Wednesday 24 April 2013

Elak jangkitan TB

elak jangkitan tb

Gambaran X-Ray pesakit tibi.
DAPATKAN rawatan segera jika batuk berpanjangan lebih sebulan ditambah pula dengan kahak berdarah. Anda mungkin dijangkiti penyakit kronik berpanjangan iaitu batuk kering atau tuberkulosis yang sering dipanggil tibi. 

Pakar Perubatan Pusat Perubatan Kelana Jaya Dr. Abdul Malik Jamal Buhari berkata, penyakit ini disebabkan jangkitan bakteria Mycobacterium tuberculosis, yang biasanya menyerang paru-paru.
Bagaimanapun bakteria ini juga mampu menyerang sistem saraf tunjang, sistem kelenjar, sistem peredaran darah dan tulang.

Penyakit tibi pada suatu ketika dahulu pernah menjadi pembunuh utama kepada penduduk di negara ini antara tahun 1945 hingga 1957. 

Dr. Malik berkata, tibi biasanya berjangkit melalui titisan cecair daripada orang yang telah dijangkiti seperti bersin, batuk atau bercakap. 

"Titisan cecair yang terapung lebih kurang empat jam boleh menjangkiti mereka yang terhidu," katanya semasa ditemui di pejabatnya. 

Dianggarkan satu pertiga populasi dunia mempunyai bakteria tibi di dalam badan mereka tetapi tidak merbahaya dan menonjol. 

Bakteria tibi boleh hidup diam di dalam badan dan kemungkinan besar tidak menyebabkan masalah kesihatan kecuali dalam keadaan yang sesuai. 

Dr. Malik berkata, biasanya dalam keadaan imunisasi badan yang rendah seperti demam disebabkan virus, bakteria tibi akan muncul.
Pesakit diabetes yang tidak mengawal kandungan gula dalam darah menyebabkan imunisasi badan rendah boleh menyebabkan bakteria tibi menonjolkan diri. 

Selain itu pesakit HIV dengan imunisasi badan rendah, mudah dijangkiti dengan bakteria tibi.
"Dianggarkan satu perempat pesakit HIV meninggal dunia disebabkan oleh penyakit tibi," katanya. 

Biasanya penyakit tibi mudah tersebar di kawasan penempatan yang sesak dan sempit, kurang bersih, kurang nutrisi terutama di kawasan dengan sosio ekonomi yang rendah. 

Pesakit tibi boleh didiagnos menggunakan sinar-X, ujian kahak berdarah dan ujian mantoux

Dr. Malik berkata, dianggarkan terdapat sembilan juta pesakit tibi di seluruh dunia setiap tahun. 

"Kita boleh mengawal penyakit tibi dengan mengamalkan gaya hidup sihat, makanan bergizi dan memakai topeng muka apabila berhadapan dengan pesakit tibi," katanya. 

Ditanya sama ada tibi boleh sembuh, Dr. Malik berkata, kebanyakan pesakit tibi boleh sembuh dengan mengambil ubat selama enam bulan tanpa henti. 

Bagaimanapun terdapat bakteria tibi yang resistan atau kebal terhadap ubatan biasa seperti multidrug resistance TB (MDRTB) yang memerlukan pesakit mengambil ubat selama dua tahun. 

Terdapat juga MDRTB berubah kepada extreme drug resistance TB (XDRTB) di mana semua ubatan tidak lagi berkesan. 

"Biasanya tibi biasa boleh berubah kepada MDRTB dan XDRTB apabila bakteria menjadi lebih kebal sebab tidak mengambil ubat secara berterusan atau secara semulajadi," katanya. 

Kaedah terbaik untuk menghalang jangkitan tibi adalah dengan suntikan imunisasi BCG bagaimanapun ia tidak melindungi sepenuhnya. 

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati imunisasi BCG yang diberikan kepada bayi baru lahir tidak memberi perlindungan sepenuhnya terhadap jangkitan batuk kering. 

Imunisasi BCG hanya melindungi kanak-kanak daripada mendapat penyakit batuk kering yang teruk. 

