dan mengenakan semburan penghalau nyamuk pada tubuh saya dan anak ketika keluar rumah," katanya yang mengakui paranoid terhadap nyamuk.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Sakit dan Ramadan


Luka akibat hakisan asid perut penyebab kepada ulser perut. - Gambar hiasan 
 
Menurut Pakar Perunding Gastroenterologi dan Perubatan Dalaman, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr. Raja Affendi Raja Ali, selaku pesakit, golongan ini haruslah bijak menimbang tara antara kewajipan berpuasa dan kewajipan menjaga kesihatan. 

Jelasnya, bagi membantu pesakit membuat keputusan, satu langkah yang boleh diambil adalah mendapatkan khidmat nasihat doktor sebelum bermulanya bulan Ramadan. 

Menurut Dr. Raja Affendi, gastrik dan ulser perut adalah dua penyakit yang berbeza. Gastrik atau istilah perubatannya bermaksud perut dan gastritis merupakan keradangan pada dinding perut manakala ulser pula adalah luka akibat hakisan asid perut. 

"Kedua-duanya boleh terjadi akibat jangkitan bakteria helicobacter pylori yang memerlukan penggunaan ubat penahan sakit tertentu (seperti ibuprofen, naproxen, aspirin dan lain-lain), pengambilan steroid yang berlebihan serta merokok. 

"Lazimnya, kedua-dua penyakit ini boleh menyebabkan perasaan sebu (dyspepsia) di hulu hati.
"Individu berkenaan boleh didiagnos melalui endoskopi serta pengesanan jangkitan helicobacter pylori menggunakan sampel biopsi yang diambil pada dinding perut," kata Dr. Raja Affendi. 

Pengesanan jangkitan helicobacter pylori kata Dr. Raja Affendi, boleh juga dibuat melalui ujian darah, najis dan perhembusan nafas (urea breath test).

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Sunday 7 July 2013

Kawal anak daripada menagih

TAHUKAH anda bahawa sejarah penagihan dadah dalami kalangan ahli keluarga sama ada jauh atau dekat sebenarnya membawa risiko genetik kepada anak-anak anda untuk membesar menjadi seorang penagih dadah juga?

Walaupun ia belum menjadi satu masalah, ibu bapa seharusnya tidak terlepas pandang daripada terus memantau sebarang petunjuk kalau-kalau ada sesuatu tidak kena berlaku kepada diri anak-anak mereka.

Kebiasaannya ujian air kencing boleh dilakukan untuk mengesan penagih dadah. Malangnya, ia hanya dilakukan oleh pihak berkuasa dan jika ia berlaku, pelbagai kerosakan telah pun dibuat.

Oleh itu, bertindaklah segera selagi mereka masih berada di dalam kawalan anda. Berikut saya kongsikan beberapa petunjuk untuk mengetahui sama ada anak-anak anda telah terjebak atau tidak di dalam aktiviti tersebut.

Periksa bilik tidurWalaupun anak-anak meningkat remaja, ibu bapa masih berhak memeriksa bilik tidur mereka. 

Periksa sebarang kehadiran bahan-bahan aneh yang menyerupai dadah. Ia mungkin dalam bentuk serbuk, kristal, pil atau mampatan.

Anda mungkin perlu lebih kreatif semasa mencari bahan bukti. Ini termasuklah minuman keras, gam atau rokok. 

Walaupun rokok dikatakan kurang merbahaya misalnya, anda perlu tahu yang daun tembakau di dalam rokok tersebut sebenarnya boleh digunakan sebagai ramuan menghisap ganja.

Begitu juga dengan kehadiran peralatan pelik yang digunakan untuk menghisap dadah seperti botol yang ditebuk, pemetik api atau potongan kertas aluminium. 

Mereka mungkin memberi pelbagai alasan seperti ia bukan kepunyaannya atau sekadar mahu mencuba. Yang penting mengapa ia berada di dalam simpanan mereka?

Perubahan tingkah-lakuAnak kecil yang meningkat remaja sememangnya akan menunjukkan perubahan tingkah-laku. 

Berhati-hati kerana perubahan semulajadi ini tidak sama dengan perubahan tingkah-laku akibat pengambilan dadah seperti suka menyendiri, kelihatan tidak bermaya dan malas membuat sesuatu perkara.

Mereka berkawan dengan rakan yang kelihatan tidak sesuai dengan status pelajar dan usia mereka.
Perhatikan juga sebarang perubahan emosi seperti mudah meradang, khayal atau lentok.

Corak tidur juga boleh dijadikan petunjuk. Pengambilan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine misalnya boleh menyebabkan mereka kelihatan aktif dan tidak tidur pada waktu malam untuk beberapa hari. 

