Tuesday 11 August 2009

385 premis makanan dikompaun

ARKIB : 11/08/2009

IPOH 10 Ogos - Sebanyak 385 premis makanan di sekitar bandar raya ini dikompaun sebanyak RM54,270 kerana mengabaikan aspek kebersihan dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim berkata, kompaun tersebut dikeluarkan di bawah Undang-undang Kecil Pengawalan dan Pengawasan Makanan serta Undang-undang Kecil Pengendalian Makanan.

Beliau berkata, antara kesalahan dilakukan ialah tandas kotor, tidak memakai topi serta apron dan pengendali makanan tidak mendapat suntikan anti typhoid dari Jabatan Kesihatan.

''MBI akan terus melaksanakan penguatkuasaan rapi dan kita tidak akan bertoleransi dengan pengusaha premis makanan yang tidak menjaga kebersihan," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sijil penggredan A kepada 10 kedai makanan segera di sini yang mencapai tahap kebersihan antara 85 hingga 100 peratus.

Roshidi berkata, dalam usaha MBI memastikan kebersihan premis makanan, pihaknya akan mengadakan operasi ke atas kedai makan India Muslim yang beroperasi 24 jam.

''Restoran India Muslim tumbuh bagai cendawan di Ipoh sekarang. Kita mahu mereka menjaga kebersihan, bukan sahaja premis tetapi pengendali dan juga penyediaan makanan," katanya.

Beliau berkata, premis yang mengabaikan aspek kebersihan boleh dikompaun maksimum RM250 bagi setiap kesalahan.

Dalam pada itu, Roshidi memberitahu, sebanyak 200 daripada 1,350 premis makanan di bandar raya ini telah disenarai untuk menerima sijil gred A.

Katanya, 10 daripada premis tersebut telah menerima sijil masing-masing hari ini dan bakinya akan menerima sijil berkenaan dalam tempoh tiga minggu.

''Kebanyakan premis makanan yang diberi sijil gred A ini ialah restoran makanan segera tetapi ada juga restoran makanan biasa yang akan menerima sijil ini nanti," katanya.

--- UTUSAN MALAYSIA