Apabila kanak-kanak meningkat dewasa, risiko jangkitan ini adalah sama dengan orang dewasa lain yang tidak mendapat imunisasi BCG.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Makin ramai hidap parkinson


Pengarah Eksekutif World Parkinson Coalition, Elizabeth Polland (kiri) bermesra dengan pesakit pada majlis minum petang sempena April Bulan Kesedaran Parkinson Dunia anjuran Persatuan Parkinson Malaysia di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
 
“PELBAGAI ujian dibuat mengatakan tiada apa masalah pada tangan. Saya tidak puas hati lalu mendapatkan pendapat kedua dari hospital lain.

“Memang langsung tidak terlintas di fikiran bahawa saya sebenarnya sudah mengalami simptom pesakit Parkinson," cerita Samuel yang ditemui di majlis minum petang sempena April Bulan Kesedaran Parkinson Dunia anjuran Persatuan Parkinson Malaysia di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Akhirnya, selepas mendapatkan pandangan lebih 10 orang doktor baru Samuel mengetahui dirinya kini penghidap parkinson. 

Begitupun Samuel tidak mahu menjadikan penyakit yang dialaminya satu halangan untuk melangkah ke hadapan. Sebaliknya dia terus menambah ilmu menerusi bahan bacaan dan Internet.

“Parkinson hanya melibatkan kemerosotan pada pergerakan fizikal. Penyakit ini yang biasa kita dengar melibatkan getaran pada tangan, tapi pada saya tidak terjadi begitu. 

“Selepas dua setengah tahun mengalaminya boleh dikatakan amat mencabar minda bukan saja diri saya malah ahli keluarga juga.
“Akibat penyakit ini pergerakan saya amat terbatas. Hendak pakai baju sendiri pun payah. Adakalanya tak boleh dan kaki tidak boleh diangkat sebab terlalu lemah," ujarnya yang kini menjadi Presiden Persatuan Parkinson Cawangan Perak. 

Samuel tidak berseorangan menghadapi parkinson pada usia 45 yang boleh dikategorikan agak muda. Ramai lagi yang mengalami masalah sepertinya. Di Perak sahaja terdapat 40 pesakit yang mendaftar dengan persatuan dan wanita berusia 35 tahun adalah yang paling muda menghidapinya.

Dikawal dengan ubat

Ketua Jabatan Perubatan di Fakulti Perubatan, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof. Datin Dr. Norlinah Mohamed Ibrahim berkata, parkinson terjadi apabila satu sel kimia di otak yang dipanggil dopamin berkurangan. 

Sel dopamin menurut beliau, apabila berkurangan akan menyebabkan gangguan pada pergerakan fizikal manusia.

“Pada peringkat awal memang tiada gejala yang ketara. Cuma yang sering diadu pesakit rasa letih, lesu dan sering mengalami kejang pada waktu malam.

“Itu antara simptom dikatakan peringkat awal tanda seseorang mempunyai penyakit parkinson.

“Malah ini boleh disalah sangka seakan-akan strok atau slip disc, kerana pesakit akan berasa seolah-olah urat ditarik-tarik dan mengganggu pergerakan mereka. 

“Masalah mungkin menjadi semakin buruk apabila tidak dirawat atau mendapat rawatan yang salah. 

Jadi, amat penting untuk didiagnosis dengan teliti bagi memastikan ini adalah parkinson," jelas beliau.

Ditanya apa faktor menyebabkan sel dopamin berkurang, Dr. Norlinah berkata, sukar dikenal pasti kerana sel tersebut musnah dengan sendiri.

“Mungkin juga kerana faktor sekitar atau keturunan. Di Malaysia sekarang ini usia paling muda menghidapinya ialah sekitar 30-an dan saringan amat penting untuk memastikan ini memang parkinson," jelas beliau.

Proses saringan melibatkan imbasan di bahagian otak CT Scan dan juga MRI. 

Menurut Dr. Norlinah, ada kalanya ujian MRI juga tidak menemukan apa-apa, namun ia boleh dikenal pasti apabila ditambah saringan lain yang mengambil kira faktor usia dan sebagainya.