Kes sebegini banyak berlaku dalam kalangan pelajar yang kononnya akan mengambil peperiksaan besar pada tahun persekolahan tersebut. 

Bagi pelajar perempuan pula, penggunaan dadah jenis ini juga boleh menyebabkan penurunan berat badan mendadak.

Pengambilan dadah jenis ganja pula, akan menyebabkan pelajar selalu kelihatan murung dan tidak bersemangat. 

Tanda lain yang boleh dilihat ialah malas membuat kerja sekolah dan selalu ponteng sekolah.
MencuriTanda paling serius ialah anda akan selalu kehilangan duit atau barangan berharga di dalam rumah. 

Ini kerana mereka terpaksa mendapatkan sumber kewangan tetap untuk menyara aktiviti penagihan.
Sekali lagi akan ada penjelasan demi penjelasan tetapi lama-kelamaan penjelasan tersebut akan menjadi semakin tidak masuk akal apabila mereka mula kehabisan idea untuk menipu. 

Jumlah wang yang hilang juga semakin meningkat kerana penggunaan dadah mereka jakan meningkat dari semasa ke semasa.

Masalah kesihatanDadah menjahanamkan tubuh badan. Perhatikan tanda-tanda sama ada mereka kelihatan murung atau batuk-batuk lebih daripada biasa. Pengambilan dadah secara sniffing atau menghidu, akan menyebabkan masalah kesihatan seakan-akan sinusitis atau resdung.

Mereka kerap bersin dan kelihatan tersedu-sedu yang kebanyakan ibu bapa akan tersalah sangka ia hanya sejenis selesema biasa. Begitu juga dengan tanda suntikan jarum atau tampalan plaster di lengan.

Perbalahan bukanlah penyelesaianJika anda terlihat tanda-tanda di atas, perbalahan bukanlah satu kaedah penyelesaian yang baik. Jadikan rumah sebagai tempat untuk anak-anak berbincang dan mendapatkan pertolongan ibu bapa.

Ibu bapa yang benar-benar menyayangi anak-anak tidak akan putus asa dan akan sentiasa memberi dorongan untuk mereka keluar daripada masalah penagihan. Jika gagal, bawalah berjumpa dengan pakar perubatan yang mahir dalam bidang ini.

Risiko puasa ketika hamil

 

Selain wanita mengandung yang mengalami alahan kronik, terdapat beberapa faktor membuatkan ibu mengandung tidak perlu berpuasa. 


Antaranya ialah mereka yang mempunyai penyakit kronik seperti diabetes mellitus, hipertensi, penyakit buah pinggang dan anemia semasa mengandung. 

Sesetengah penyakit seperti diabetes mellitus memerlukan pesakit mengambil ubat pada waktunya.
Pesakit jantung, tumbesaran bayi yang terencat dan mengalami perdarahan semasa hamil juga tidak digalakkan berpuasa. 

Begitu juga mereka yang berat badan tidak mencukupi atau tidak bertambah.
"Mereka yang tidak dapat mematuhi arahan meminum air yang mencukupi iaitu sehingga 2 liter sehari turut dinasihatkan untuk tidak berpuasa. 

"Juga mereka yang tidak dapat mengambil makanan yang menyihatkan," terangnya.
Mereka yang kekurangan air di dalam badan juga digalakkan berbuka puasa segera kerana khuatir menjejaskan kandungan. 

Ia boleh dilihat daripada air kencing ibu mengandung. Jika ia sikit dan pekat seperti warna teh o, ia menunjukkan badan kekurangan air yang diperlukan. 

Ujarnya, mereka diberi pilihan dan perlu mengawasi badan sendiri selain mendapat konsultasi daripada doktor. 

Berjumpa dengan doktorTegas Dr. Nurhazinat, ibu mengandung perlu mematuhi jadual janji temu dengan doktor supaya dapat mengawasi keadaan ibu dan anak. 

Terang kepada doktor sejarah penyakit selain tahap alahan agar doktor dapat menentukan mereka sesuai atau tidak untuk berpuasa. 

Selain itu, doktor juga akan mengawasi saiz kandungan selain kesihatan ibu mengandung.
Berat badan ibu mengandung hendaklah sentiasa menaik, jika ia tidak berubah dan menurun semasa puas, ia bukan tanda yang baik. 

Jika anda tidak mempunyai tanda-tanda risiko kehamilan, dapatkan nasihat doktor cara pemakanan yang sihat untuk ibu dan kandungan. 

"Ada juga kajian menunjukkan risiko bersalin awal akibat tekanan ketika puasa yang menyebabkan hormon seseorang berubah. 

