Thursday 24 June 2010

Kawalan malaria di pintu masuk negara diperketat

2010/06/24
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mengetatkan lagi kawalan di pintu masuk negara bagi memastikan kadar kes malaria dalam negara terkawal, di samping memastikan kes "import" penyakit itu tidak merebak dengan berleluasa dalam negara.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata walaupun kadar jangkitan malaria dalam negara ketika ini adalah rendah dan dapat dikawal dengan baik, namun kes import adakalanya tetap muncul.

"Sekali-sekala ada 'imported cases' daripada Indonesia dan Thailand. Ketika ini masih ada tiga kes malaria lagi di hospital Tanjung Karang membabitkan pekerja asing dari Mynamar, selain itu seorang nelayan juga warga Myanmar baru-baru ini meninggal dunia di Sekinchan, Selangor, setelah didapati menghidap malaria," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menyampaikan anugerah perkhidmatan cemerlang kepada warga Kementerian Kesihatan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan menunjukkan ketiga-tiga kes di kalangan pekerja asing itu adalah kes malaria yang dibawa daripada luar negara dan kawasan Sekinchan juga didapati bebas daripada penyakit itu.

Liow berkata, pejabat Kesihatan daerah Sekinchan menjalankan pemeriksaan terhadap 122 pekerja tempatan dan 216 pekerja asing dan semuanya disahkan negatif.

"Oleh itu, tiada tanda-tanda jangkitan penyakit ini menular di kalangan penduduk tempatan," katanya dan menambah kadar penyakit malaria di dalam negara adalah sangat sedikit, kebanyakan berlaku di kawasan estet dan ladang.

Beliau berkata, pada masa ini, bilangan kes malaria di dalam negara adalah sebanyak 3,000 kes setahun.

"Berbanding kadar malaria pada tahun 70-an, jumlah ketika itu cukup serius iaitu kira-kira 60,000 kes setahun, begitu juga pada tahun 90-an. Tetapi sekarang, turun kepada kadar 3,000 kes setahun," katanya. - BERNAMA
 
--- BERITA HARIAN

Thursday 10 June 2010

Elak keracunan makanan

ARKIB : 10/06/2010

Keracunan makanan boleh mengundang bahaya terutama kepada kanak-kanak. - Gambar hiasan


AHMAD pulang ke rumah dari sekolah dalam keadaan pucat dan lemah. Sambil memegang perut yang sakit, dia memberitahu ibunya bahawa telah muntah di sekolah dan cirit-birit sebanyak tiga kali. Ibu membawanya berjumpa doktor dan Ahmad disahkan mengalami keracunan makanan.

Keracunan makanan berlaku apabila keradangan perut atau usus yang disebabkan oleh pengambilan makanan tercemar. 

Selalunya tanda-tanda keracunan makanan akan muncul dalam masa dua hingga dua puluh empat jam selepas makan. 

Bergantung kepada tahap keracunan, mereka yang mengalaminya mungkin juga akan mengalami demam dan seram sejuk, najis berdarah serta penyahhidratan.

Walaupun keracunan makanan kerap berlaku dan biasanya merupakan sejenis penyakit yang ringan, kadangkala ia boleh membawa maut, terutamanya di kalangan kanak-kanak.

Bakteria berjangkit 

punca keracunan

Keracunan makanan biasanya berpunca daripada agen toksik atau agen berjangkit. Agen-agen toksik adalah seperti racun perosak pada buah-buahan dan sayur-sayuran, makanan eksotik yang tidak disediakan dengan betul (seperti siput dan ikan alu-alu), atau cendawan beracun. 

Bagaimanapun, kebanyakan kes keracunan makanan di negara ini disebabkan makanan yang telah dicemari oleh agen-agen berjangkit.

Ini bermakna, makanan tersebut mengandungi virus, bakteria dan parasit berbahaya. Bakteria-bakteria ini membebaskan racun yang boleh menyebabkan keradangan pada lapisan usus.

E. coli, salmonella, shigella dan staphylococci merupakan bakteria-bakteria berjangkit umum yang mengakibatkan keracunan makanan. 

Amalan kebersihan 

elak makanan tercemar

Amalan kebersihan yang kurang baik atau penyediaan makanan yang tidak betul selalunya punca pencemaran makanan.

Pengendali makanan sepatutnya mengamalkan kebersihan kendiri dan memastikan kawasan penyediaan makanan sentiasa bersih. Pencemaran makanan juga boleh berlaku jika makanan tidak disimpan dengan betul atau pada suhu yang tidak sesuai.

--- UTUSAN MALAYSIA