Punca meningkat

Menurut Dr. Norlinah, kemajuan dalam bidang perubatan dan sikap rakyat Malaysia yang prihatin dengan tahap kesihatan masing-masing telah menyebabkan makin ramai yang hidup dalam jangka hayat lebih panjang.

Penyakit parkinson pula berpotensi menyerang mereka yang berusia. Jadi agak sukar dielak dan menjadikan statistik penghidap parkinson meningkat saban tahun.

Cuma menurut beliau, keadaan perubatan kini semakin maju dengan penghasilan ubat yang apabila diambil secara berterusan membolehkan mereka mengawal penyakit dan pergerakan juga semakin baik.

“Sebelum tahun 1960 tiada ubat yang berkesan untuk parkinson. Sekarang kita ada levodopa, iaitu sejenis ubat yang perlu diambil pesakit bagi menggantikan dopamin yang berkurangan dalam otak. 

“Ubat ini akan diserap usus kecil dan perlu diambil seumur hidup. Ketika mengambil ubat tidak digalakkan serentak dengan pengambilan makanan yang mengandungi protein kerana akan menyebabkan proses penyerapan ubat tidak berkesan.

“Paling penting selepas makan ubat ialah pesakit perlu melakukan senaman ringan setiap hari seperti tai chi dan berjalan," jelas beliau.
Ubah persepsi

Dr. Norlinah mengakui stigma masyarakat Melayu yang menganggap penyakit seperti parkinson sebagai penyakit misteri sememangnya berlaku.

Nasihat beliau: “Tidak salah mendapatkan perkhidmatan alternatif tapi perubatan hospital juga tidak harus diketepikan sama sekali.
“Di Malaysia kita mempunyai lebih 80 pakar neurologi yang akan membantu mendiagnos penyakit ini. Malah pakar neurologi sudah terdapat di setiap negeri.

“Paling utama bagi pesakit ialah bersikap positif, jangan biarkan penyakit menguasai diri. Kena hadapi penyakit ini dengan sabar dan semangat memang perlu untuk pulih," ujar beliau lagi.
Sukarelawan

Bagi seorang penghidap parkinson, CHERYL Yong, 60, penyakit itu yang dihadapinya sejak lapan tahun lalu tidak menjadi penghalang untuk dia berbakti. 

Dia kini berkhidmat sebagai pengajar terapi senaman untuk ahli Persatuan Parkinson Malaysia di Kuala Lumpur.

Rutin hariannya dipenuhi dengan jadual senaman ringan seperti qi gong dan tai chi, malah dia juga bergelar jurulatih untuk ahli persatuan. 

Cheryl berbangga dapat memberikan ilmunya yang tak seberapa pada ramai lagi penghidap Parkinson sepertinya.

Zahirnya dia tidak kelihatan seperti pesakit lagi kerana iltizam dan komitmennya telah mengubah status pesakit kepada bebas penyakit.
Pun begitu dia mengakui masih mengambil ubat-ubatan kerana ikhtiar tersebut adalah perlu untuk seorang pesakit parkinson sepertinya.

“Walaupun penyakit ini tidak boleh diubati sepenuhnya tapi ia boleh dikawal dan tahap kesakitan juga boleh berkurangan.

“Saya mengambil keputusan menjadi sukarelawan di sini kerana mengetahui bahawa ramai lagi pesakit yang tidak tahu bahawa menjadi pesakit parkinson juga boleh hidup seperti biasa.

“Senaman adalah perkara paling utama. Tidak kira apa jenis senaman yang anda mampu buat, jangan biarkan kemurungan menguasai setelah mendapat penyakit ini. 

“Kena dapatkan sokongan daripada kumpulan sokongan barulah minda lebih positif dan boleh hadapinya dengan baik," jelas Yong.
- NOOR FAZRINA KAMAL

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Friday 12 April 2013

Apa yang perlu tahu: 3-MCPD

Apakah itu 3-MCPD?
3-MCPD atau 3-monochloropropane-1, 2-diol tergolong dalam kumpulan bahan pencemar (kontaminan) kimia yang lebih dikenali sebagai chloropropanols.

