|
|
PENYAKIT batuk kering atau Tuberkulosis (Tibi) kembali lagi
menyerang. Sesiapa sahaja jangan mengambil mudah kerana Tibi yang
dikategorikan sebagai penyakit berjangkit cukup mudah merebak melalui
batuk, bersin, ketawa ataupun menyanyi.
Orang dewasa juga lebih mudah menyebarkan Tibi berbanding kanak-kanak maka oleh itu tutuplah mulut apabila batuk.
Kenyataannya penyakit Tibi pada suatu ketika dahulu pernah menjadi
pembunuh utama kepada penduduk di negara ini (ketika itu Tanah Melayu -
Malaya) di antara tahun 1945 hingga 1957.
Berikutan itu program Kawalan Tibi Kebangsaan ditubuhkan pada tahun
1961 di mana kesemua pesakit dirujuk kepada Pusat Tibi Negara di Jalan
Pahang, Kuala Lumpur yang kini dikenali Institut Perubatan Respiratori
(IPR).
Program ini telah berjaya mengurangkan kes tibi pada tahap yang
dianggap terkawal sehingga negara ini telah dikategorikan beban penyakit
tibi sederhana.
Bagaimanapun, sejak tahun 1994 kes-kes baru tibi meningkat dari
setahun ke setahun di mana pada tahun 2010 sahaja angkanya mencecah
19,337 berbanding tahun 2009 cuma 18,102 kes.
''Angka ini jelas menunjukkan Tibi kembali lagi ke Malaysia di mana
semua rakyat perlu peka supaya tidak menjadi salah seorang mangsanya,''
kata Pakar Perunding Penyakit Tibi IPR, Dr. Ashari Yunus yang ditemui di pejabatnya di Jalan Pahang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Beliau memberitahu, Tibi berkembang semula di negara ini memandangkan
jumlah pembawa kuman HIV, diabetes, kanser dan buah pinggang semakin
meningkat.
Begitu juga dengan golongan orang tua, pesakit yang mengambil steroid
dalam tempoh yang lama, penagih alkohol secara berlebihan dan juga
penagih dadah.
''Golongan ini adalah yang berisiko tinggi terhadap Tibi kerana
sistem imunisasi badan yang lemah akan mengaktifkan kuman Tibi yang
sedia ada di dalam badan manusia,'' katanya.
Bagaimanapun kata Dr. Ashari, pendatang asing cuma menjadi penyumbang kecil sahaja dalam penularan Tibi di negara ini.
Tambahnya, suntikan pelalian BCG untuk kanak-kanak di negara ini cuma
dapat melindungi badan mereka dari penyakit ini sehingga usia 14 tahun
sahaja.
Dr. Ashari memberitahu, Tibi memang dikenali penyakit pembawa maut
tetapi sesiapa pun tidak perlu bimbang kerana ada ubat penyembuhnya.
Bagaimanapun katanya, ia bergantung kepada individu untuk segera ke
hospital jika mendapati telah dijangkiti dengan kuman Tibi iaitu tubercle bacilli.
''Kuman ini hanya merebak melalui udara dan biasanya akan menjangkiti
paru-paru serta organ yang lain seperti selaput otak, tulang, buah
pinggang dan kulit,'' kata Dr. Ashari.
Jelasnya, seseorang itu hanya boleh disahkan menghidap Tibi melalui pemeriksaan kahak dan menjalani pemeriksaan x-ray.
Sehubungan itu, katanya, jika mempunyai tanda-tanda batuk
berpanjangan lebih dua minggu, batuk berdarah, demam dan berpeluh waktu
petang atau malam, maka segeralah ke hospital.
Simptom lain termasuk hilang selera makan atau turun berat badan
mendadak, sakit dada semasa batuk atau bernafas secara dalam, mudah
letih dan lemah.
Katanya, tidak cukup dengan itu pesakit harus memastikan menerima
rawatan mengikut arahan doktor dan memakan ubat yang dinasihatkan selama
enam bulan.
''Pesakit ini juga harus memastikan setiap kali bersin menggunakan
sapu tangan bagi mengelak kuman ini terbang di udara dan merebak kepada
orang lain pula,'' katanya.
Apa yang dikesalkan, kata Dr. Asraf, apabila ada kes pesakit yang
'melarikan' diri sebaik sahaja mendapati dirinya telah pulih selepas
menerima rawatan pada peringkat awal.
Beliau berkata, sekalipun pesakit merasakan dirinya pulih tetapi
selagi tidak lengkap mengambil ubat dalam tempoh enam bulan maka itu
tidak bermakna dia bebas sepenuhnya daripada Tibi.
''Ini kerana prinsip DOTS (Pengawasan Rawatan Jangka Pendek Secara
Terus) yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk
merawat pesakit Tibi harus diikuti,'' katanya.
Katanya, pesakit perlu mengambil ubat yang ditetapkan selama enam bulan.
"Dua bulan pertama pesakit perlu setiap hari ke hospital kerana perlu
makan ubat setiap hari dos yang ditetapkan dengan pemantauan pihak
hospital,'' kata Dr. Ashari.
Malah katanya, empat bulan lagi pesakit perlu dirawat setiap dua
minggu dan memakan ubat yang disyorkan setiap hari sehingga cukup tempoh
selama enam bulan.
''Masalah sekarang ini, seseorang itu sudah tahu dirinya mempunyai
tanda-tanda ini tetapi masih melewatkan pemeriksaan untuk menerima
rawatan,'' kata beliau.
Katanya, disebabkan penyakit ini dikategorikan berjangkit maka ia
akan cepat merebak kepada orang-orang di sekitarnya dengan lebih cepat.
Selain itu, katanya ada yang baru dua bulan menjalani rawatan tetapi
selepas itu tidak lagi mengambil ubat yang disyorkan di mana akan
mendapat kembali penyakit tersebut.
''Pesakit akan bebas sepenuhnya daripada Tibi setelah lengkap mengambil ubat dalam tempoh selama enam bulan,'' kata Dr. Ashari.
--- UTUSAN MALAYSIA