"Sebab itu amat penting untuk sentiasa melakukan pemeriksaan dan memberitahu doktor sebarang perubahan," ujarnya. 

Banyakkan air Terangnya, paling penting bagi ibu mengandung ialah mematuhi jumlah air yang diperlukan dalam sehari iaitu sekurang-kurangnya 1.5 hingga 2 liter. 

Ini kerana air ketuban berkurangan yang disebut oligohidramnios.
Walaupun berpuasa, ada cara untuk melengkapkan lapan hingga 10 gelas air dalam sehari itu.
Pastikan anda mengambil air ynag diperlukan sepanjang waktu berbuka hinggalah sahur. 

"Cadangan saya, cuba minum tiga gelas air ketika berbuka, 3 gelas sebelum tidur dan tiga gelas lagi termasuk air susu sewaktu sahur," terangnya.

Juga kurangkan aktiviti yang memenatkan ketika berpuasa seperti beriadah dan membeli-belah serta rancang jadual kerja dengan baik. 

Elakkan tempat yang panas supaya kurang mengalami dinyahhidratkan.
MakananKebiasaannya, makanan manis seperti kuih-muih Melayu menjadi pembuka juadah berbuka puasa membuatkan kita berasa kenyang. 

Namun sebenarnya makanan manis sebegitu tidak memberikan sumber tenaga dan nutrien yang mencukupi serta diperlukan. 

"Makanan yang paling baik ketika berbuka puasa ialah makanan yang berprotein tinggi seperti ikan dan telur. 

"Cuba kurangkan makanan manis sangat terutama ketika berbuka kerana ia akan menyebabkan paras gula naik dan kemudian turun mendadak lalu menyebabkan rasa pening.
"Selain itu, karbohidrat kompleks seperti kurma dan bijirin amat bagus untuk sahur," terang Dr. Nurhazinat. 

Makanan terbaik untuk bersahur ialah makanan yang membekalkan tenaga seperti nasi dan roti,
Tambahnya, makanan tambahan yang biasa diperlukan oleh ibu mengandung perlu diamalkan dengan disiplin iaitu multivitamin dan susu.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Sembelit ketika hamil


Anda juga dinasihatkan minum banyak air atau jus buah-buahan untuk mengelak sembelit ketika hamil. - Gambar hiasan 
 
Soalan 

SEJAK kebelakangan ini saya kerap mengalami masalah sembelit. Untuk pengetahuan doktor, saya sedang hamil anak pertama. Mengapakah saya sering mengalami masalah tersebut? Apakah yang boleh saya lakukan untuk mengatasi masalah tersebut ?Adakah sembelit semasa hamil boleh menjadi masalah yang serius? Mohon bantuan.Terima kasih.
* Amalin, Selangor



Jawapan

Sembelit ialah masalah biasa semasa hamil. Kira-kira 30 hingga 40 peratus wanita hamil mengalami sembelit. Ini diakibatkan perubahan hormon semasa hamil yang memperlahankan pergerakan makanan melalui salur penghadaman anda. Tekanan oleh rahim yang semakin membesar ke atas rektum juga boleh mengakibatkan sembelit. Sesetengah pil zat besi juga boleh membuatkan sembelit menjadi lebih teruk.

Pertama, perhatikan bila dan bagaimana anda pergi ke tandas. Biasakan diri pergi ke tandas pada kali pertama anda rasa mahu membuang air besar. Waktu awal pagi atau kira-kira satu jam selepas waktu makan adalah masa-masa yang sesuai untuk anda cuba ke tandas. Cuba ambil masa lebih sedikit untuk bersendirian, walaupun ini agak sukar jika anda mempunyai anak-anak lain untuk dijaga.

Kaedah-kaedah lain juga boleh membantu. Anda perlu mengawasi diet anda. Pastikan anda minum air secukupnya dan melakukan senaman secara tetap. Perlu makan makanan berserat tinggi seperti bijirin bijian penuh, roti bijian penuh dan buah-buahan serta sayur-sayuran segar setiap hari. 

Anda juga dinasihatkan minum banyak air atau jus buah-buahan dan sekurang-kurangnya lapan gelas sehari. Jus prun juga boleh membantu.

Lakukan aktiviti seperti biasa. Bersenam seperti berjalan, berenang dan menunggang basikal senaman, kerana kesemuanya boleh membantu mengurangkan sembelit, dan membuatkan anda berasa lebih cergas dan sihat. Suplemen pranatal yang mengandungi zat besi juga boleh menyebabkan sembelit. Tanyalah doktor jika ada pilihan lain. 