Bagaimanakah 3-MCPD terhasil?
3-MCPD adalah satu bahan sampingan (by product) yang terhasil semasa proses hidrolisis  dalam penghasilan Protein Sayur Hidrolisis (Hydrolysed Vegetable protein-HVP). Dalam proses penyediaan HVP, 3-MCPD terhasil dari tindak balas asid hidroklorik pekat dengan gliserol (lemak sayuran) yang terdapat dalam protein makanan. Ia bukan digunakan sebagai bahan tambahan kepada makanan tetapi adalah merupakan "carry over effect" apabila HVP digunakan sebagai satu ramuan dalam makanan tersebut.

Apakah kesan 3-MCPD terhadap kesihatan?
Kajian menunjukkan 3-MCPD adalah bahan yang menyebabkan barah pada tikus apabila terdedah kepada dos yang tinggi dalam  tempoh masa yang panjang.  Walau bagaimanapun, kesan 3-MCPD terhadap manusia masih dalam kajian.

Siapakah yang paling berisiko terdedah kepada 3-MCPD?
Pengguna yang berisiko tinggi terdedah kepada 3-MCPD adalah pengguna yang paling kerap mengambil makanan yang mengandungi 3-MCPD.

Apakah jenis makanan yang mengandungi 3-MCPD?
Makanan yang biasanya mengandungi 3-MCPD adalah makanan yang menggunakan HVP sebagai bahan perisa dalam pelbagai jenis makanan. Ini termasuk :
  • Sos berperisa, sos tiram, sos ikan, sos teriyaki, sos BBQ.
  • Stok sup.
  • Bahan penambah perisa.
  • Campuran 'gravy'.
  • Snek berperisa.
  • Sos HVP.
  • Sos sebatian.
Adakah 3-MCPD hadir dalam kicap?
Penghasilan kicap menggunakan kaedah tradisional yang ditambah dengan HVP adalah bebas daripada 3-MCPD.

Apakah yang perlu dilakukan oleh pengguna?
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencadangkan orang ramai :
  • Amalkan gaya hidup yang sihat.
  • Amalkan makan makanan yang seimbang dan diet yang sihat termasuk meningkatkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran.
  • Kurangkan mengambil makanan yang mengandungi 3-MCPD secara berlebihan.
Apakah langkah-langkah yang diambil oleh pihak kerajaan bagi menangani masalah ini?
  • KKM sentiasa membuat pengawasan ke atas makanan yang mengandungi 3-MCPD bagi memastikannya berada di bawah paras yang dibenarkan dan selamat.
  • Hasil penilaian risiko (Risk Assesment) yang dijalankan oleh KKM ke atas makanan yang mengandungi 3-MCPD, mendapati bahawa penduduk Malaysia tidak terdedah kepada risiko 3-MCPD dan ianya bukanlah suatu yang membimbangkan.
Berapakah paras 3-MCPD yang dibenarkan dalam makanan?
Berdasarkan Peraturan-Peraturan Makanan 1985, Kadar maksimum 3-MCPD yang dibenarkan dalam makanan tertentu adalah dinyatakan di dalam Peraturan 38A dan Jadual Keempat Belas A seperti berikut :


Makanan Kadar maksimum yang dibenarkan dalam makanan (mg/kg)
Semua makanan yang mengandungi protein sayur hidrolisis asid (makanan cecair) 0.02
Semua makanan yang mengandungi protein sayur hidrolisis asid (makanan pepejal) 0.05
Protein sayur hidrolisis asid 1.0

Semakan akhir : 26 September 2011
Penulis : Norrani bt. Eksan

FAQ: Apa Yang Anda Perlu Tahu Berkenaan Aflatoksin?

Ditulis Oleh  Zamanhuri Umordin Wednesday, 13 July 2011 15:47
1. Apa itu Aflatoksin?

Aflatoksin adalah kumpulan mikotoksin yang terbentuk secara semulajadi daripada kulat yang tertentu sahaja terutama sekali Aspergillus flavus dan Aspergillus parasiticus.

2. Bagaimana makanan boleh dicemari Aflatoksin?

Keadaan yang boleh menyebabkan makanan dicemari Aflatoksin:
  • Makanan yang terdedah kepada kelembapan persekitaran yang tinggi dalam tempoh masa yang panjang.
  • Makanan yang disimpan dalam keadaan berlonggok atau disimpan dalam kuantiti yang banyak yang menghalang pengaliran udara yang baik.
3. Apakah kumpulan makanan yang biasa dicemari Aflatoksin?
  •  Kekacang dan hasilannya seperti kacang tanah, mentega kacang, badam dan sebagainya.
  • Bijirin dan hasilannya seperti jagung, beras, gandum, sekoi, minyak kacang soya, minyak jagung, minyak biji matahari dan sebagainya.
  • Rempah-ratus seperti cili, lada hitam, kunyit, halia, ketumbar dan sebagainya.
4. Apa kesan Aflatoksin terhadap kesihatan?

Pendedahan terhadap Aflatoksin pada paras yang tinggi dan berpanjangan berkemungkinan boleh menyebabkan barah hati dan keracunan makanan (Aflatoksikosis).

5. Siapakah yang paling berisiko terdedah kepada Aflatoksin?

Pengguna yang berisiko tinggi  terdedah kepada keracunan Aflatoksin adalah pengguna yang paling kerap mengambil makanan seperti kekacang dan hasilannya, bijirin dan hasilannya dan rempah-ratus. Ia juga lebih berisiko kepada seseorang yang berpenyakit hepar atau mempunyai jangkitan virus Hepatitis B.

6. Berapakah paras Aflatoksin yang dibenarkan dalam makanan?Berdasarkan Peraturan-Peraturan Makanan 1985, kadar maksimum yang dibenarkan adalah:
  • Kacang tanah untuk diproses - 15 ug/kg cemaran Aflatoksin
  • Kacang tanah sedia dimakan - 5 ug/kg cemaran Aflatoksin
  • Susu - 0.5 ug/kg cemaran Aflatoksin
  • Lain-lain makanan - 5 ug/kg cemaran Aflatoksin atau mikotoksin lain
7. Mengapa Peraturan hanya ditetapkan untuk makanan tertentu sahaja?

Peraturan yang ditetapkan lebih difokuskan kepada produk makanan yang berisiko tinggi dan kerap dicemari Aflatoksin. Makanan tersebut juga biasanya diambil dalam kuantiti yang banyak.

8. Apa yang perlu dilakukan oleh pengguna?

  •  Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggalakkan orang ramai mengamalkan gaya hidup sihat, makan makanan yang seimbang dan diet yang sihat termasuklah buah-buahan dan sayur-sayuran. Kekacang dan bijirin juga boleh dimakan dalam jumlah yang sederhana.
  • Simpan makanan di tempat yang kering dan kedap udara mengikut arahan penyimpanan yang betul seperti dinyatakan pada label.
  • Sebelum membeli bijirin atau kekacang, pilihlah dengan berhati-hati.
  • Elakkan mengambil makanan yang menunjukkan tanda-tanda kerosakan seperti ditumbuhi kulat, perubahan ari segi fizikal dan sebagainya.
9. Apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh pihak Kerajaan bagi menangani masalah ini?
  •  KKM sentiasa membuat pengawasan terhadap kumpulan makanan yang berisiko tinggi mengandungi Aflatoksin supaya ianya di bawah paras yang dibenarkan dan selamat.
  • KKM akan terus menjalankan kajian berkenaan Aflatoksin di dalam makanan yang terlibat. KKM juga sentiasa peka terhadap kajian-kajian yang dijalankan oleh pihak antarabangsa seperti CODEX, FAO, WHO USFDA dan sebagainya.
  • KKM akan memaklumkan kepada pengguna sebarang maklumat terkini berkenaan Aflatoksin.
Last modified on Monday, 25 July 2011 14:08

 http://fsq.moh.gov.my/v3/soalan-lazim/soalan-lazim-umum/item/270-faq-apa-yang-anda-perlu-tahu-berkenaan-aflatoksin/270-faq-apa-yang-anda-perlu-tahu-berkenaan-aflatoksin??tmpl=component&print=1