Jangan ambil ubat-ubatan berbentuk julap yang boleh didapati di pasaran tanpa mendapat nasihat daripada doktor anda terlebih dahulu. Jika perubahan pada diet dan gaya hidup tidak membantu, mungkin doktor anda boleh memberi ubat yang selamat diambil semasa hamil. 

Sembelit bukanlah satu masalah besar bagi kebanyakan wanita hamil, tetapi jika berlarutan, maklumkan kepada doktor anda. Kadang-kala, sembelit yang berpanjangan boleh menyebabkan buasir. Ini boleh jadi menyakitkan, gatal dan tidak selesa. Ada juga yang mengalami pendarahan semasa membuang air besar. Buasir biasanya reda sendiri tidak lama selepas bersalin.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Friday 5 July 2013

Serangan kedua lebih parah



KITARAN hidup nyamuk Aedes cuma dalam tempoh sebulan.


DEMAM denggi boleh membawa maut. Ramai beranggapan mereka yang pernah menghidap denggi tidak akan diserang penyakit yang sama kerana tubuh mereka sudah ada antibodi untuk melawan penyakit itu.

Bagaimanapun, profesor Jabatan Mikrobiologi Perubatan, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof. Shamala Devi Sekaran menyangkal pandangan tersebut.

"Serangan denggi kali kedua jauh lebih teruk dan kesannya lebih rumit. Pesakit juga mungkin mendapat penyakit lain yang lebih serius yang boleh merosakkan paru-paru, hati dan jantung.

Pembiakan nyamuk
"Langkah pencegahan utama untuk mengurangkan kemungkinan jangkitan denggi ialah mengawal populasi nyamuk Aedes," katanya pada sesi dialog sempena sambutan Hari Denggi Asean di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Memandangkan pemindahan virus memerlukan nyamuk sebagai vektor, penyebaran denggi boleh dihadkan dengan mengurangkan pembiakannya. 

Orang ramai harus didik supaya menyedari bahawa nyamuk merupakan vektor penyakit itu, jadi adalah berbahaya jika kawasan berhampiran rumah mereka menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

"Orang ramai mempunyai persepsi bahawa mereka tidak akan menghidap denggi, namun statistik membuktikan sebaliknya. Kes denggi kini semakin teruk.

"Langkah pencegahan yang mudah boleh dilakukan oleh setiap individu dan memberi kesan jangka panjang. Cara terbaik untuk mengurangkan nyamuk ialah dengan membersihkan tempat-tempat nyamuk bertelur," jelasnya.

Menurut Shamala Devi, air kotor yang bertakung bukanlah satu-satunya tempat pembiakan nyamuk Aedes. Serangga itu masih boleh membiak dalam air bersih seperti dalam balang seramik, bekas logam, tong simpanan air, pasu, bekas makanan dan barangan lain yang menakung air hujan.

Denggi berlaku di kawasan bandar dan di luar bandar. Walaupun kes denggi kerap berlaku semasa musim hujan, ia boleh menjangkiti manusia sepanjang tahun.

Nyamuk Aedes aktif dan menggigit ketika waktu siang dan bukannya pada waktu subuh atau senja sahaja.

Nyamuk betina sahaja akan menggigit dan kita akan dijangkiti jika nyamuk betina tersebut dijangkiti.
"Nyamuk memerlukan darah bagi membolehkannya bertelur. Selepas mendapat bekalan darah, dalam masa tiga hari ia akan bertelur.

"Jika nyamuk tersebut dijangkiti virus, telurnya juga akan dijangkiti. Nyamuk akan bertelur di permukaan air dan ia bertukar menjadi larva kemudian pulpa dan akhirnya menjadi nyamuk dewasa dalam tempoh lapan hingga 10 hari," katanya sambil memberitahu, nyamuk dewasa boleh hidup sehingga tiga minggu.

Kesedaran
Nyamuk bukan saja berada di luar rumah bahkan di dalam rumah lebih-lebih lagi di tempat yang gelap.

Terdapat empat jenis virus berbeza tetapi berkait rapat yang menyebabkan seseorang menghidap denggi. Seseorang itu perlu dijangkiti denggi sebanyak empat kali bagi membolehkannya membina antibodi terhadap keempat-empat virus tersebut.

"Hakikatnya, tidak susah membendung masalah denggi. Kesedaran terhadap denggi perlu berterusan. Setiap komuniti penduduk mesti mengadakan kempen membanteras denggi secara bulanan.

"Bersihkan kawasan yang berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes. Jika semua orang melakukan peranan masing-masing, masalah denggi dapat diatasi," ujarnya. - NURUL IZZA ROSLY

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my