Kesan saintifik dioksin kepada manusia

APAKAH dioksin dan mengapa orang begitu mengambil berat mengenainya? Nama saintifiknya ialah 2,3,7,8-tetrachlorodibenzo-p-dioxin atau diringkaskan menjadi TCDD.

Dioksin ialah bahan kimia pencemar, iaitu hasil sampingan produk berasaskan klorin ketika proses pembuatan pelbagai bahan kimia. Bahan ini didapati begitu aktif dalam kitaran biologi, walau pun dalam kepekatan yang sangat rendah.

Malah, Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EOA) di Amerika Syarikat (AS) menetapkan kandungan dioksin dalam air minuman tidak boleh melebihi 13 bahagian setiap quintillion. Satu quintillion adalah angka satu dalam gandaan 18 sifar - atau disebut satu kuasa bilion billion!

Untuk memudahkan kefahaman kita, Dioksin merupakan komponen racun serangga dikenali sebagai Agent Orange yang digunakan oleh tentera AS semasa perang Vietnam.
Apakah kesan buruk dioksin kepada kesihatan manusia?

Kajian kesan buruk dioksin ke atas kesihatan telah dilakukan oleh pelbagai agensi.
Penyelidikan juga meliputi kesan kesihatan yang timbul daripada bencana kilang kimia di Seveso, Itali pada 1976.

Kesan serta-merta bencana berkenaan ialah kematian banyak haiwan-haiwan bersaiz kecil serta kulit mengelupas di kalangan kanak-kanak, yang dikenali sebagai chloracne .

NIEHS terus memantau sekumpulan penduduk yang terdedah secara langsung yang berkemungkinan menerima kesan dioksin - sama ada sekarang atau dalam jangka masa yang lebih panjang.

Kesan jangka panjang pendedahan dioksin kepada sistem keimunan manusia, pembiakan dan pembangunan, serta organ-organ dan sistem lain - di peringkat molekul dan selular - kekal menjadi tumpuan dalam penyelidikan yang berterusan.

Apakah kesan dioksin terhadap sistem keimunan manusia?
Salah satu kesan yang cukup ketara bahan kimia dioksin tehadap haiwan makmal ialah ia mengurangkan fungsi sistem keimunan sehingga mengurangkan kerintangan perumah terhadap jangkitan dan kanser.

Mekanisme dan hubung kait antara gangguan terhadap sistem keimunan perumah dan hilang upaya keimunan didapati sangat rumit.

Untuk itu, NIEHS telah membangunkan sistem in vitro (kutur tisu) iaitu kaedah pematangan sel B, yang telah menunjukan halangan TCDD terhadap fungsi limfosit, Ah-receptor dan sebagainya. Keupayaan untuk merencat sel B juga sedang dikaji, serta perkaitannya dengan hormon tiroid.

Apa pula hasil kajian kesan dioksin terhadap kelahiran?
Tiada kesan terhadap manusia, walau ada kesan terhadap tikus makmal. Bagaimanapun, kajian mendapati dioksin memberi kesan kepada pengeluaran hormon perkembangan manusia.

Dioksin memberi kesan kepada sistem pembiakan lelaki dengan menjelaskan fungsi androgenik ekoran berkurangnya penghasilan hormon testosterone - hormon yang sangat penting begi perkembangan seseorang lelaki.

Kajian juga sedang dilakukan terhadap kesan dioksin kepada wanita.
Kesan-kesan lain dioksin terhadap manusia juga sedang dikaji, misalnya kesan bahan kimia itu terhadap limpa dan kulit, peranannya sebagai penyebab kanser (carcinogenicity), dan kepada gen (genotoxicity).

Paraben dan kanser payudara



Doktor,

BARU-BARU ini, saya ada terbaca iklan rawatan kecantikan yang menyatakan bahawa kanser payudara mengandungi bahan Paraben yang tinggi.
Pengawet seperti Paraben dalam produk kecantikan dan deodoran boleh meniru hormon estrogen. Hormon estrogen yang berlebihan boleh merangsang pertumbuhan sel-sel kanser payudara.

Soalan saya:
1. Adakah kenyataan ini benar?
2. Mengapa deodoran boleh menyebabkan pertumbuhan sel-sel kanser payudara sedangkan deodoran disapu atau disemburkan kepada ketiak?
3. Kawan saya juga ada menyatakan bahawa deodoran yang mempunyai bebola untuk disapu pada ketiak boleh menyebabkan kanser ini. Adakah ini benar?
Harap doktor dapat jelaskan hal ini dengan lebih lanjut. Sekian, terima kasih 

– FUDHLA

Jawapan:
1. Kenyataan ini adalah kurang tepat. Buat masa ini masih terlalu awal untuk menyatakan kaitan secara langsung di antara kanser payudara dan pengawet Paraben.

2. Apa itu Paraben?
Paraben merupakan sejenis bahan pengawet yang digunakan dalam pemprosesan membuat bahan-bahan kosmetik. Ia juga boleh didapati di dalam beberapa bahan makanan yang diproses selain bahan farmaseutikal (ubat-ubatan).

Di dalam hubungan di atas, pengawet Paraben memang terdapat di dalam kebanyakan produk kecantikan seperti deodoran, syampu, losen badan serta mandian.

Jika diteliti betul-betul pada label produk, ia boleh didapati dalam pelbagai bentuk seperti Methylparaben, Ethylparaben, Propylparaben, Butylparaben, Isobutylparaben atau E216.

Tugas utama pengawet Paraben adalah untuk membunuh dan mengelakkan pertumbuhan kuman. Oleh itu, ia juga boleh didapati di dalam banyak bahan makanan proses dan ubat-
ubatan.

3. Kajian saintifik
Beberapa penyelidikan mendapati, jenis-
jenis Paraben tertentu boleh merangsang tindak balas seperti estrogen iaitu, hormon wanita yang lemah.
Bagaimanapun, ia melibatkan kajian di makmal haiwan dan kultur tisu (pembiakan tisu).

Walau bagaimanapun, tiada kaitan secara langsung di antara kehadiran pengawet Paraben pada tisu kulit dengan pembentukan kanser payudara. 

Kajian tersebut hanya menunjukkan kehadiran Paraben di tisu kulit tetapi tidak dapat dipastikan sumber yang jelas sama ada ia berpunca daripada sapuan atau semburan deodoran, atau produk-produk kecantikan yang lain.

Kajian lebih terperinci dan lanjut perlu dilakukan untuk menentukan kesahihan hubungan pengawet Paraben dan kanser payudara.

Justeru, apakah yang perlu anda lakukan?
Sebagai pengguna, kita mempunyai pilihan untuk mengguna pakai atau tidak deodoran mahupun produk-produk kecantikan yang berada di pasaran, yang menggunakan pengawet Paraben.

Bagi mereka yang berhati-hati bolehlah memakai produk kecantikan yang menggunakan pengawet semula jadi.

Bagaimanapun perlu diingatkan bahawa banyak produk kecantikan yang mengaku semula jadi tetapi masih menggunakan pengawet Paraben.

Jawapan disediakan oleh Pakar Perunding Bedah, Dr. Ab. Shukor Md. Noh.

Thursday 4 April 2013

100 pelatih penolong penguasa bomba keracunan makanan

ARKIB : 04/04/2013 
 
KUALA LUMPUR 4 April - Kira-kira 100 pelatih penolong penguasa bomba di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia, di Kuala Kubu Bharu, dekat sini dikejarkan ke Hospital Kuala Kubu Bharu setelah disyaki mengalami keracunan makanan malam tadi. - UTUSAN ONLINE


--- UTUSAN MALAYSIA